Review Filem Netflix: Point Blank (2019)

226
views

Filem terbaru Netflix ini merupakan sebuah ‘remake’ dari filem Perancis berjudul sama atau tajuk asalnya À bout portant. Filem arahan Joe Lynch ini merupakan sebuah filem aksi thriller dan dibintangi dua bekas pelakon filem Marvel Cinematic Universe iaitu Anthony Mackie dan Frank Grillo

Point Black dimulakan dengan adegan mendebarkan apabila Abe Guevara (Frank Grillo) cuba melarikan diri dari lokasi pembunuhan Pembantu Pendakwaraya. Cedera akibat ditembak, dia secara tidak sengaja dilanggar oleh adiknya sendiri, Mateo (Christian Cooke) yang ketika itu cuba menyelamatkannya.

Anthony Mackie memainkan peranan sebagai Paul Booker, seorang jururawat yang bertugas di bahagian kecemasan dan tidak sabar menantikan anak sulungnya. Satu malam, dia ditugaskan untuk memeriksa Guevara di wad ICU dan diserang oleh lelaki misteri yang sebenarnya adalah Mateo. Terdesak untuk melarikan abangnya yang ditahan di hospital, Mateo telah menceroboh rumah Booker dan menculik isterinya, Taryn (Teyonah Parris).

Tidak mahu isteri dan anak dalam kandungan diapa-apakan oleh Mateo, Booker menuruti perintah untuk melarikan Guevara dari hospital. Bermula dari situ, Booker mengejar masa untuk cuba menyelamatkan isterinya yang semakin hampir untuk bersalin dan dalam masa yang sama terperangkap dalam membantu penjenayah yang diburu pasukan polis yang diketuai oleh Lieutenant Lewis lakonan Marcia Gay Harden.

Walaupun modal pembikinan filem Point Blank tidak begitu besar, ia masih mampu memberikan sebuah filem aksi yang jitu dan mendebarkan. Walaupun aksi tembak menembaknya tidak sehebat John Wick dan adegan kejar mengejar antara kereta tidak semantap Fast and Furious atau Italian Job, ia masih mampu memberi kepuasan kepada penonton.

‘First act’ dan ‘second act’ filem ini dihasilkan dengan begitu baik sekali. Pembinaan jalan ceritanya tidak pula tidak dibuat secara tergesa-gesa. Diawal filem saja sudah membuatkan anda marah dengan tindakan menculik wanita yang sedang mengandung untuk dijadikan tebusan. Bagaimanapun ‘plot twist’ dipertengahan cerita membuatkan penonton akan menukar perspektif 180 darjah.

Bahagian ketiga filem ini agak mengecewakan sebenarnya, debarannya semakin menurun, tempo filem semakin perlahan dan konklusi seperti tergesa-gesa. Klimaksnya tidak begitu dramatik, tetapi tetap puas melihat penjahat sebenar filem ini mendapat balasannya. Jalan ceritanya juga turut menyelitkan elemen kekeluargaan seperti hubungan adik beradik dan suami isteri yang sedikit sebanyak membantu menaikkan debaran dan memberi kesan emosi kepada penonton

Dari segi lakonan, Frank Grillo sama seperti filem-filem aksi lakonanya sebelum ini, tiada variasi dan statik. Tetapi ia tidak bermakna lakonan Grillo dalam filem Point Blank tidak menarik, Grillo berjaya membangkitkan Adrenalin penonton menerusi aksi-aksinya. Anthony Mackie diawal filem dibayangi lakonan Grillo, bagaimanapun pada ‘third act’ jelas nampak perubahan lakonannya. Wataknya mula menunjukkan empati kepada Guevara, perubahan pandangan pada penguatkuasa yang korup dan melihat gangster dari definisi yang berbeza.

Lakonan Teyonah Parris dan Christian Cooke tidak mengecewakan, begitu juga Marcia Gay Harden yang berjaya membawakan watak seorang anggota polis yang korup.  Lakonan seorang lagi pelakon iaitu Markice Moore lebih kepada comic relief walaupaun dia memainkan peranan sebagai seorang kepala gangster, Big D.

Secara keseluruhan, Point Blank adalah sebuah filem aksi thriller yang mudah dan menarik untuk ditonton. Tambahan pula, lakonan Grillo dan Mackie dalam filem ini sedikit sebanyak menaikkan rasa keterujaan untuk menonton filem ini.

Point Blank kini sedang ditayangkan di Netflix

Rating Kakimuvee: 7/10

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here