ReviewSlot Tempatan

Review Filem: Motif (2019)

Views

Filem yang agak perlahan dan mendatar, antara masalah rumah tangga dan mencari suspek, maaf saya tidak berkata filem ini bosan, malah saya tidak menganggap filem ini klise. Dari satu sudut, mungkin anda merasa filem ini biasa-biasa, tetapi bagi saya jika dilihat dari segi tersirat, Motif adalah antara filem tempatan yang agak merobek minda.

Saya tidak mengenali pengarah Nadiah Ahmad dan saya juga tidak pernah melihat karya-karya arahannya, namun saya kagum bagaimana dia mengolah sebuah cerita dengan menyelitkan isu poligami yang boleh dijadikan polemik disamping plot utama dalam merungkai sebuah misteri kehilangan seorang gadis. Apa kaitannya dengan isu poligami dan jenayah?

Motif dimulakan dengan kes kehilangan seorang gadis sehinggakan menimbulkan misteri dikalangan penduduk setempat. Kegagalan polis tempatan dalam menyelesaikan kes tersebut, seorang pegawai polis muda telah telah dihantar ke Tanah Merah bagi membantu siasatan. Inspektor Dewi (Sharifah Amani) telah ditugaskan oleh pegawai tertinggi Bukit Aman untuk membantu Detektif Rizal (Mustaqim Mohamed), namun kehadirannya tidak disenangi penduduk tempatan termasuklah Rizal. Lebih memburukkan lagi keadaan, ayah mangsa iaitu Hussein (Rosyam Nor), orang kaya Tanah Merah tidak mempercayai kredibiliti Dewi dan menggangap dia tidak mampu dalam menjalankan tugasnya.

Disebalik mencari suspek dalam kes jenayah, Motif turut menyelit isu-isu yang sering terjadi dalam masyarakat kita yang menjurus kepada perlakuan jenayah dan ketidakwarasan tingkah laku. Perempuan simpanan, terjerat dengan ah-long, dibutakan dengan darjat, masalah rumah tangga dan ketidakfahaman berpoligami semuanya membawa kepada konflik yang akhirnya merugikan diri sendiri.

BACA:  Review Filem: Suatu Ketika (2019)

Saya tidak mahu mengulas secara lanjut mengenai isu poligami kerana ia bersifat sensitif (tidak semua lelaki adalah sama ya!), apa yang saya ingin tekankan adalah kehebatan naratif filem ini yang telah meninggalkan petunjuk kepada penonton tanpa kita disedari. ‘Point’ utama Motif adalah untuk mencari suspek sebenar, dimana ia akhirnya akan dirungkaikan dalam satu plot twist yang sedikit mengejutkan. Namun penamatnya telah meninggalkan persoalan yang cukup besar – siapakah dalang yang sebenarnya?, siapakah ‘mastermind’ disebalik jenayah terancang ini.

Jika melihat penceritaan dari sudut yang umum, Motif mungkin akan dianggap biasa-biasa sahaja Tetapi jika mahu mengentahui maksud disebalik penamat filem yang membingungkan, dengan mula melihat semula keseluruhan struktur cerita ini, anda akan dapat merasai betapa istimewanya filem ini.

Saya akui, Motif mempunyai jalan cerita yang sangat perlahan. Tetapi pembinaan jalan ceritanya sangat menarik dan tersusun rapi. Adakalanya ia memberikan sedikit drama, emosi dan ‘tension’, kesemuanya dibuat secara seimbang. Terdapat juga sedikit babak aksi, namun ianya tidak begitu banyak dan sangat sedikit.

BACA:  Seniman A Rahman Hassan Telah Meninggal Dunia

Walaubagaimanapun, saya kurang gemar dengan cara mereka mengolah bahagian ketiga filem ini. ‘Third act’ nya dibuat dengan sangat cepat dan kurangnya debaran, sehingga membuatkan saya merasa kurang puas. Kemuncak filem ini sepatutnya dapat dihasilkan dengan tekanan yang begitu tinggi memandangkan terdapat ‘plot twist’ pada babak sebelumnya, namun resolusinya yang dibuat secara tergesa-gesa sehingga merencatkan sedikit kejutan yang telah ditunjukkan.

Dari aspek teknikal, saya sangat kagum dengan kehebatan sinematografi dan ‘score’ filem ini. Dengan modal yang agak terhad, mereka berjaya menghasilkan sebuah wayang gambar yang sangat cantik, tenang dan suram. Rekabentuk produksi boleh dikatakan sangat kemas dan teratur, manakala pemilihan lokasi filem banyak membantu dalam mewujudkan suasana misteri dalam sebuah filem bertemakan jenayah. Pendek kata, produksi filem ini sangat mementingkan ‘detailing’ pada setiap babak mereka.

Dalam filem ini, Sharifah Amani telah memberikan prestasi yang sangat hebat, dia berjaya menterjemahkan watak seorang wanita yang sedang menghadapi konflik dalaman yang cukup kuat, dan masa yang sama bertekad untuk menyelesaikan kes jenayah. Emosi berkecamuk, kemurungan, dan tekanan disebalik wajah yang tenang membuktikan Amani sebagai seorang aktres yang sangat berbakat. Saya yakin dia mampu mengondol anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia akan datang.

BACA:  Kutipan Terkini Hantu Kak Limah Cecah RM6.45 Juta

Mustaqim Mohamed dan Rosyam Nor tidak mengecewakan walaupun terdapat beberapa dialog mereka yang diulang berkali-kali, bahagian kedua dan ketiga filem ini baru jelas perkembangan watak mereka. Cuma terdapat beberapa watak yang saya rasakan perkembangan karakter mereka tidak begitu meyakinkan. Mungkin kerana durasi masa yang terhad menyebabkan watak mereka tidak dapat dikembangkan dengan begitu baik.

Motif bukanlah sebuah filem yang sempurna, namun ia masih memberikan sebuah filem yang sangat unik dan berbeza. Jika anda mahukan sebuah filem yang segar, dengan konsep jenayah misteri yang perlahan serta diselitikan sedikit dengan permainan minda, Motif adalah pilihan yang tepat. Kudos kepada Nadiah Hamzah, dan Honey Ahmad kerana memberikan sebuah karya yang sangat berkualiti.

Rating Kakimuvee: 8/10

Tinggalkan Balasan

shares