Review

Review Filem: Perempuan Tanah Jahanam (2019)

Views

Amaran Minor Spoiler!!!

Agak lama saya menantikan karya terbaru Joko Anwar, Perempuan Tanah Jahanam ditayangkan di Malaysia. Pada awalnya, saya agak kecewa bila mana terdengar khabar berita bahawa filem ini diharamkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) hujung tahun yang lalu. Tetapi, selepas mengetahui Perempuan Tanah Jahanam dibenarkan tayangannya, saya kembali teruja, cuma saya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan bahawa terdapat beberapa adegan yang bakal ditapis terlebih dahulu oleh LPF.

Antara sebab utama saya menantikan filem ini adalah respon yang diterima penonton dari luar negara. Saya akui, karya-karya Joko Anwar tidak dinafikan kehebatannya, tetapi filem ini luarbiasa sambutannya, dan perasaan ingin tahu mula membuak-buak sehingga saya tidak sabar untuk menyaksikannya.

Berdasarkan pada tajuk dan poster, mungkin ada yang beranggapan filem akan bertemakan seram, tetapi bagi saya, ianya lebih dari itu, bukan sekadar seram, tetapi debarannya yang harus diberi perhatian.

Secara ringkas, Perempuan Tanah Jahanam atau tajuk Inggerisnya, Impetigore membawa penonton meneroka kesan penggunaan ilmu hitam terhadap sesebuah komuniti. Maya (Tara Basro) merupakan gadis kebanyakkan yang hanya bekerja sebagai jurutol. Tetapi kisah lampaunya membawa satu pengalaman ngeri buat Desa Harjosari, iaitu perkampungan terpencil yang pernah didudukinya sewaktu kecil.

Suatu hari, dia telah diserang oleh lelaki misteri yang mengkehendaki nyawanya. Pengalaman hitamnya itu memaksa dia berhenti dari menjadi jurutol dan membuka perniagaan baju bersama sahabat baiknya, Dini (Marissa Anita). Kejadian dia diserang masih lagi diingati, dan Maya mula bercerita mengenai kisah lampaunya yang kabur kepada Dini. Melihat pada sekeping gambar yang ditunjukkan oleh Maya, Dini menyedari rakan baiknya itu mungkin dari orang ‘ada-ada’. Mereka berdua kemudian membuat keputusan untuk pergi ke kampung halaman Maya. Tambahan pula, dengan perniagaan mereka semakin merudum, dan melihat pada status ‘orang ada-ada’ yang ada pada diri Maya, mungkin akan memberi sinar kepada perniagaan mereka. Namun, apa yang mereka tidak tahu, kepulangan Maya ke Desa Harjosari bakal menjadi pengalaman ngeri buat kedua-dua gadis itu dan membongkar misteri ilmu hitam yang melanda perkampungan terpencil itu.

Perempuan Tanah Jahanam memiliki pembinaan cerita yang sangat perlahan, tetapi debarannya diangkat secara berperingkat sehingga memberikan perasaan suspen dan ketakutan yang cukup jitu. Mungkin ada yang berkata filem ini menjual adegan-adegan ‘jumpscare’ memandangkan statusnya sebagai sebuah filem seram ngeri. Jangkaan itu silap, adegan ‘jumpscare’nya sangat minimal, tetapi suasana yang suram dan suspen tersangatlah kuat, sehingga ia menjadi elemen penting dalam membuatkan penonton mengigil ketakutan.

BACA:  Review Filem Korea: Peninsula (2020)

Lebih menarik, saya merasakan filem ini memberi adegan-adegan yang cukup ‘gore’ dan ‘disturbing’. Saya perasan beberapa babak yang ditapis (berdasarkan ‘cut scene’), tetapi ia masih memberikan satu pandangan yang menganggu kepada penonton. Jika saya dapat melihat versi asal, sudah pasti saya akan menghargai adegan-adegan kejam yang dipaparkan dalam filem ini. Oh ya! saya masih teringat-ingat kepingan kulit yang disidai oleh Nyi Misni (Christine Hakim) untuk dijadikan wayang kulit!.

Banyak pekara yang saya suka tentang Perempuan Tanah Jahanam, antaranya rekabentuk produksi, suasana dan latarbelakang filem ini dibuat. Segalanya dibuat secara teliti, suasana dan ‘mood’ filem banyak membantu menaikkan perasaan suspen dan ngeri. Begitu juga keadaan karakter-karakter dalam filem ini yang nampak selekeh, sesuai dengan keadaan diburu dan memburu. Betapa telitinya Joko Anwar dan tim produksinya dalam mencipta gambar yang sukar sekali untuk dikesan cacat celanya. Runut bunyinya juga banyak membantu dalam mencipta suasan yang menakutkan, apatah lagi suasana sunyi sepi – menantikan adegan ‘jumpscare’ tetapi lain yang jadi. Sangat hebat mereka mencipta gambar wayang yang berkualiti.

Namun begitu, saya tidak mengatakan Perempuan Tanah Jahanam ini sempurna. ketakutannya terencat apabila menginjak ke ‘third act’. Apabila misteri terungkai, suasana suspen merudum sedikit demi sedikit, dan terasa agak janggal melihat kemuncaknya yang sedikit ‘cringe’ – solusi yang terlampau mudah. Mujur adegan penamatnya membuatkan saya tertanya-tanya, adakah sumpahan telah dimatikan? mungkin ada sambungan? tergantung tetapi berjaya mengembalikan kepuasan hati.

BACA:  Review Filem Korea: Intruder (2020)

Apa yang pasti menonton Perempuan Tanah Jahanam memberikan satu pengalaman serta kepuasan yang tidak terhingga dan sangat berbaloi. Jika anda meminat filem-filem bergenre seram ngeri, karya Joko Anwar ini tidak harus anda lepaskan.

RATING KAKIMUVEE: 8/10

Review overview

RATING KAKIMUVEE8

VERDICT

8Kengerian yang sukar untuk digambarkan, perasaan takut, dalam masa yang sama memberikan satu kepuasan yang tidak terhingga kepada mereka yang menyaksikan filem Perempuan Tanah Jahanam

Tinggalkan Balasan

shares