Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Mortal Kombat (2021)

Sebelum menonton filem reboot Mortal Kombat, saya terlebih dahulu mengulang-tonton dua filem terdahulu, yang dikeluarkan pada awal 90an. Tujuan saya bukanlah kerana ingin mencari perbezaan, tetapi sekadar mengambil ‘feel’ dan melayan nostalgia sewaktu zaman remaja dahulu.

Reaksi saya selepas menonton trailer pertama Mortal Kombat, saya agak kagum dan teruja, kerana trailer itu menggambarkan betapa ‘R-rated’nya filem terbaru Warner Bros. itu. Jadi, saya meletakkan satu jangkaan, yang mengharapkan filem terbaru Mortal Kombat akan memberikan adegan-adegan pertarungan yang cukup ganas, seganas sumber asalnya, iaitu permainan video.  

AMARAN SPOILER!!! 

ANDA BOLEH BERHENTI DISINI SEKIRANYA MASIH BELUM MENONTON FILEM MORTAL KOMBAT.

Mortal Kombat dimulakan dengan babak yang berlatarbelakangkan zaman fuedal Jepun, zaman dimana masih ada golongan samurai dan berpuak. Dalam babak itu, keluarga kepada pahlawan bernama Hanzo Hasashi (Hiroyuki Sanada) telah diserang oleh seorang lagi pahlawan dari puak berlainan, iaitu Bi-Han (Joe Taslim). Tujuan Bi-Han hanya satu, menghapuskan Hanzo buat selama-lamanya. 

Babak prelude Mortal Kombat ini telah memaparkan pertarungan antara Hanzo dan Bi-Han yang cukup sengit. Hanzo telah menewaskan pengikut Bi-Han dengan cukup kejam, manakala Bi-Han menunjukkan sifat penjahat kejam yang tidak berperikemanusian. Sebaik sahaja selesai pertarungan antara dua pahlawan itu, penonton segera dibawa ke masakini, melihat watak utama Cole Young (Lewis Tan) bertarung di gelanggang MMA demi mencari wang.

Ketika itulah, seorang anggota tentera bernama Jax (Mehcad Brooks) datang memerhati Cole, dan bertemu dengannya sebaik sahaja selesai pertarungan di gelanggang. Jax menjelaskan tanda lahir pada badan Cole bukanlah kebetulan, sebaliknya sebagai tanda bahawa dia telah dipilih untuk menyertai satu pertarungan maut antara alam-alam.

Cole pada mulanya tidak mempercayai kata-kata Jax, tetapi apabila dia dan keluarganya telah diserang oleh pahlawan misteri, pandangannya terus berubah dan dia perlu mencari asal-usulnya demi menyelamatkan keluarganya dan dunia. 

Sebagai filem pertama dalam reboot Mortal Kombat, saya merasa puas walaupun terasa sedikit janggal dengan jalan cerita dan dialog yang dituturkan watak-watak utama. Jalan ceritanya terlampau tergesa-gesa dan boleh dijangka. Tranformasi watak dari pahlawan biasa ke pahlawan luarbiasa dibuat dengan begitu pantas dan senang, sedangkan kata-kata dari Liu Kang seolah-olah menggambarkan agak sukar untuk melepaskan kuasa terpendam.

Memandangkan Cole Young menjadi watak utama dalam filem ini, plot filem banyak tertumpu pada wataknya. Namun, kisah-kisah watak-watak lain tidak dilupakan, dan anda masih dapat mengentahui serba sedikit mengenai sejarah mereka. Selain itu juga, ‘backstory’ tentang kejohanan Mortal Kombat dan bagaimana pahlawan itu dipilih untuk mewakili alam Bumi boleh dikatakan memuaskan. 

Bercakap soal lakonan dan dialog, terdapat beberapa adegan yang anda akan rasakan agak klise dan ‘cringe’. Hanya Hiroyuki Sanada dan Joe Taslim yang betul-betul menyakinkan, cuma ‘screentime’ Sanada agak sedikit manakala Joe Taslim lebih mempersembahkan seni mempertahankan diri Sub-Zero berbanding dialog.

Watak Kano boleh dikatakan ‘comic relief’, tetapi kadang-kala terasa agak menjengkelkan. Apapun, beberapa ‘line’ dan gaya ikonik dari permainan video seperti ‘finish him!’, dan ‘come over here!’ pasti membuatkan anda merasa teruja. 

Disebalik penceritaan dan lakonan yang sedikit ‘kureng’, babak-babak aksi dalam filem ini tidak mengecewakan. Saya akui terdapat beberapa koreografi yang agak kaku, dan ‘camera shaking’, tetapi filem ini masih memberikan pertarungan yang diharapkan penonton, pertarungan yang persis seperti dalam permainan video – ganas, penuh dengan darah dan apabila sampai ketahap ‘finish him!’, mereka akan memberikan pukulan maut berdasarkan karakter mereka dalam permainan video. 

Apabila menonton Mortal Kombat, sudah tentu anda menantikan pertarungan antara Sub-Zero dan Scorpio, dan saya beri jaminan pertarungan mereka antara paling ‘memorable’ dalam filem ini. Kemunculan Scorpio pada babak klimaks memberikan satu perasaan ‘wow!’, lebih-lebih apabila dia menuturkan line ikoniknya, dan aksi yang diberikan akan membuatkan penonton tergamam. Jujur saya katakan, babak pertarungan mereka lagi ‘intense’ dan rancak berbandingan pertarungan antara pahlawan-pahlawan lain. 

Bagi saya, Mortal Kombat adalah ‘popcorn movie’, sangat menarik dan puas hati jika melihat segala adegan aksinya, tetapi terasa kelemahan pada jalan cerita dan lakonannya. Bagi yang menggemari filem-filem aksi dan peminat Mortal Kombat, saya beri jaminan bahawa filem ini tidak mengecewakan.

Cuma saya berharap, filem kedua akan lebih menarik dari segi penceritaan, dan mengekalkan status ‘R-rated’nya. Apapun, saya tidak sabar untuk melihat pahlawan baru dalam filem akan datang, antara pahlawan legenda dalam Mortal Kombat, pahlawan yang juga merupakan bintang Hollywood, Johnny Cage.

Rating Kakimuvee

3.5/5

Related posts

Review Anime: The Way Of The Househusband (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Jangan Sendirian (2021)

Kakimuvee

Review Telefilem: 18 Puasa Di Kampong Pisang

Kakimuvee

Review Filem: Dreamy Eyes (2019)

Kakimuvee

Review Filem: The Promised Neverland (2021)

Hasib Anwar

Review Filem: The Box (2021)

Hasib Anwar