Review Filem Paskal

0
82
views

Paskal The Movie Review

Sebaik saja filem Paskal The Movie memasuki babak kredit, saya hampir berdiri untuk menepuk tangan tanda betapa puas dan kagum menonton sebuah filem tempatan yang cukup tinggi kualitinya.

Paskal yang diinspirasikan dari kisah benar ini menceritakan tentang sepasukan anggota tentera khas negara iaitu Paskal yang diketuai oleh Arman (Hairul Azreen) dalam menjalankan tugasan merbahaya menyelamatkan tebusan yang ditawan lanun.

Filem Paskal memiliki jalan cerita filem ini sangat baik dan tidak lari dari objektif sebenar filem ini. Boleh dikatakan, plot filemnya tidak begitu 'draggy', manakala 'back story' yang ditunjukkan sedikit sebanyak menceritakan tentang konflik yang sedang berlaku dalam diri Arman. Selain itu juga, suka dengan pendekatan pengarahnya iaitu Adrian Teh yang juga penulis filem ini dengan memasukkan beberapa insiden yang pernah dihadapi oleh pasukan khas negara ini seperti Operasi Fajar 2011 yang dijalankan oleh pasukan Paskal dalam misi menyelamat tebusan kapal Bunga Laurel yang ditawan lanun Somalia. Ia setidak-tidaknya memberikan sedikit gambaran kepada penonton bagaimana Paskal menjalankan misi yang sukses itu.

Apa yang saya boleh gambarkan kepada penonton, filem Paskal ini boleh dikatakan mirip seperti filem pasukan khas Amerika Syarikat (AS) iaitu Act of Valor. Seperti filem Hollywood yang dilakonkan kebanyakkan anggota tentera AS itu, Paskal memberikan aksi tembak menembak dan serangan taktikal yang sebenar dan tanpa menokok tambah aksi tembak dan letupan yang keterlaluan. Aksi-aksi ketenteraan yang sebenar inilah yang menjadikan Paskal sebagai sebuah filem 'perang' tempatan paling hebat selepas Bukit Kepong dan Leftenan Adnan. 

Lakonannya juga tidaklah begitu mengecewakan. Walaupun mereka bukanlah pelakon ternama tanah air, mereka mampu menjiwai watak dan memberikan kualiti lakonan yang baik. Bagi saya, 'Most valuable actor' dalam filem ini ialah Ammar Alfian. Lakonanya sebagai Jeb sangat memorable dan dia mampu menggalas watak sebagai seorang penjahat. Cuma yang agak mengganggu kehebatan filem ini ialah dialognya. Apa yang saya boleh dikatakan, dialog yang dituturkan para pelakonnya agak skema dan janggal untuk didengari.

Apapun, filem Paskal telah membuka lambaran baru kepada pembikin filem tempatan yang ingin menghasilkan sebuah aksi perang seperti ini. Filem berunsurkan patriotik tidak semestinya memaparkan askar berperang dengan komunis, dengan isu pengganas yang sering diperkatakan, filem seperti Paskal harus dihasilkan dalam mempelbagaikan filem tempatan yang bergenre aksi perang.

Rating Kakimuvee: 8/10

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here