Review Filem Korea: The Admiral: Roaring Currents (2014)

148
views

Bagi korang yang berminat dengan filem perang berlatar belakangkan sejarah, aku syorkan filem perang Korea yang epik dan realistik ni lakonan pelakon hebat dan paling dikagumi di Korea iaitu Choi Min-sik. Aku tengok The Admiral Roaring Currents ni lebih 3 kali kot. Strategi perperangan beliau dahsyat sungguh.

The Admiral Roaring Currents di arahkan oleh Kim Han-min merupakan filem biografi sejarah tentang tokoh heroik terkenal Korea, Laksamana Yi Sun-shin. Filem ni merupakan filem paling “laku” dalam sejarah perfileman Korea setakat ni, meraih keuntungan lebih dari USD100 juta dan mengetepikan pencapaian filem Avatar di Korea. Filem ini juga mendapat banyak anugerah-anugerah utama di Korea. Belum ada lagi filem tempatan mahupun antarabangsa di Korea yang mengutip keuntungan sebegitu.

Rakyat Korea sedia maklum sangat mengagumi dan menghargai kisah sejarah negara mereka, oleh itu setiap filem dan drama Korea yang bertemakan sejarah, pihak produksi akan mengeluarkan belanja yang tinggi, kerana pulangannya juga setimpal.

Kisah dalam filem ini sangat penting untuk Korea, beberapa ahli sejarahwan berpendapat jika Dinasti Joseon kalah dalam Battle of Myeongnyang tersebut, besar kemungkinan negara Korea tidak akan ada.

Apa yang akan jadi jika hanya 12 buah kapal terpaksa menghadapi 330 buah kapal pihak lawan di lautan yang luas? Inilah yang akan korang saksikan dalam filem ini.

Filem ini bercerita tentang pertempuran laut bersejarah Myeongnyang (Battle of Myeongnyang) di pantai barat daya semenanjung Korea. Ini merupakan perperangan dan perjuangan bersejarah Korea, yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Dinasti Joseon melawan Jepun yang terjadi sepanjang perang Imjin di tahun 1597, abad ke-16 Dinasti Joseon.

Saat itu Korea harus menghadapi serangan dari Empayar Jepun yang sangat kuat, baik di darat mahupun lautan. Watak utama filem ini, Laksamana Yi Sun-shin (Admiral Yi), yang sudah beberapa kali berhasil memimpin pasukannya untuk mengalahkan angkatan laut Empayar Jepun, meskipun jumlah armada kapal perangnya lebih sedikit. Perang ini kedengaran mustahil, kerana hanya dengan 12 buah kapal namun boleh menghancurkan kapal musuh dengan jumlah yang berkali-kali gandanya.

Di awal kisah diceritakan bahawa Laksamana Yi dipenjarakan dan diseksa kerana dianggap melawan perintah raja. Namun kerana situasi darurat dimana Jepun ingin menguasai dinasti Joseon, Admiral Yi dilepaskan dan kembali ditugaskan untuk memimpin angkatan laut. Akibat perang-perang sebelumnya, hanya ada 12 kapal perang Korea yang tersisa.

Laksamana Yi Sun-shin dilakonkan oleh pelakon paling berpengaruh, versatile dan boleh dikatakan paling power di Korea setakat ini iaitu Choi Min-sik, memegang peranan sebagai seorang Laksamana yang terkenal dengan kehebatan beliau menumpaskan musuhnya dengan strategi yang sangat steady dan hebat.

Bagaimanapun laksamana Yi berhadapan dengan kesukaran untuk mengekalkan tegas strategi beliau di samping memenuhi tentangan daripada komander dan orang-orangnya sendiri, tetapi beliau tidak pernah putus asa dan menyerah walaupun Raja beliau menyuruh beliau mundur sebab dah rasa tak boleh menang dengan 12 buah kapal.

Musuhnya dalam Battle of Myeongnyang ini bukan bekas laksamana dari Jepun yang juga merupakan seteru utama beliau dalam perang-perang sebelum ini, Wakizaka (Cho Jin-woong) tetapi lanun Samurai yang sangat kejam iaitu Kurushima Michifusa (Ryu Seung-ryong), diangkat sebagai Laksamana Jepun untuk membantu Jepun, beliau berdendam dengan Laksamana Yi kerana abangnya dibunuh oleh Laksamana Yi.

Filem The Admiral: Roaring Currents mempunyai sinematografi luar biasa dan mengagumkan. Kita boleh dapat rasa setiap kapal langgar antara satu sama lain. 8 replika kapal tentera laut Korea dan Jepun yang dibina khas untuk filem ini, dan walaupun banyak pertempuran dalam filem ini juga dicipta semula dengan CGI, kesannya sangat lancar dan realistik.

Semua pakaian tentera laut begitu terperinci, dan kita boleh dapat lihat perbezaan yang ketara antara pakaian Korea dan Jepun. Filem ini adalah filem epik sejarah dan perperangan yang paling kemas jalan ceritanya yang pernah aku tengok. Dan sangat semulajadi dalam gambaran dan pertempuran dan kekuatan watak-watak yang sangat memuaskan hati.

Terdapat satu babak yang menarik di mana Laksamana Yi dalam keadaan mamai bangun dari tidur dan dalam keadaan mengigau mengikuti bayang-bayang ahli komradnya yang sudah mati dan beliau meminta-minta mereka untuk menerima minuman yang beliau telah curahkan, dan dalam situasi itu pembunuh masuk dan cuba untuk membunuh Laksamana Yi.

Beliau bernasib baik kerana diselamatkan oleh anaknya, dan dalam keadaan huru-hara itu, Turtle Ship terakhir beliau “Geobukseon” (kapal pertahanan utama dan kebanggaan tentera laut Korea) dibakar. Babak ini dirakam dengan cantik sekali dan sangat mengagumkan. Kita boleh rasa kesedihan yang Laksamana Yi alami apabila melihat kepala naga dari Turtle Ship beliau jatuh menyembah ke bumi.

Tetapi apa yang membuatkan filem ini paling menarik adalah pendedahan strategi mengejut Laksamana Yi. Beliau membawa angkatan laut Jepun ke Selat Myeongnyang kerana beliau sudah biasa dengan perubahan yang pesat dalam cuaca dan arus air, yang dikenali untuk menghasilkan pusaran air “whirpool”.

Sepanjang peperangan, beliau mampu untuk merangka dan merancang langkah-langkah seterusnya dan mengekalkan ketenangan walaupun apabila berhadapan dengan pengabaian dari orang-orangnya. Beliau enggan untuk tunduk, dan beliau menunjukkan semangat yang kuat tidak takut atau tertekan dan tidak sesekali membayangkan kekalahan. Perperangan bersejarah ini dikatakan berlangsung selama 8 jam.

Filem yang korang kena tengok walaupun sekali dalam seumur hidup korang.

Rating Kakimuvee: 10/10

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here