Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One (2023)


AMARAN SPOILER!!!

Melawat penjahat berbentuk manusia mungkin pekara tipikal dalam filem-filem aksi pengintipan, bagaimana jika ejen-ejen perisikan rahsia melawan penjahat yang tidak boleh dilihat dalam bentuk fizikal yang nyata?

sebaliknya perlu berhadapan dengan penjahat yang sentiasa berada di mana-mana, memantau dan menjangka setiap pergerakan mereka sehinggakan para ejen ini perlu kembali ke zaman analog bagi mengelakkan setiap pergerakkan mereka dipintas oleh penjahat ini. 

Dalam Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One, Ethan Hunt dan pasukannya yang setia bukan sahaja terpaksa mengkhianati negaranya sendiri, tetapi terpaksa berhadapan dengan penjahat yang tidak pernah dijangka oleh mereka, iaitu Kecerdasan Buatan (AI). 

Setiap agensi perisikan seluruh dunia mahu merampas teknologi baru ini supaya mereka dapat menguasai dunia, manakala Ethan tidak mahu teknologi merbahaya ini jatuh ke tangan mana-mana pihak, hatta negaranya sendiri. AI pula mempunyai objektifnya sendiri, iaitu mahu kekal wujud tanpa dikawal oleh sesiapa. 


Justeru itu, teknologi turut membuat perancangan jahatnya untuk merampas kunci yang boleh mengawalnya serta membunuh sesiapa sahaja yang mengentahui keberadaannya. Bagi mengelakkan pihak lain dapat mengawal AI, Ethan dan pasukannya mula menjejaki individu yang memiliki kunci yang boleh mengawal AI dan lokasi teknologi tersebut, tanpa dia sedari bahawa setiap langkahnya telah diatur oleh AI.

Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One tidak begitu banyak bezanya dengan siri terdahulu, melainkan Ethan berhadapan dengan penjahat baharu yang tidak kelihatan dan juga musuh lampaunya, Gabriel, yang sekaligus menceritakan serba sedikit tentang zaman awal Ethan sebelum menyertai IMF.

Yang bagusnya tentang filem ini ialah ia menawarkan aksi-aksi ber’oktan’ tinggi yang sudah tentunya membuat penonton terpukau, lebih-lebih lagi selepas kita mengetahui bahawa banyak aksi berani mati dalam filem ini dilakukan sendiri oleh Tom Cruise.

Selebihnya, adalah tipikal francais Mission: Impossible, malah elemen pengintipannya, yang merupakan teras francais ini, juga sudah semakin berkurangan dan dilihat semakin tersasar, seperti francais Fast & Furious. Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa entri kali ini juga tidak jauh beza dengan filem terbaru Fast & Furious, Fast X. Cuma yang membezakan Ethan dan Dom Torreto adalah Ethan tidak begitu teruk dibelasah lawannya. 

Musuh AI juga bukan pekara yang baru kerana kita telahpun melihat filem yang melibatkan AI sejak era 80-an lagi. Dalam Age of Ultron kita telah melihat betapa sukarnya untuk melawan penjahat yang bergerak dengan kelajuan cahaya dalam talian-talian Internet, jadi apa dihadapi oleh Ethan dan pasukan telah boleh dijangka. Yang sedikit membezakan filem ini dan filem-filem AI yang lain adalah musuhnya masih menzahirkan bentuknya, sekadar menggunakan orang suruhannya. 

Secara keseluruhannya, Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One adalah filem yang sudah tentunya memberikan kepuasan kepada penonton yang gemarkan genre aksi, terutamanya kepada mereka yang meminati francais Mission: Impossible dan pelakon utamanya, Tom Cruise. 

Bagi saya, filem ini adalah satu lagi tawaran aksi yang diberikan Tom Cruise, berbeza dengan filem Top Gun: Maverick yang lebih menumpulkan kepada pembinaan cerita berbanding aksi dalam filem itu.

Penghujung filem ini juga tidak begitu membangkitkan keterujaan untuk menonton bahagian kedua, tidak seperti Fast X dan Spider-Man: Across the Spider-Verse, yang meninggalkan penonton dengan rasa tidak puas hati selepas melihat kedua-dua watak utama berada dalam situasi yang tidak menentu. 

Pusingan pertama Ethan berjaya menewaskan musuhnya dengan hanya menggunakan tipu helah ahli silap mata, dan dengan penamat yang kurang debaran, kita boleh menjangkakan bahawa bahagian kedua Ethan akan membuat misi seterusnya, iaitu menjejaki lokasi AI. Dengan watak Pom Klementieff yang dijangka kembali dalam bahagian kedua, dijangkakan misi Ethan nanti mungkin lebih mudah. 

Rating Kakimuvee

3.5/5


Related posts

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Equalizer 3 (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Malbatt Misi Bakara (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Concrete Utopia (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Mat Tudung Begins (2023)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Meg 2: The Trench (2023)

Kakimuvee