Review

Review Filem Netflix: 93 Days (2016)

Views

Amaran Spoiler!!!

Pandemik Covid-19 yang melanda negara pada masa kini telah membuka mata masyarakat dalam melihat usaha dan pengorbanan barisan hadapan negara terutamannya pasukan perubatan dan kesihatan awam dalam menangani krisis penyakit-berjangkit.

Sejak hari pertama negara dikejut dengan kes pertama Covid-19, pasukan perubatan dan kesihatan awam telah bertungkus-lumus mengekang penularan wabak. Namun, dengan kemajuan teknologi terutamanya dari segi pengangkutan menyaksikan keadaan menjadi bertambah buruk. Sehinggakini, lebih 1500 kes telah dicatatkan dengan kematian sebanyak 14 orang. Lebih menyedihkan, dari jumlah tersebut ia turut melibatkan beberapa petugas perubatan dan kesihatan awam sehingga meragut satu nyawa.

Melihat kepada pengorbanan pasukan perubatan dan kesihatan awam dalam menangani pandemik Covid-19, saya ingin kongsikan kepada anda semua sebuah filem yang sangat bagus untuk ditonton kerana ia memberikan pandangan yang lebih jelas bagaimana wira-wira negara ini berkorban dalam menangani krisis penyakit berjangkit.

93 Days merupakan sebuah filem drama thriller dari Nigeria, arahan Steve Gukas yang berkisarkan tentang wabak Ebola yang melanda negara Nigeria pada tahun 2014. Seperti Covid-19, penyakit Virus Ebola ini merupakan penyakit yang menyerang manusia disebabkan oleh virus Ebola dan merupakan virus yang amat berbahaya di dunia kerana ia sangat mudah untuk berjangkit dan boleh membawa maut. 93 Days tidaklah begitu memberi fokus dalam menceritakan bagaimana pihak kerajaan menangani wabak Ebola diperingkat nasional, tetapi sebaliknya lebih menceritakan tentang pengorbanan petugas perubatan dalam mengelakkan penyakit merbahaya ini dari merebak keseluruh negara.

Filem ini bermula apabila seorang diplomat dimasukkan ke Hospital First Consultant kerana menderita penyakit misteri. Pada mulanya, para doktor menyangka bahawa diplomat itu dijangkiti Malaria berdasarkan siasatan mereka. Namun rawatan yang diberikan tidak menunjukkan sebarang perubahan, sebaliknya bertambah menjadi buruk. Disebabkan tugasan diplomatiknya, pesakit tersebut meminta untuk dikeluarkan dari hospital, tetapi tidak dibenarkan oleh para doktor. Walaupun berhadapan tekanan politik, petugas First Consultant tetap dengan keputusan mereka – tidak membenarkan diplomat itu dikeluarkan dari hospital.

BACA:  Review: Bulan Dan Pria Terhebat

Berhadapan dengan tekanan politik, petugas perubatan First Consultant dikejutkan dengan keputusan sampel darah diplomat tersebut. Dia disahkan Ebola, dan bermulalah wabak Ebola yang melanda Nigeria pada 2014 dimana hampir kesemua petugas perubatan yang merawat diplomat tersebut, dimasukkan ke hospital khas kerana dijangkiti penyakit Virus Ebola.

Secara jujurnya, 93 Days tidaklah memberikan pengalaman sinematik yang menarik kepada penonton. Tempo filemnya agak perlahan bagi sebuah filem drama thriller, manakala lakonan dan dialog para pelakon agak sedikit janggal dan kaku. Penonton mungkin akan merasa cepat bosan dengan filem ini kerana kualitinya yang sekadar biasa-biasa sahaja dan plot yang agak dragging. Tetapi dari segi mesej, perubatan dan kesihatan awam, ianya sebuah filem yang sangat bagus untuk ditonton.

93 Days menunjukkan bagaimana kejujuran dalam memberi maklumat awal dapat mencegah penularan penyakit. Begitu juga impak campurtangan politik dalam kesihatan awam yang boleh memusnahkan negara. Situasi diawal filem ini benar-benar berlaku pada masa sekarang dimana terdapat pesakit telah menipu sejarah perjalanan mereka sehingga menyebabkan para petugas perubatan dijangkiti Covid-19 dan menjadi punca kepada penularan wabak. Malah permainan politik semasa negara diperingkat awal wabak Covid-19 turut impak besar kepada kesihatan awam sehingga menyebabkan wabak menjadi semakin buruk. Saya tidak mahu mengulas lebih banyak mengenai dua situasi yang telah berlaku, terutamanya soal politik, tetapi 93 Days membuktikan, – menipu sejarah perjalanan dan campurtangan politik boleh menyebabkan negara terjerumus ke krisis penyakit berjangkit.

BACA:  Review Filem: Baaghi 3 (2020)

Walaupun filem ini menunjukkan pengorbanan pasukan perubatan dalam menguruskan penyakit berjangkit, ia turut memaparkan kesilapan para petugas perubatan First Consultant yang tidak menggunakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) dalam menguruskan pesakit, terutamanya dalam menangani penyakit misteri. Bukan mencari kesilapan, tetapi lebih kepada memberi pengajaran kepada penonton, terutama kepada mereka yang terlibat dalam sektor perubatan dan kesihatan awam akan kepentingan PPE dalam menjalankan tugasan mereka. Selain itu juga, pengurusan wabak turut dipaparkan dalam filem ini. Walaupun tidak memberi begitu banyak fokus, ia sekurang-kurang memberi idea kepada penonton bagaimana pengurusan wabak dilakukan disemua peringkat.

Secara keseluruhannya, 93 Days sangat bersesuaian untuk ditonton dikala negara sedang dilanda wabak Covid-19. Meskipun dari segi teknikal, plot dan lakonannya tidak sebagus filem-filem Hollywood dan mungkin membuatkan anda bosan, ia sekurang-kurangnya memberikan gambaran kepada penonton bagaimana petugas perubatan dan kesihatan awam sanggup berkorban dalam menangani krisis penyakit berjangkit.

93 Days boleh ditonton di platform penstriman Netflix (Klik Link)

Tinggalkan Balasan

shares