Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Mencari Rahmat (2017)

Akhirnya, selepas tertunda beberapa kali, filem yang dinantikan, Mencari Rahmat telah ditayangkan kepada penonton – cuma ia bukannya ditayangkan di pawagam, sebaliknya di perkhidmatan streaming MUBI.

Dibarisi pelakon-pelakon hebat seperti Nam Ron, Amerul Affendi, Nadia Aqilah, Sharifah Amani, Adibah Noor dan ramai lagi, dan disutradarai dan ditulis oleh pengarah tersohor Al Jafree Md Yusop, Mencari Rahmat menjadi filem yang dinantikan para peminat filem tanah air yang sering kali kecewa dengan lambakan karya-karya yang tidak berkualiti.

Namun, Mencari Rahmat bukan filem komedi tipikal yang sering kita lihat di layar besar, ia jauh lebih sinikal dan gelap yang mungkin sukar untuk penonton menerimanya apatah lagi terhibur. Diilhamkan dari pementasan teater klasik oleh Oscar Wilde, “The Importance Of Being Earnest”, Mencari Rahmat memberikan satira dan humor yang penuh sarkastik, yang banyak melibatkan isu-isu kekeluargaan, penipuan, karakter khayalan dan hubungan sesama manusia yang relevan di pada masa kini.

Berdasarkan sinopsis – saya cuba untuk mendedahkan sebarang spoiler – filem ini menceritakan tentang Razak yang merupakan seorang anak yatim piatu. Dia kemudiannya bergelar seorang ahli perniagaan berjaya di Pulau Pinang. Selepas ibu bapa angkatnya meninggal dalam satu kemalangan, dia mewarisi segala-galanya, termasuk menjadi penjaga kepada cucu mereka berusia 19 tahun bernama Ratna, yang juga yatim piatu.

Bagaimanapun, Razak yang merupakan seorang kaki parti dan suka berfoya-foya mahu menunjukkan contoh baik kepada Ratna. Sementara itu, Azman seorang lagi yatim piatu yang dibesarkan oleh makciknya, Datin Azizah. Datin Azizah mempunyai anak perempuan bernama Rose yang juga kekasih Razak. Kehidupan mereka kemudian bertembung sebagaimana rahsia mereka terdedah.

Seperti yang dikatakan di atas, Mencari Rahmat bukanlah filem komedi tipikal yang kita lihat, ceritanya banyak tertumpu pada ‘sembang-sembang’ antara watak yang hampir kesemuanya berada di dalam rumah –  satu lokasi sahaja. Tetapi, apa yang di ‘sembangkan’ mereka membentuk jalan cerita, terutamanya latarbelakang Razak dan Azman dan kenapa mereka mencipta identiti khayalan untuk keluar dari kehidupan sebenar mereka.

Sebagai sebuah filem yang menampilkan para pelakon teater, penonton akan melihat lontaran-lontaran dialog yang cukup jelas dan teratur dari mereka. Anda seolah-olah melihat mereka sedang berlakon di pentas teater, tambahan pula dengan beberapa adegan yang dirakam secara ‘one-shot’, anda pasti kagum dengan cara mereka melontarkan kata-kata, mengingati setiap baris dialog yang perlu mereka tuturkan. Dari segi lakonan, jika dilihat pada satu sudut, ia kelihatan agak ‘gedik’ dan ‘over’, tetapi harus diingat, mereka menyampaikan perwatakan yang sinikal. Secara keseluruhannya, lakonan mereka agak baik, setanding dengan status mereka sebagai hebat tanah air. 

Sebagai penonton marhaen, diakui ‘first act’ Mencari Rahmat agak membosankan, pada waktu itu saya masih tidak dapat menangkap apa yang cuba mereka sampaikan. Tetapi, apabila watak Datin Azizah dan Ratna – lakonan Adibah Noor dan Sharifah Amani – dimasukkan, jalan ceritanya semakin jelas dan menarik. Jujur saya katakan, jarang sekali saya lihat ‘third act’ filem tempatan yang sebagus Mencari Rahmat. Ya!, segalanya mula terungkap pada bab “Haram Jadah”, yang saya rasakan cukup kelakar, cukup puas hati dan segala macam ‘cukup.’

Jika dilihat pada permukaan, watak-watak dari golongan kaya dan ada yang berpangkat Datin, kita mungkin menyangka Mencari Rahmat adalah tipikal drama jam 7. Tetapi, filem ini tidak sama seperti apa yang anda sangkakan. Kisahnya yang sangat ringkas, kenapa nama Rahmat begitu penting buat mereka, kenapa tidak sifat individu itu sendiri. Disinilah isu-isu yang kita rasakan mungkin agak remeh, seperti keperibadian seseorang atau kekeluargaan, dirungkaikan secara sinis.

Secara keseluruhan, Mencari Rahmat adalah filem yang sangat bagus dan berkualiti tinggi, terima kasih kepada barisan pelakon yang sangat hebat dan idea serta pengarahan yang bernas dari Al Jafree Md Yusop. Agak sayang jika filem ini tidak mendapat perhatian peminat filem tempatan, sedangkan filem seperti ini harus diraikan. Kepada mereka yang ingin menonton Mencari Rahmat, anda boleh strim di MUBI. Pastikan anda memilih saluran yang sah, dan dapat membantu industri filem tempatan, khususnya filem-filem yang berkualiti.

Rating Kakimuvee

4/5

Related posts

Review Filem: Cruella (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Ada Hantu (2021)

Kakimuvee

Review Siri TV: What If…? (2021)

Kakimuvee

Review Filem: The Tomorrow War (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Mat Bond Malaya (2021)

Kakimuvee

Review: Zombitopia (2021)

Kakimuvee

Leave a Comment