
Saya ingin membuat sedikit pengakuan.. saya sebenarnya adalah ‘kipas-susah-mati’ Adam Sandler. Jujur saya katakan, walaupun kebanyakkan filemnya tipikal dan terdapat mesej subliminal mengenai agamanya, saya tetap menontonnya berulang kali tanpa sebarang rasa jemu.Â
Begitu juga filem terbarunya, Hubie Halloween. Sejak ia mula dilancarkan di Netflix pada 7 Oktober yang lalu, saya telah menonton filem terbaru Sandler ini beberapa kali, baik bersama keluarga ataupun bersendirian. Saya akui, Hubie Halloween tidak jauh beza dengan kebanyakkan filem-filem komedinya – tipikal. Cuma, filem terbarunya ini sangat bagus untuk memberi pengajaran kepada kanak-kanak.Â
Hubie Halloween berkisar tentang seorang lelaki bernama Hubie Dubois yang sering menjadi mangsa buli sejak dari kecil. Walaupun begitu, hatinya sangat baik, sentiasa taat pada ibunya dan membawa kebaikan kepada orang di sekeliling. Setiap perayaan Halloween, dia secara sukarela akan menjadi pengawas bagi memastikan kanak-kanak meraihkan Halloween dengan selamat.
Bagaimanapun, ketika menyambut Halloween, kawasan kejiranannya mengalami kejadian misteri dimana seorang demi seorang telah hilang. Sebagai seorang yang bertanggungjawab menjaga keselamatan masyakat sewaktu perayaan Halloween, Hubie mula menyiasat misteri kehilangan penduduk dikawasannya.Â
Secara jujurnya, filem ini sangat tipikal, baik dari segi plot dan komedi. Tetapi entah bagaimana, saya tetap terhibur, mungkin kerana ianya filem lakonan Adam Sandler. Walaupun tipikal, saya suka dengan beberapa ‘twist’ terutamanya pada ‘third act’ filem ini. Dan, seperti biasanya, filem-filem Sandler pasti akan menyajikan ‘happy ending’ yang agak ‘over’.Â
Pekara yang baik tentang Hubie Halloween adalah bagaimana ia memberi mesej mengenai buli. Walaupun Hubie telah dibuli sejak kecil, ia masih menunjukkan sifat baik hati dan sabar dengan tidak menghukum pembulinya – sifat pemaafnya boleh dijadikan pengajaran. Selain itu, ia turut mengingatkan penonton agar membantu menghentikan masalah buli yang sering terjadi pada masakini.Â
Tak sah kalau filem Adam Sandler tidak disertai kroninya. Pelakon Rob Schneider, Steve Buscemi dan Kevin James turut membintangi filem ini. Cuma watak Rob Schneider sekadar cameo, manakala Kevin James tidak begitu memberi kesan pada penceritaan dan perkembangan watak Hubie. Steve Buscemi sekadar muncul beberapa babak sahaja, tetapi wataknya iaitu Walter Lambert banyak membantu dalam mencipta misteri kepada kehilangan penduduk.
Secara keseluruhannya, Hubie Halloween adalah sebuah filem komedi seram yang sesuai untuk ditonton bersama keluarga – tiada adegan yang berlebihan dan ada pengajarannya. Walaupun tipikal, ia tetap menghiburkan, dan berbaloi untuk ditonton lebih-lebih lagi kepada mereka yang meminati Adam Sandler.