Review

Review Filem Netflix: Pasal Kau (2020)

Views

Trailer pertama Pasal Kau (Because of You) arahan Adrian Teh telah berjaya membuatkan saya sangat teruja. Bukan apa, melihat gandingan pelakon Paskal dan Wira serta bertemakan romantik komedi menjadi faktor kenapa saya mahu menonton naskah terbaru Adrian Teh. 

Terus-terang saya katakan, romantik komedi adalah antara genre kegemaran saya. Menonton filem ringan dan penuh jenaka serta kisah romantik pasangan bercinta menjadi satu terapi buat saya untuk bersantai. Secara jujurnya, reaksi saya terhadap naskah terbaru Adrian Teh ini agak bercampur-campur. Ada pekara yang saya suka, dan ada pekara yang saya rasa agak janggal dan kurang memberi impak pada nilai hiburan.

Sebelum saya menuju ke ulasan filem ini, saya ingin cerita serba sedikit mengenai jalan ceritanya. Pasal Kau! mengisahkan tentang usaha Jane (Janna Nick) yang cuba untuk memikat hati 'crush'nya, iaitu Aiman (Hairul Azreen). Namun setiap usaha Jane seperti bertepuk sebelah tangan, sehingga tiga orang wanita mendaftar masuk ke hotel tempat kerja mereka. Aiman telah jatuh hati pada salah seorang wanita tersebut, iaitu Sofia (Sophia Barakbah). Walaupun hati Aiman hanya kepada Sofia, Jane tetap berusaha untuk memikat Aiman, sehinggalah berlaku satu kejadian di hotel mereka, dimana Aiman akhirnya tahu hatinya milik siapa.

'Act' pertama Pasal Kau! boleh dipuji kerana ia menceritakan kisah cinta tak berbalas Jane terhadap Aiman. Pengenalan watak utama sangat baik sehingga saya merasakan lakonan Hairul Azreen semakin meningkat. Karakter-karakter sampingan turut membantu dalam membina kisah cinta antara Jane dan Aiman. 'Vibe' romantik komedi sangat kuat pada 'act' pertama, dan berjaya membangkitkan keterujaan saya untuk mengentahui kisah percintaan Jane terhadap Aiman. 

Bagaimanapun, memasuki 'act' kedua, segalanya menjadi seperti tidak kena. Fokus pada watak utama semakin longgar, Adrian Teh seoalah-olah lupa bahawa filem ini hanya untuk Hairul Azreen dan Janna Nick. Watak-watak sampingan diberi banyak 'screen-time' dari yang sepatutnya. Kemasukan watak Sofia gagal mengembangkan watak Jane, kerana dia tersangkut dengan lambakan 'screen-time' watak sampingan. Masalah ini memberi kesan kepada elemen romantik komedi yang menjadi tunjang kepada filem Pasal Kau!. 

Saya puji usaha Adrian Teh dalam memberi kelainan pada senarai karyanya. Cuma, saya rasa dia masih dibayangi dengan reputasinya sebagai pengarah filem aksi. 'Third act' Pasal Kau! disuntik elemen aksi bagi menjustifikasikan kisah cinta antara Aiman dan Jane. Saya tiada masalah dengan aksi, saya tahu itu 'trademark' Adrian Teh, tetapi bagaimana ia diterjemahkan agak mengecewakan. Kelakar sebenarnya bila melihat Sophia Barakbah, Sugeeta Chandran dan Anna Jobling melakonkan adegan taktikal 'extraction' - agak perlahan dan 'kayu'.

Gabungan komedi dan aksinya juga tidak begitu menjadi - tidak ketawa dan tidak teruja. Dan, saya pelik kenapa pertarungan akhir diubah dalam bentuk animasi 2D. Jika sepanjang filem ini digabungan dengan animasi 2D saya tiada masalah, tetapi hanya dua sahaja animasi 2D yang dipapar dan apabila pertarungan akhir dibuat dalam bentuk animasi 2D, bagi saya ia seperti tidak sesuai dengan filem ini.  

Dari segi komedi, Pasal Kau! masih ada beberapa babak yang mampu membuatkan penonton ketawa, meskipun kebanyakkan agak 'dull' dan 'try hard'. 'Chemistry' diantara Namron dan Amerul Affendi banyak membantu dalam mencipta hiburan, cuma apabila mereka tidak bersama, ianya tidak jauh beza dengan paparan humor watak-watak lain. Hairul Azreen cuba menterjemahkan watak yang sedikit 'bodo-bodo alang' - cubaan yang bagus, tetapi kurang menghiburkan. Jarang saya puji, tetapi saya akui, Janna Nick mencuri tumpuan, saya suka dengan wataknya. Dain Said walaupun sekadar 'cameo', babaknya agak kelakar. 

Jadi, kepada penonton yang mencari filem santai dan ringan, Pasal Kau! boleh menjadi pilihan anda. Masih menghiburkan walaupun banyak kelemahan, dan yang menarik, ada beberapa 'reference' dari filem Paskal dan Wira serta penampilan istimewa dari pelakon kedua-dua filem tersebut seperti Dain Said, Fify Azmi, Ismi Melinda, serta beberapa pelakon lain. 

Pasal Kau! kini boleh ditonton dilaman penstriman Netflix

RATING KAKIMUVEE: 5/10

Korang boleh layan spoiler talk Pasal Kau Kakimuvee bersama Tellygeram dan Rekomen Filem di podcast Spotify Kakimuvee

 

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks