Review Filem Korea: Midnight Runners (2017)

180
views

Midnight Runners mengisahkan dua pelajar di Universiti Polis Kebangsaan Korea, walaupun mereka sebenarnya tak minat pun nak jadi anggota polis. Pada satu malam, Ki Joon (Park Seo Jun) dan Hee Yeol (Kang Ha Neul) menyaksikan satu penculikan dan segera melaporkan kejadian itu kepada polis.

Walau bagaimanapun, apabila pihak berkuasa tidak mengambil tindakan kerana birokrasi yang mengecewakan dan kekurangan bukti, kedua-dua mereka memutuskan untuk mengesan penculik itu sendiri dan menyelamatkan gadis itu, dan berlakunya pelbagai situasi yang lucu dan menyakitkan.

Filem ini bermula dengan sedikit emosi apabila Ki Joon dan Hee Yeol mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga mereka, tetapi dengan cepat bertukar menjadi adegan lucu di mana Ki Joon cuba menghentikan tukang gunting rambut dari memotong rambutnya terlalu pendek.

Selepas latihan yang memenatkan, Ki Joon dan Hee Yeol yang permulaannya tidak sebulu akhirnya menjadi sahabat baik, apabila mengetahui bahawa rakan sekelas mereka mendapat teman wanita di kelab malam, kedua-dua mereka memutuskan untuk mendapatkan juga teman wanita untuk diri mereka sendiri dengan mengunjungi kelab-kelab malam tetapi mereka akhirnya gagal dan minum arak untuk mengubati hati mereka.

Ketika berjalan di kaki lima, mereka memutuskan untuk mengekori seorang gadis. Tidak lama selepas itu gadis itu diculik betul-betul di hadapan mata mereka. Oleh kerana polis terlalu sibuk menyiasat kes berprofil tinggi, dan mengambil sambil lewa kes tentang penculikan gadis itu. Mereka membuat keputusan untuk menyelamatkan gadis itu sendiri.

Seperti yang mereka pelajari dalam kelas di Universiti Polis, dalam mana-mana kes penculikan, “golden hour” selepas jenayah berlaku adalah proses kritikal untuk mencari petunjuk dan mencari penculik itu, dengan setiap minit berlalu, risiko keselamatan mangsa penculikan akan menjadi semakin meningkat dan merisaukan.

Ini adalah apabila jalan cerita mula menjadi tegang. Kedua-duanya kemudian mengetahui bahawa penculikan ini bukan hanya kes culik yang biasa tetapi kes jenayah yang berkerjasama dengan hospital dan membekalkan organ manusia untuk pemindahan organ serta menjalankan perniagaan ibu tumpang kepada pelanggan yang kaya.

Jenayah yang berlaku ini merupakan pasaran haram untuk organ manusia. Apabila Hee Yeol mula-mula memasuki bangunan di mana bilik perbuatan jenayah ini dilakukan, tempat di mana gadis-gadis yang diculik untuk jenayah yang dahsyat ini, situasi ini sangat menyedihkan di mana kita melihat bahawa nilai kehidupan manusia sangat lah rendah nilainya dibandingkan dengan nilai organ-organ di dalam badan mereka sendiri,. Tetapi perkara sebegini sememangnya terjadi dan ada berlaku di dunia sebenar adalah sangat memilukan dan menyakitkan hati apabila melihat wang menjadi lebih dominan berbanding dari nyawa manusia.

Tetapi filem ini berakhir sangat baik di mana kedua-dua hero ini menewaskan dan mengalahkan kesemua geng yang menjalankan operasi jenayah itu dan menyelamatkan kesemua mangsa penculikan.

Walaupun mereka dibelasah dan mengalami kecederaan yang teruk, menghadapi hukuman kerana “Absent Without Leaving (AWOL)” dan kehilangan peralatan polis, tetapi berdasarkan kejayaan mereka menumpaskan kumpulan jenayah pemerdagangan organ pasaran haram yang mana malahan pihak polis pun tidak dapat selesaikan, mereka telah diselamatkan daripada dibuang Universiti.
……………………………………….

Park Seo Jun dan Kang Ha Neul tidak terlalu beria-ia untuk menterjemahkan unsur komedi yang ditonjolkan. Kedua-duanya memang sudah pun memiliki keserasian yang baik antara satu sama lain sehingga lebih mudah menyampaikan adegan komedi kepada penonton.

Babak aksinya pun cukup membuat penonton teruja. Tidak ada tembakan atau penggunaan senjata yang sinonim seperti dalam filem-filem aksi yang lain, yang ditunjukkan hanyalah pergaduhan dengan tangan kosong dan sesekali dengan senjata tumpul. Paling maksimum pun cuma menggunakan pistol renjatan elektrik yang setiap kali digunakan bukannya menambahkan kehebatan aksinya tetapi melucukan.

Tetapi meskipun bergaduh tanpa senjata-senjata hebat, terbukti tidak mengurangi intipati jalan ceritanya, pergaduhan secara fizikal yang padu di samping aluran cerita yang teratur dan tidak terburu-buru dari satu babak ke babak yang lain amat menarik dan tersenarai dalam filem yang boleh dikatakan tidak rugi untuk disaksikan.

Rating Kakimuvee: 8/10

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here