Review

Review Filem: Midway (2019)

Views

Antara pertempuan terbesar dalam sejarah Perang Dunia Kedua adalah “Battle of Midway” yang diantara 4 hingga 7 Jun 1942. Pertempuran tersebut mengubah perjalanan perang diantara Jepun dan Amerika Syarikat dan menjadi titik permulaan kepada kemusnahan Armada Tentera Laut Jepun di Lautan Pasifik.

Bagi memperingati peperangan tersebut, beberapa filem telah dihasilkan seperti filem dokumentari The Battle of Midway yang diterbitkan pada 1942 dan filem perang klasik berjudul Midway yang tayangkan pada 1976. Dengan kemajuan teknologi yang ada pada masakini berserta semangat untuk membawa penonton memperingati sejarah Pertempuran Midway, bekas pengarah Independence Day,  Roland Emmerich kembali menerusi karya terbarunya berjudul Midway. 

Filem ini dimulakan dengan ketegangan diplomatik diantara Jepun dan Amerika Syarikat. Lieutenant Commander Edwin T. Layton lakonan Patrick Wilson telah diberi amaran oleh Admiral Isoroku Yamamoto (Etsushi Toyokawa) bahawa peperangan diantara Jepun dan Amerika Syarikat tidak dapat dielakkan. Pada pagi 7 Disember 1941, Pasukan Tentera Laut dan Udara Jepun telah membuat serangan mengejut terhadap Pearl Harbor dan memusnahkan sebilangan besar kapal-kapal perang yang berlabuh di pelabuhan tersebut.

Serangan mengejut itu telah memberi kesan besar kepada strategi dan moral Pasukan Tentera Amerika Syarikat. Dikala moral pasukan tentera Amerika Syarikat jatuh menjunam kerana tewas ditangan Jepun, Admiral Chester Nimitz lakonan Woody Harrelson telah dihantar ke Pearl Harbor untuk merangka strategi menyerang balas dan menewaskan Jepun di Lautan Pasifik. Selaku pegawai perisikan, Layton dapat memintas kod rahsia tentera Jepun yang mengatakan Midway akan menjadi lokasi serangan Jepun seterusnya. Nimitz bersama para pegawai dan pasukan perisikan tentera AS kemudiannya merangka strategi untuk menyerang hendap Armada Tentera Laut Jepun di Midway, dan pada 4 Jun 1942 bermulalah satu pertempuran laut terbesar dalam sejarah Perang Dunia Kedua yang dikenali sebagai “Battle of Midway”.

BACA:  Review Filem: Maleficent: Mistress of Evil

 

Dari suasana di lautan, diatas kapal pengangkut sehinggalah serangan terhadap kapal-kapal perang serta aksi kejar mengejar diantara pesawat tentera Jepun dan Amerika Syarikat, hampir kesemuanya bergantung penuh kepada kesan khas CGI. Namun penggunaan kesan khasnya tidak begitu konsisten, visualnya kelihatan seperti ‘kartun’ dan adakalanya menganggu pengalaman sinematik penonton. Jika hendak dibandingkan dengan filem Pearl Harbor arahan Michael Bay, Midway agak kebelakang dari segi adegan aksinya. Pearl Harbor memaparkan adegan aksi yang cukup realistik, terutamanya jika yang melibatkan letupan, dan aksi ‘dogfight’ Pearl Harbor juga sangat mendebarkan. Roland Emmerich pula sebaliknya dilihat lebih bergantung harap kepada penggunaan CGI dalam menterjemahkan segala adegan aksi dalam filem arahannya ini.

Apa yang menarik tentang filem Midway ini adalah selingan beberapa peristiwa penting sebelum berlakunya Pertempuran Midway. Selain serangan keatas Pearl Harbor, ia turut menunjukkan peristwa “Doolittle Raid’ dimana ia merupakan antara serangbalas bersejarah dalam tentera AS semasa Perang Dunia Kedua dan permintaan Nimitz yang mahu kapal pengangkut Yorktown dibaikpulih dalam tempoh 72 jam supaya ia dapat menyertai pertempuran di Midway. Walaupun beberapa peristiwa selingan ini tidak dipaparkan secara terperinci, ia sekurang-kurangnya mampu memberikan sedikit kefahaman terhadap penonton tentang beberapa rentetan peristwa penting sebelum berlakunya “Battle of Midway”. Cuma yang sedikit mengecewakan, skripnya sangat lemah untuk diangkat menjadi menjadi sebuah filem Perang Dunia Kedua yang epik.

BACA:  Review Filem: Line Walker 2: Invisible Spy

Dari segi lakonan, Ed Skrein paling menyerlah berbanding pelakon-pelakon yang lain. Dia nampak sangat bersemangat untuk membawakan watak Lieutenant Richard “Dick” Best. Begitu juga Patrick Wilson, lakonannya sebagai pegawai perisikan Edwin T. Layton tidak mengecewakan. Cuma beberapa pelakon lain seperti Luke Evans dan Aaron Eckhart agak sedikit tenggelam. Emmerich cuba untuk mewujudkan drama dalam filemnya ini apabila memperkenalkan watak-watak isteri kepada beberapa watak utama seperti Anne Best lakonan Mandy Moore. Namun disebabkan skrip yang tidak begitu kuat, watak-watak ini tidak banyak membantu dalam pembinaan plot apatah lagi dalam mewujudkan suasana beremosi.

Secara keseluruhannya, Midway antara filem perang yang menarik untuk ditonton secara berulang-ulangkali meskipun terdapat sedikit kecacatan dalam penulisan skrip dan teknikal. Jika penceritaanya kuat ditambah  pula dengan gabungan adegan aksi yang mendebarkan dan teknikal serta visual yang kemas, Midway pasti akan menjadi antara filem perang yang sangat epik.

RATING KAKIMUVEE: 6.5/10

Tinggalkan Balasan

shares