Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan (2022)

Sekalung penghargaan kami berikan secara sejujurnya kepada keseluruhan produksi Studio Kembara dan juga pengarah filem ini iaitu Syamsul Yusof yang berani menerbitkan sebuah filem berunsurkan perjuangan Melayu yang diinspirasikan daripada pahlawan kemerdekaan tanah air iaitu Mat Kilau.

Walaupun dilanda dengan pelbagai kontroversi dan juga asakan daripada pelbagai pihak semenjak hari pertama sedutan filem ditayangkan di Youtube sehingga hari pertama filem ditayangkan.


Dibintangi oleh pelbagai pelakon daripada segenap lapisan umur, Mat Kilau merupakan sebuah filem tempatan yang ditunggu – tunggu akan tayangannya. Memakan bajet keseluruhan bernilai RM8 juta, kini Mat Kilau sedang berentap di pawagam dan dengan mudah menewaskan filem filem luar yang masuk bersama ke arena pawagam pada kali ini.

Menampilkan Adi Putra sebagai penggalas watak utama, filem ini juga turut menampilkan pelakon – pelakon tempata sukaramai yang lain seperti Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan Asari serta pelakon lagenda yang lain seperti Dato Rahim Razali, Dato Jalaluddin Hassan, Wan Hanafi Su serta pelakon dari Indonesia yang banyak bergiat di layar antarabangsa iaitu Yaya Ruhian.

Pujian sejujurnya harus diberikan kepada penjanaan skrip dan juga dialog filem ini yang pada saya mampu meninggalkan kesan yang agak dalam ke dalam jiwa setiap penontonnya sekiranya diamati dengan bersungguh – sungguh. Kehebatan dialog dalam filem ini tidak sahaja berlegar dalam kalangan watak baik akan tetapi turut dituturkan oleh watak jahat.

Babak pembuka filem ini juga sebenarnya berjaya disampaikan dengan baik, tahniah diucapkan kepada Ellie Suriaty dan Mubarak Majid yang mana walaupun kemunculan mereka hanya seketika namun berjaya membawa seluruh dewan tayangan ke alam Mat Kilau untuk dua jam yang seterusnya.

Pengenalan watak besar juga ditunjukkan dengan begitu ringkas namun mampu menimbulkan “wow” dalam kalangan penonton. Tidak keterlaluan saya katakan para penonton begitu teruja melihat watak watak besar dalam sejarah ditayangkan di layar perak seperti Dato Bahaman, Tok Gajah.

Pengalaman saya sendiri di pawagam tempat saya menonton – ada penonton yang teruja melihat watak watak ini sepertimana terujanya sesetengah penonton melihat watak watak superhero zaman kanak – kanak mereka.

Satu sahaja yang menjadi sedikit kerengsaan saya ketika menonton filem ini adalah gerak kerja kameranya yang seolah – olah dibadai rebut lebih lebih lagi ketika babak aksi dimainkan.

Koregrafi babak aksi dan pertembungan antara watak tidak dapat dihayati dengan sepenuhnya kerana visual yang disajikan agak “keributan”. Pada mata orang kebanyakan mungkin tidak menjadi masalah namun saya yakin ia sedikit sebanyak memberi kesan yang berbeza kepada setiap penonton.

Semua juga sedia maklum bahawa filem Mat Kilau hanyalah menginspirasikan kisah Mat Kilau dan bukannya dilayarkan secara 100% mengikut fakta.

Namun apabila ia dijadikan sebagai filem, perkembangan cerita dan watak haruslah dititikberatkan agar tidak menjadi kelompongan dalam keseluruhan filem dan dukacitanya filem ini sememangnya agak kurang dari segi perkembangan cerita dan watak.

Kesimpulannya, walaupun ada beberapa perkara yang boleh ditingkatkan lagi dalam filem Mat Kilau ini akan tetapi saya mengakui bahawa filem ini adalah filem yang wajib ditonton oleh kebanyakan rakyat Malaysia dan tontonan harus dilakukan di pawagam.

Tahniah saya ucapkan kepada mereka yang telah menontonnya di pawagam dengan penuh semangat perjuangan sehingga sanggup berpakaian sepertimana watak dalam filem. Ini tanda industri filem kita masih bernyawa dan tidak terkubur.

Tinggi harapan saya agar selepas ini timbul lagi penggiat penggiat filem yang berani mengadakan filem sebegini rupa dan percayalah di sebalik ramai yang menghentam industri filem tempatan, ramai juga yang menyokongnya.

Rating Kakimuvee

3.5/5

Related posts

Review Filem: Laal Singh Chaddha (2022)

Kakimuvee

Review Filem: Pengabdi Setan 2 : Communion (2022)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Gadis Jolobu The Movie (2022)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Carter (2022)

Kakimuvee

Review Filem: Prey (2022)

Kakimuvee

Review Filem: Decision To Leave (2022)

Kakimuvee

Leave a Comment