Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Polis Evo 3 (2023)


Amaran Spoiler!!!

Ada dua pekara utama yang saya akan tumpukan bila menonton sesebuah filem, lebih-lebih lagi kalau filem itu dihasilkan oleh pengarah seperti Syafiq Yusof. Dua pekara itu ada cerita dan cuba mencari kesalahan sebanyak yang mungkin. Ya, dua pekara itu mempengaruhi ulasan filem yang sering saya terbitkan, dan dua pekara itu juga banyak menyumbang kepada rating yang diberikan. 

Saya meletakkan jangkaan bahawa Polis Evo 3 adalah sebuah filem aksi yang terlampau digembar-gemburkan oleh peminat Syafiq Yusof dengan banyak kesalahan yang boleh dijadikan ‘point’ untuk saya menghentamnya. Jangkaan itu telah menetapkan kepala otak saya untuk tidak begitu mengharap bahawa ‘threequel’ kali ini mungkin setaraf dengan filem-filem ‘buddy cop’ Hollywood.  

Dari menumpaskan sindiket pengedaran dadah sehinggalah mengalahkan pengganas, kisah kali ini membawa pengembaraan Inspektor Khai dan Sani ke skop lebih kecil, tetapi masih mematikan. Cerita yang dibawa oleh Syafiq Yusof dalam filem kali ini sangat minimalis tetapi ia sudah cukup untuk membuatkan penonton melekat di tempat duduk. 

Khai dan Sani tidak berhadapan dengan kongsi gelap, tidak bertarung dengan organisasi jahat, tetapi sebaliknya mereka perlu bertembung dengan satu individu, yang boleh diibaratkan seperti Rambo, tetapi Rambo jahat yang mempunyai misi untuk membalas dendam terhadap beberapa pegawai polis, termasuklah Inspektor Khai. Aksi anjing dan kucing diantara protagonis dan villain tidak hanya tertumpu kepada usaha para hero kita memburu penjahat, tetapi ia turut menyelami kisah gelap Khai yang membawa kepada kewujudan penjenayah yang sangat menakutkan. 


Syafiq nampaknya semakin matang dalam penyampaian cerita, terutamanya dari segi ‘originaliti.’ Apa yang disampaikan ada sebuah kisah yang segar dan dalam masa yang sama memberi debaran kepada penonton yang menantikan sebarang pergerakkan penjahat yang mungkin mengancam nyawa orang-orang disekeliling Inspektor Khai. 

Walaupun fokus utamanya pada pemburuan penjenayah yang sangat dikehendaki, sub-plotnya juga tidak begitu menggangu, sebaliknya berkait dengan plot utama yang akhirnya mengembangkan perhubungan antara Khai dan tunangnya, Anis. Dan sudah tentu, watak Anis menjadi subjek utama filem walaupun ia tidak begitu menyumbang dari segi kemunculan di skrin. 

Jangkaan saya yang mengatakan Syafiq akan menyampaikan jalan cerita yang ‘biasa-biasa’ ternyata jauh meleset kerana Polis Evo 3 memberikan jalan cerita yang cukup kuat, dengan kisah lampau Khai yang berjaya memberi kesan pada perkembangan karakter dan pembinaan bahagian ketiga filem yang sangat mendebarkan. Hanya sedikit cacat-cela yang dikesan, terutamanya pada bahagian klimaks, dimana penjahat yang sangat bijak – lebih-lebih dia merupakan bekas anggota polis – melakukan kesilapan kecil yang boleh dimanipulasi Khai dan pasukan tindakan khasnya. 

Namun cacat-cela itu sukar untuk diperhatikan kerana secara keseluruhanya, bahagian ketiga Polis Evo 3 telah memberikan banyak adegan-adegan yang tegang dan penuh aksi, sehingga penonton tidak sedar bahawa betapa mudahnya rancangan penjahat dipatahkan oleh pasukan Khai. 

Saya juga sangat tertarik dengan pemilihan pelakon yang sangat ‘spot on’, terutamanya Sharnaaz Ahmad yang memainkan watak penjahat Reza, bekas anggota polis dan rakan Khai, yang kembali menghantui rakan lamanya itu. Sharnaaz berjaya menyampaikan wataknya yang tersakiti dengan begitu baik sekali. Motivasi Reza untuk menjadi jahat sangatlah ringkas tetapi tetap memberi kesan pada perubahan wataknya, apatah lagi kepada penonton. Watak Reza ibarat cermin pada watak Khai ketika berhadapan dengan situasi ‘ditelah mati emak, diluah mati bapa,’ sukar untuk membuat keputusan; antara tanggungjawab pada tugas atau tanggungjawab pada keluarga – inilah yang pemakin pada perkembangan watak Khai. 

Pemilihan Syafiq Kyle, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, dan yang paling saya minat, Farali Khan sangat-sangat berbaloi kerana mereka, seperti Sharnaaz, turut berjaya memberikan terjemahan watak kepolisan mereka dengan begitu baik sekali. Watak-watak mereka tidak ‘overshadow’ dan tidak begitu berlebih-lebihan walaupun mereka berada dalam satu pasukan yang sama dengan Inspektor Khai dan Sani. Mereka juga benar-benar menunjukkan skill yang ada pada watak mereka – seperti pakar pemusnah bom dan penembak tepat- , dan ini membuktikan bahawa Syafiq serta pasukan penulis skrip benar-benar teliti dalam membina watak sampingan dan memastikan watak-watak tersebut tidak terkeluar dari fokus sebenar. 

Sebagai sebuah filem kepolisan, taktikal dan gear menjadi keutamaan yang akan diperhatikan penonton, selain daripada aksi kejar mengejar, bertarung mahupun tembak menembak. Sejak akhir-akhir ini, kita sudah banyak melihat banyak filem yang memaparkan taktikan pasukan keselamatan. Paskal, Air Force: Selagi Bernywa antara contoh filem yang memaparkan taktikal tempur. 

Polis Evo 3 juga tidak ketinggalan. Ia bukan sekadar filem ‘buddy cop’ semata-mata, dan penubuhan pasukan khas digunakan sebaiknya, dan tidak dibuat sekadar ala filem Gerak Khas. Pergerakkan taktikal yang ditunjukkan dalam filem ini sangat kemas, dan tidak terasa janggal apabila kita melihatnya. Operasi menyusup ke markas penyeludup senjata antara yang menarik untuk disaksikan, tetapi saya saran anda fokus pada watak Farali Khan semasa dia masuk ke bangunan yang menjadi tempat persembunyian Reza, terasa teknik, sinematografi dan tegangannya sudah menyamai filem-filem Hollywood. 

Apa yang saya boleh simpulkan, jangkaan saya terhadap Polis Evo 3 ternyata jauh meleset sekali kerana Syafiq Yusof telah membuktikan kematangannya dalam menghasilkan sebuah karya aksi yang sangat menarik. Ya, dia masih memberikan aksi yang menarik, dan dalam masa yang sama tidak melupakan kepentingan cerita. Jika diambil kira dari segi teknikal, terutamanya sinematografi dan skor, memang jelas kelihatan Syafiq semakin memperbaiki karya dari semasa ke semasa.

Saya kalau boleh tidak mahu membandingkan beliau dengan abangnya, tetapi apa yang saya boleh katakan, pengalamannya menghasilkan pelbagai genre filem telah mematangkannya dalam menghasilkan sebuah karya yang boleh menambat hati peminat filem tempatan. 

Rating Kakimuvee

4/5


Related posts

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Equalizer 3 (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Malbatt Misi Bakara (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Concrete Utopia (2023)

Kakimuvee