Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Mat Bond Malaya (2021)

“Alang-alang nak buat filem ‘bodo’, buat macam Nabil”

Pertama kali saya melihat penggoda Mat Bond Malaya, saya sudah tepuk dahi, trauma dengan tema Zombi tempatan selepas menonton filem Zombitopia. Secara jujurnya, saya tidak meletakkan sebarang harapan terhadap filem arahan Nabil Ahmad ini, kerana saya menjangkakan, filem ini mungkin tidak jauh beza dengan filem-filem teruk tempatan. 

10 minit pertama Mat Bond Malaya boleh dikatakan agak ‘cringe’, saya hampir memuntahkan kembali isi durian Black Thorn selepas melihat pengenalan filem yang agak meloyakan. Namun, apabila Michael Ang membuat penampilan cameo, persepsi saya terhadap filem ini mula berubah sedikit. 

Pada saat itu, saya mula menyedari bahawa Nabil cuba mengetengahkan konsep ‘cerita dalam cerita’, dimana dia melakonkan watak dirinya sendiri sebagai pengarah, yang cuba membentangkan ideanya kepada pengarah-pengarah lain, seperti Aziz M. Osman dan Ghaz Abu Bakar. Konsep yang diketengahkan oleh Nabil mengingatkan saya pada filem The Gentlemendimana satu watak ini bercerita kepada satu lagi watak, yang mana cerita tersebut menjadi plot utama filem. 

Dalam Mat Bond Malaya, Nabil membentangkan ceritanya kepada Aziz M. Osman dan Ghaz Abu Bakar, dan cerita tersebut mengenai seorang lelaki muda bernama Mat yang bercita-cita mahu menjadi seorang ejen perisikan, dan dalam masa yang sama telah jatuh hati kepada seorang ejen perisikan yang cantik bernama Bondi lakonan Elizabeth Tan. Ketika Mat bertugas di bahagian penyamaran identiti, Bondi telah menjalankan misi di sebuah pulau. Bagaimananapun dia telah ditangkap oleh Dr. Ebel, seorang penjahat yang bercita-cita mahu menjatuhkan agensi perisikan M6 dan menyebarkan virus merbahaya ke seluruh dunia. 

Apa yang saya boleh katakan, filem arahan Nabil ini ‘masuk air’. Mungkin ada yang kurang gemar dengan komedinya, tetapi saya, secara jujurnya, terhibur. Cuma, yang agak terkilannya, tidak banyak (mungkin tiada langsung) ‘reference’ dari filem asal Mat Bond arahan Mat Bond, baik dari segi karakter atau homage. Saya tak pasti sama ada filem ini adalah remake atau reboot dari sumber asal. Apa yang saya nampak, filem ini mungkin ‘spoof’ kepada filem-filem pengintipan / zombi.

Bercakap soal ‘cerita dalam cerita’, jujurnya saya suka dengan konsep sebegini, cuma filem ini kurang ‘interaktif’, tidak banyak ‘connection’ antara plot utama dan kisah Nabil membentangkan idea kepada dua pengarah. Walaupun ada beberapa bahagian yang menunjukkan dua pengarah memberi idea atau pertanyaan, yang menyebabkan Nabil mengubah plot filem, ia tidak mencukupi dan tidak membantu keseluruhan filem. Sebaliknya, apa yang dibualkan lebih kepada isu-isu dalam industri filem. 

Antara pekara menarik yang telah saya lihat adalah penampilan cameo selebriti-selebriti tempatan seperti Yusof Haslan, Ning Baizura dan ramai lagi. Sudah tentu ‘cameo’ Didie Alias paling ‘kecoh’. Kehadiran Aloy Paradoks sebagai budak ‘intern’ telah menghidupkan suasana komedi dalam filem ini. Walaupun ‘screentime’ watak Aloy tidak begitu banyak, ia masih mampu menyumbang unsur-unsur komedi. 

Sebagai watak yang bercita-cita untuk menjadi pengintip, Nabil barangkali lupa untuk menonjolkan watak Mat lakonan Naqiu. Mat sepatutnya mendominasi jalan cerita dan ‘screentime’ memandangkan namanya dijadikan judul filem ini. Tetapi apa yang saya lihat, dia banyak ‘tersangkut’ di bahagian penyamaran bersama G (lakonan Farid Halus). Watak Naqiu hanya menyerlah pada penghujung filem, tetapi sayang, masih tiada unsur-unsur perisikan ala James Bond atau Mat Bond. 

Watak Azri Iskandar pada asalnya saya kurang gemar kerana kelihatan ‘fake’ untukj menjadi penjahat. Tetapi apabila Bondi ditangkap, barulah saya mula menyukai watak Dr. Ebel. Saya suka bukan kerana kejahatan dan motivasinya untuk menakluki dunia, tetapi merasa lucu melihat telatahnya ketika cuba memasuki bangunan M6 – rancangan terbantut. Jika hendak dibandingkan dengan Dr. Rahman dari Zombitopia, saya rasa motivasi dan perancangan Dr. Ebel jauh lebih baik dan jelas. 

Dari segi teknikal, saya puji kesungguhan Nabil dalam menjaga konti. Walaupun filem ini kelihatan berbajet rendah, kostum watak, sinematografi dan skor dibikin dengan baik, memberikan ‘vibe’ era 60an kepada penonton. Suntingannya bagi saya ‘ok’, tidak mengelirukan walaupun terdapat beberapa adegan yang saling bertukar-ganti. Saya juga perasan, filem ini tidak banyak kesan khas CGI – pilihan yang tepat kerana CGI filem-filem tempatan hanya merosakkan filem. 

Secara keseluruhannya, Mat Bond Malaya adalah filem yang bagus dan ringan. Bagus bukanlah bermaksud filem ini layak di hantar ke Oscar, tetapi berbaloi untuk ditonton sambil bersantai di rumah. Bagi saya, Nabil berpotensi untuk hasilkan filem-filem bercorak komedi, lebih-lebih lagi melihat pada statusnya sebagai seorang pelawak. Dia memiliki idea dan pengalaman, cuma apa dia yang diperlukan, perbaiki kelemahan-kelemahan yang ada dan juga bajet. 

Rating Kakimuvee

2.5/5

Related posts

Review Filem: Doctor (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Dune (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Dark Spell (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Chinese Doctors (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Frontliner (2021)

Ahmad Fariszuan

Review: Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings (2021)

Kakimuvee

Leave a Comment