Review

Review Filem: Patients of a Saint (2019)

Views

AMARAN SPOILER!!!

Filem zombi merupakan salah satu cabang dalam filem seram yang sangat diminat penonton. Seperti anda semua, saya juga merupakan peminat filem-filem bertemakan zombi meskipun masih terasa sedikit ‘geli’ dengan keganasan dan darah.

Apabila saya diberitahu bahawa filem Patients of a Saint akan ditayangkan di Malaysia, saya merasa sangat teruja, lebih-lebih lagi selepas saya menyaksikan trailer filem yang agak ‘gore’ dan menakutkan.

Filem terbitan produksi dari UK ini berkisarkan tentang sebuah penjara perempuan yang terletak di sebuah pulau terpencil berdekatan Ireland. Stone ( Jess Chanliau) merupakan bekas pasukan khas tentera US yang dipenjarakan atas sebab melakukan pembunuhan. Dipermulaan filem, dia telah ditawarkan untuk terlibat dalam satu ujikaji perubatan yang dijalankan disebuah bangunan terletak didalam kawasan penjara tersebut.

Walaupun sedang menanti hukuman mati, Stone bertegas tidak mahu terlibat dalam ujikaji tersebut. Ketika dibawa ke selnya, Stone telah terlibat dengan satu pergaduhan dengan seorang lagi banduan sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di bilik perubatan. Ketika sedang dirawat, petugas perubatan dikejutkan dengan satu kes aneh dimana seorang banduan lelaki mengalami simptom penyakit yang agak pelik sehingga ia menyebabkan kematian.

Pada malamnya, Stone terjaga dari tidur dan mendapati banduan lelaki yang disangkakan telah mati, sebenarnya masih hidup tetapi dalam keadaan pelik dan menakutkan dimana dia dilihat sedang menjamah seorang lagi pesakit wanita. Tidak dapat bergerak kerana digari diatas katil, Stone bagaimanapun diselamatkan oleh salah seorang warden dan mereka berdua hampir menjadi mangsa kepada banduan lelaki tersebut yang dipercayai telah menjadi zombi.

Bermula dari saat itu, penjara yang menempatkan banduan paling merbahaya didunia menjadi tempat yang sangat menakutkan. Seorang demi seorang berubah menjadi zombi dan Stone bersama mereka yang terselamat perlu mencari jalan untuk keluar dari penjara tersebut.

BACA:  Review Filem: The Bridge Curse (2020)

Secara kasar, filem ini memiliki aura seperti filem zombi popular Britain iaitu 28 Days Later. Tahap keseraman, ‘dark’ dan keganasan tidak ubah seperti filem arahan Danny Boyle itu. Lebih menarik, zombinya sangat kuat dan laju sehingga mampu membuatkan penonton tidak senang duduk. Cuma yang menjadi masalah kepada filem ini adalah plot dan lakonan para pelakonnya.

‘First act’ boleh dikatakan sangat bagus, pengenalan yang mudah dan disertai adegan menakutkan dimana para banduan dan warden diserang zombi. Bagaimanapun, apabila memasuki minit ke-45, segalanya berubah menjadi teruk dan mengecewakan. Terdapat banyak rompong-rompong pada plot dan penceritaan menjadi semakin mendatar. Saya tidak pasti sama ada ia kesan daripada penapisan filem ataupun tidak, tetapi berdasarkan pengamatan saya, filem ini seolah-olah tidak melalui fasa penapisan kerana terdapat begitu banyak babak-babak ‘gore’,

Filem ini cuba memasukkan ‘plot twist’ pada penceritaannya, namun ianya begitu lemah dan boleh dijangka. Selain itu juga, terdapat beberapa naratif yang tidak konsisten dan boleh dipertikaikan. Saya tidak mahu memberitahu dengan lebih lanjut kerana ia akan menyebabkan spoiler, tetapi jika anda menghayati keseluruhan plot, anda akan dapat menangkap bahagian-bahagian plot yang tidak selari dan bercelaru.

BACA:  Review Filem: The Bridge Curse (2020)

Antara kekecewaan filem ini adalah kualiti lakonan para pelakonnya. Penghayatan watak begitu lemah dan tidak seiring dengan latarbelakang karakter. Stone misalnya, latarbelakang karakter merupakan bekas pasukan khas tentera US, namun apabila menghadapi krisis dengan serangan zombi, langsung tidak menujukkan ciri-ciri wanita yang ‘badass’. Selain itu juga, terdapat beberapa watak yang agak menjengkelkan seperti Warden Woodhouse yang cuba ingin menjadi ‘orang jahat’ dalam filem, tetapi gagal. Hanya watak Butcher, iaitu banduan wanita bertubuh besar yang bagi saya agak bagus. Cuma saya, cara pengakhirnya dikecewakan dengan satu babak yang cukup lemah dan tidak memberi kesan.

Secara keseluruhannya, Patients of a Saint sebenarnya mampu memberikan sebuah filem zombi yang ganas dan menakutkan. Tetapi agak sayang, ianya dirosakkan dengan penulisan yang lemah dan lakonan yang tidak berkualiti. Bagaimanapun, jika anda hanya mementingkan ketakutan dan ingin melihat tubuh manusia dimamah zombi atau sukakan adegan kepala dilibat senjata tajam, filem ini harus dimasukkan dalam senarai tontonan anda.

RATING KAKIMUVEE: 6/10

*PATIENT OF A SAINT MASIH LAGI DITAYANGKAN DIBEBERAPA PAWAGAM TERPILIH TANAH AIR.

Tinggalkan Balasan

shares