You are here Home » Review Filem Netflix: Fly By Night

Review Filem Netflix: Fly By Night

Selepas gagal menyaksikan filem Fly by Night dipawagam kerana waktu tayangan yang terhad, akhirnya saya berpeluang juga menonton filem arahan Zahir Omar ini di platform penstriman video Netflix. Terima kasih Netflix kerana menayangkan filem ini diplatform anda!

Menonton filem ini mengingatkan saya tentang filem One Two Jaga arahan Nam Ron. Kedua-dua mempunyai persamaan yang hampir sama, baik dari segi genre, naratif dan terjemahan watak yang lebih realistik. Jika, One Two Jaga memberi fokus kepada tugasan dua anggota polis dan dilema pendatang asing, filem Fly by Night membawa penonton melihat sisi penjenayah kecil-kecilan yang terperangkap diantara kelangsungan hidup dan keinginan untuk hidup mewah.

Filem ini mengisahkan tentang empat pemandu teksi yang menjalankan aktiviti jenayah kecil-kecilan dengan mensasarkan golongan kaya sebagai mangsa mereka. Tiga daripada mereka ada adik beradik iaitu Tai Lo (Sunny Pang), Sai Lo (Fabian Loo) dan Gwai Lo (Jack Tan), manakala seorang lagi ada saudara mereka itu Ah Soon (Eric Chen).

Suatu hari, Sai Lo telah menyuarakan perasaan tidak puas hati kerana tidak diberikan peranan penting oleh abangnya. Didorong keinginan untuk mencari lebih banyak wang, Sai Lo dan Gwai Lo menjalankan aktiviti peras ugut tanpa pengentahuan abangnya.

Bagaimanapun, aktiviti mereka berdua tidak berjalan dengan lancar dan terpaksa bekerjasama dengan mangsa untuk memeras ugut seorang lelaki kaya, yang juga merupakan kekasih mangsanya itu. Dalam masa yang sama, aktiviti mereka mula dihidu pihak polis yang diketuai oleh Inspektor Kamal (Bront Palarae), dan segala-galanya menjadi tidak menentu.

BACA:  Review Filem Korea: Confidential Assignment (2017)

Pembinaan jalan cerita filem ini berjalan dengan sangat perlahan, tetapi tidak bermakna ia membosankan. Susunan yang teratur membuatkan saya tetap fokus untuk mengentahui apa yang berlaku seterusnya. Yang menjadikan ia lebih menarik, cara olahan jalan ceritanya telah memberikan dua perasaan yang berbeza iaitu marah dan terharu. Perasaan marah muncul bila mereka melakukan aktiviti jenayah, tetapi perasan berubah serta merta selepas melihat kehidupan mereka yang sebenar dalam sebuah keluarga yang harmoni dan sederhana.

Walaupun Fly by Night menceritakan tentang kumpulan penjenayah ini, pengarahnya tidak menonjolkan mereka sebagai watak antagonis, sebaliknya watak tersebut seolah-olah diberikan kepada Inspektor Kamal yang cuba mengganggu kegiatan mereka. Bagi memberi keseimbangan dalam karakter, penulis filem memasukkan watak ketua kongsi gelap iaitu Jared (Frederick Lee) yang bertindak selaku satu lagi antagonis yang memaksa empat bersaudara ini menjalankan aktiviti jenayah dikala mereka mahu berhenti seketika kerana sedang dihidu pihak polis.

Seperti One Two Jaga, tempo filem ini mula berubah apabila tiba di ‘act’ ketiga mereka. Disitu segala konflik dan aksi dapat dilihat penonton dimana mereka ini cuba untuk melarikan diri dari anggota polis dan dalam masa yang sama tersepit dengan kumpulan kongsi gelap.

BACA:  Review Chasing The Dragon (2017)

Tetapi terdapat masalah yang cukup ketara pada bahagian ini. Fly by Night seperti terjangkit dengan tipikal filem-filem tempatan, terlampau tergesa-gesa mahu ditamatkan. Babak yang paling antiklimaks adalah ketika Tai Lo, Gwai Lo dan As Soon bertemu dengan ketua kongsi gelap ditempat yang agak terpencil. Babak tersebut sepatutnya boleh menjadi lebih dramatik, mendebarkan dan ‘memorable’, tetapi pengarah sebaliknya memberikan satu babak yang agak mengecewakan. Bagaimanapun, penamat yang tergantung berjaya memberikan sedikit permainan emosi dan memberi peluang penonton untuk memberikan pandangan mereka berdasarkan prespektif masing-masing.

Antara kelebihan Fly by Night adalah kualiti lakonan para pelakon. Saya hanya mengenali Bront Palarae dan Iedil Putra, tetapi kesemuanya memberikan satu bentuk lakonan yang sangat hidup. Personaliti karakter mereka bervariasi, tidak klise dan diluar jangkaan. Karakter Ah Soon misalnya, dari seorang bekas banduan yang sering bersabar akhirnya menonjolkan sifat sebenarnya di penghujung filem. Fabian Loo juga berjaya memberikan watak Sai Lo yang sangat menyakitkan hati, dan Bront Palarae tidak dapat disangkal lagi, kualiti yang tidak membezakan sama ada ianya filem tempatan ataupun antarabangsa, tetap memberikan kualiti lakonan yang sangat mantap. Karakter yang paling diingati adalah Jared lakonan Frederick Lee, mengingatkan saya pada karakter Hans Landa lakonan Christoph Waltz dalam filem Inglorious Basterds. Jika karakter Jared diberikan lebih ‘screen time’ saya pasti ianya akan lebih menarik.

BACA:  Review Filem Netflix: Always Be My Maybe (2019)

Dari segi rekabentuk produksi dan sinematografi, bagi saya tidak begitu banyak masalah, cuma cara terjemahan anggota polis fiksyen sangat mengecewakan. Dari baju, pelakon sehinggalah kenderaan, penampilan dan perwatakkan mereka kelihatn seperti pengawal keselamatan di pasaraya.

Secara keseluruhannya, Fly by Night telah membuktikan kepada penonton bahawa industri perfileman tempatan tidak ketandusan filem-filem berkualiti. Saya tidak mengatakan ianya setanding dengan filem-filem noir dari Hollywood, tetapi genre ini dilihat semakin bertambah baik dan telah bersedia untuk diperkenalkan kepada seluruh penonton filem tempatan.

Rating Kakimuvee: 8/10

*Fly by Night boleh ditonton dilaman penstriman video Netflix*

Loading...