Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Minari (2020)

Minari, sebuah filem Amerika / Korea yang secara tiba-tiba mendapat perhatian penonton selepas berjaya merangkul beberapa trofi utama di majlis anugerah antarabangsa dan dianggap pencabar hebat dalam anugerah Oscar akan datang. Seperti penonton marhaen yang lain, perasaan ingin tahu membuak-buak dalam jiwa saya, ingin tahu apa yang hebatnya tentang filem ini sampai berjaya mengecapi kejayaan di pentas dunia. 

Ditetapkan pada tahun 1983, Minari menceritakan tentang sebuah keluarga Korea yang berhijrah ke Amerika Syarikat bagi mengubah hidup mereka. Bintang The Walking Dead Steven Yeun memainkan peranan utama sebagai Jacob, ketua keluarga yang mempunyai cita-cita untuk menjadi peladang yang berjaya.

Dia telah membawa keluarganya berpindah dari California ke kawasan pedalaman Arkansas, dimana dia telah membeli sebidang tanah dan memulakan hasil tananam Korea untuk dijual kepada peniaga Korea di Dallas. Jacob seorang optimistik, tetapi sangat ego dan bersemangat Korea, manakala isterinya, Monica (Han Ye-ri) merasa sedikit gusar dengan kehidupan baru mereka dan sangat bimbang dengan kesihatan anak bongsu mereka, David (Alan Kim).

Kehadiran Soon-ja (Youn Yuh-jung), nenek kepada David dan Anne (Noel Kate Cho), yang datang dari Korea Selatan telah ‘memporak-porandakan’ kehidupan dua beradik itu, terutamanya David. Ditambah pula dengan perasaan gusar Monica dan dugaan sebagai petani yang dihadapi Jacob, keluarga itu akan berhadapan dengan ujian hidup yang menentukan ikatan kekeluargaan mereka. 

Minari memaparkan drama kekeluargaan dengan jalan cerita yang santai. Anda akan disajikan kehidupan keluarga Jacob, dari bekerja di ladang sayur sehinggalah hubungan diantara David dan neneknya. Selain itu juga, paparan konflik diantara suami isteri dan masalah anak yang nakal turut diselitkan dalam filem ini, sebagai asam garam kehidupan yang dilalui keluarga Jacob ketika berada ditempat baru. 

Kekuatan filem ini sebenarnya terletak pada kualiti para pelakonnya, baik pelakon utama dan juga pelakon pembantu. Han Ye-ri berjaya membawa peranannya sebagai seorang isteri dan ibu, manakala ketegasan dan kesungguhan Steven Yeun sebagai ketua keluarga banyak menggerakkan perjalanan filem ini. Gandingan mereka berdua telah mencipta banyak drama, seperti pasangan suami isteri diluarsana, yang sering bergaduh dan kemudiannya berbaik kembali. Selain Han Ye-ri dan Steven Yeun, pelakon kanak-kanak Alan Kim pasti mencuri perhatian anda.

Watak David adalah cahaya kepada filem ini, dan memang patutlah Alan Kim memenangi anugerah Pelakon Muda Terbaik di Critics Choice Awards. Segala perbuatan dan tindakan David telah mencuit hati saya, terutamanya ketika dia mula memberontak kerana tidak mahu tidur sebilik dengan neneknya. Saya merasa agak lucu dengan telatah David yang sentiasa mengelak dan mengenakan neneknya, tetapi saya juga dapat merasakan ikatan yang kuat antara kedua-dua karakter itu sehingga ia mencipta satu suasana yang cukup emosional. 

Filem ini sebenarnya memberi nilai moral yang cukup tinggi kepada penonton. Setiap hubungan, tingkah-laku dan perbuatan akan berbalik kepada nilai-nilai kekeluargaan. Sekuat mana usaha untuk mencari kesenangan, haruslah mementingkan keluarga terlebih dahulu. Kesenangan tidak akan bernilai jika keluarga berpecah-belah. Itulah yang dipaparkan dipenghujung filem ini, jika keluarga bersatu, ego dibuang, kejayaan akan senang dikecapi dan ikatan kekeluargaan akan semakin kuat.

Jika anda ingin mencari sebuah filem drama yang santai dan dalam masa yang sama, mengagumi jalan cerita dan kualiti para pelakonnya, Minari adalah jawapannya. Filem ini bukan sahaja bagus dari segi plot dan lakonan, malah anda akan merasa tenang melihat suasana pendalaman yang menghijau dengan latarbelakang era 80-an. Bagi saya, filem ini sememangnya hebat dan layak untuk tercalon dalam kategori Filem Terbaik Oscar. 

Rating Kakimuvee

4.5/5

Related posts

Review Anime: The Way Of The Househusband (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Jangan Sendirian (2021)

Kakimuvee

Review Telefilem: 18 Puasa Di Kampong Pisang

Kakimuvee

Review Filem: Dreamy Eyes (2019)

Kakimuvee

Review Filem: The Promised Neverland (2021)

Hasib Anwar

Review Filem: The Box (2021)

Hasib Anwar