You are here Home » Review Filem Netflix: Till Death: Azalea’s Wrath

Review Filem Netflix: Till Death: Azalea’s Wrath

Pastinya agak sukar bagi seseorang ibu itu untuk menanggung kesedihan apabila anak yang dikandung selama 9 bulan, tidak sempat melihat dunia. Itulah yang dirasai Suraya (Vanidah Imran) dalam sebuah filem seram arahan Sein Qudsi berjudul Till Death: Azalea’s Wrath. 

Till Death: Azalea’s Wrath mengisahkan tentang sepasang suami isteri iaitu Suraya dan Azman (Khir Rahman) yang baru sahaja kehilangan bayi mereka disebabkan komplikasi semasa kelahiran. Melihatkan isterinya berada dalam keadaan kemurungan yang agak serius, Azman cuba mencari kediaman baru agar mereka berdua dapat memulakan kembali kehidupan mereka.

Namun usaha Azman gagal mengubah keadaan Suraya yang masih bersedih. Sehubungan dengan itu, mereka berdua telah membuat keputusan untuk mendapatkan anak angkat agar penyakit kemurungan Suraya dapat disembuhkan.

Selepas berjaya mendapatkan anak angkat, Suraya dan Azman telah berpindah ke sebuah rumah yang terletak dipinggir kota. Namun, apa yang mereka tidak tahu, sesuatu bakal menganggu mereka yang akhirnya akan membawa pembongkaran sebuah misteri yang pernah berlaku dirumah yang mereka duduki itu.

BACA:  Datuk Seri Eizlan Yusof Terima Anugerah Di Festival Filem Art Chunsa ke-24

Filem arahan Sein Qudsi ini agak sedikit berserabut kerana ia mengandungi dua kisah penceritaan yang berbeza. Selain mengisahkan tentang pasangan suami isteri Azman dan Suraya, ia turut memasukkan satu lagi plot mengenai dua penjenayah kecil-kecilan iaitu Shahidan (Nam Ron) dan Samad (Kodi Rasheed). Saya tidak kisah dengan kewujudan dua plot cerita kerana ia mungkin dapat membantu merungkai misteri dalam filem ini, tetapi permasalahan timbul kerana susunan naratifnya tidak konsisten dan berserabut.

Eleman seram dan misteri yang cuba dipaparkan tidak begitu kuat dan meyakinkan. Begitu banyak drama yang ditonjolkan baik dari sisi Azman dan Suraya serta Shahidan dan Samad. Permasalahan suami isteri diulang berkali-kali sehinggakan saya merasakan apa gunanya Suraya masih bercerita mengenai gangguan hantu sedang Azman tidak percaya walaupun pada awalnya bersungguh-sungguh mahu mengentahui masalah isterinya. Begitu juga antara Shahidan dan Samad, kedua-dua asyik bergaduh mengenai Samad yang sering diganggu entiti misteri. Drama yang berulang ini sedikit sebanyak merencatkan peluang untuk memberikan babak-babak seram dan misteri kepada penonton.

Antara yang paling mengecewakan adalah ‘third act’ filem ini. Pengarah cuba mewujudkan debaran dan merungkai misteri gangguan yang berlaku dalam rumah Suraya, namun cara olahannya agak lemah. ‘Home invasion’ yang dipaparkan tidak begitu mendebarkan, malah ‘back story’ mengenai pembunuhan Azalea agak mengecewakan. Senang kata, penulisan penamat filem ini sangat malas dan tergesa-gesa untuk dihabiskan.

BACA:  Sangkar Terus Tambah Kutipan, Catat RM10.3 Juta Pada Hari Ke-17 Tayangan

Dari segi teknikal dan rekabentuk produksi juga sangat mengecewakan. ‘Color grading’ sangat menyakitkan mata, teknik penggambaran dan ‘angle’ juga sekadar biasa-biasa sahaja. Saya tidak pasti apa yang diperkatakan penonton dari luar negara memandangkan filem ini ditayangkan di Netflix.

 

Bagaimanapun saya suka dengan lakonan Vanidah Imran dan Kodi Rasheed, Vanidah berjaya menterjemahkan watak seorang ibu yang kemurungan disebabkan kematian bayinya. Perasaan yang diluahkan begitu menjadi dan dapat dirasai penonton. Begitu juga Kodi Rasheed, mungkin saya sudah lama tidak melihat dia berlakon, tetapi kualiti yang diberikannya benar-benar memuaskan hati saya.

Secara keseluruhannya, Till Death: Azalea’s Wrath bukan sebuah filem seram yang baik, tetapi ia masih menarik untuk ditonton terutamanya yang mahu melihat lakonan Vanidah Imran.

Rating Kakimuvee: 5/10

Loading...