Review

Review Filem: M.O.X – Misi Operasi X

Ala James Bond atau Jebon?

Views

Sejak akhir-akhir ini, pembikin filem tempatan dilihat semakin terbuka dalam mengetengahkan sebuah karya yang lari dari kebiasaan filem-filem tempatan. Jika sebelum ini penonton sering mengomel bahawa filem tempatan terkurung dalam genre seram, komedi dan ‘rempit’, terdapat beberapa pembikin filem cuba untuk keluar dari kurungan dengan membawa genre dan tema yang agak berlainan.

Bagi mempelbagaikan genre dan tema yang ada dalam industri filem tempatan, produksi Wallworld Pictures dan pengarah Datuk Zulkiflie M. Osman tampil membawa kelainan apabila menerbitkan filem bertemakan ejen penyiasatan ala ‘James Bond’ berjudul M.O.X – Misi Operasi X. 

Filem ini berkisarkan tentang ejen 0017 Don Pedro (Ebi Kornelis) yang ditugaskan oleh agensi M.O.X untuk mendapatkan maklumat dari seorang pelajar yang berjaya menggodam sistem organisasi pengganas KFR13. Pelajar yang dikenali sebagai Martias (Wan Adi Rafuan) itu berjaya mendapatkan maklumat mengenai senjata pemusnah dan perancangan jahat KFR13.

Selepas berjaya dalam misinya itu, Don mula diburu ejen-ejen KFR13 yang ingin membunuhnya. Dalam masa yang sama, Don juga telah diberi satu lagi tugasan yang agak sukar dari agensi, iaitu menjejaki seorang saintis di India dan seterusnya menumpaskan organisasi pengganas KFR13 serta ketuanya, Komander Moshi (Dato Jaafri Omar).

BACA:  Drama Di Sebalik Wajah Diberi Sentuhan Ala Filem

Seingat sayalah, industri perfileman tempatan hanya memiliki beberapa sahaja filem yang bertemakan ejen penyiasatan seperti Nora Zain – Agen Wanita 001 dan Jefri Zain – Gerak Kilat yang mana kedua-duanya diterbitkan pada pertengahan era 60an, selebihnya adalah filem penyiasatan yang lebih menjurus kepada komedi seperti Mat Bond, Mat Gelap dan MX3. Jadi apabila M.O.X – Misi Operasi X dihasilkan, ia seolah-olah membuka kembali tema yang telah lama dilupakan produksi tempatan.

Bagaimanapun, filem arahan Zulkiflie M. Osman ini sangat jauh dari apa yang diharapkan, M.O.X – Misi Operasi X bagi saya ia adalah sebuah filem yang sangat ‘tidak jelas’, dan sangat teruk penulisan skripnya. Saya difahamkan, skrip filem ini mengambil masa yang cukup lama untuk disiapkan, tetapi apabila ia diterjemahkan ke layar perak,.. saya tidak tahu bagaimana hendak meluahkan kepada anda. ‘Plot hole’ ada dimana-mana sahaja, sangat mudah dijangka, ‘build up’ ceritanya sangat mendatar dan amat membosankan. ‘Third act’ filem nya pula dibuat dengan sangat teruk dan tergesa-gesa, manakala perkembangan wataknya terbantut tanpa sebarang peningkatan sejak filem bermula.  Yang hanya boleh dibanggakan, “plot twist dalam plot twist dalam post-credit-plot-twist”, sehingga anda tidak tahu apa yang hendak di’twist’kan.

Dialog yang dituturkan para watak dalam filem ini bagi saya sangat mengarut. Sebagai seorang rakyat Malaysia yang sering bertutur dalam bahasa Melayu, saya langsung tidak dapat memahami apa yang ingin cuba disampaikan pada pelakonnya. Penggunaan bahasanya serta metafora ayat terlampau tinggi darjatnya sehinggakan anda terpinga-pinga kerana tidak dapat memahami sepatah haram dialog dalam filem ini.  Selain itu juga, runut bunyi yang sangat bingit turut mengganggu konsentrasi saya untuk memahami segala dialog ‘berdarjat tinggi’. Senang kata, anda akan merasa sangat letih untuk mendengar dan memahami segala dialog para watak dalam filem ini.

BACA:  Review Filem: Fighting With My Family

Walaubagaimanapun, saya tetap memuji usaha pengarah untuk mengangkat tema penyiasatan dalam filemnya, tetapi cita-cita yang terlampau tinggi boleh merosakkan sesebuah karyanya. Saya tahu, kebanyakkan filem-filem seperti ini, misalnya francais James Bond banyak melibatkan konflik global dan penggunaan teknologi tinggi, tetapi tidak semestinya perlu meniru bulat-bulat filem buatan luar negara. Apabila M.O.X – Misi Operasi X cuba ‘mengglobalkan’ plotnya, ia sebenarnya telah menggagalkan filem ini sebelum penggambaran bermula. Filem ini banyak menggunakan kesan CGI dan kualitinya sangat teruk. Begitu juga suntingan filem ini yang langsung tidak kemas dan berterabur. “Continuity error”? begitu berlambak, dan senang dikesan penonton.

Walaupun filem ini banyak ‘flaw’, ia tidak menghalang saya untuk mengatakan yang saya sebenarnya suka dan terhibur dengan filem Misi Operasi X. Bagi saya filem ini boleh menjadi satu lagi ‘cult classic’ tempatan kepada penonton disebabkan keterukannya yang agak melampau, lebih-lebih lagi watak Komander Moshi yang boleh dijadikan ‘bahan’ untuk berborak dengan rakan-rakan anda

RATING KAKIMUVEE: 1/10

Video Review

Tinggalkan Balasan

shares