ReviewSlot Asia

Review Filem Korea: #ALIVE (2020)

Views

Sebagai seorang vlogger permainan video, Joon-woo sentiasa duduk dirumah semata-mata mahu bermain permainan video bersama rakan-rakannya. Namun, 'kepakarannya' yang sering terperap dirumah bakal digunakan sebaik mungkin apabila kawasan perumahan dipenuhi zombi yang kelaparan.

Itulah gambaran ringkas yang boleh diceritakan kepada anda semua tentang satu lagi filem zombi dari Korea Selatan berjudul #ALIVE. Dibintangi Yoo Ah-in dan Park Shin-hye, #ALIVE merupakan sebuah filem zombi yang berdasarkan dari skrip filem Hollywood, Alone. 

Yoo Ah-in memainkan peranannya sebagai Joon-woo, seorang 'survivor' yang mengurung dirinya didalam sebuah apartment ketika berlakunya serangan zombi. Lebih memburukan keadaan, ketiadaan talian internet dan telefon menyebabkan dia tidak dapat berkomunikasi dengan dunia luar.

Pengenalan cerita #ALIVE sangat ringkas dan 'straight to the point' dimana ia terus membawa penonton melihat Joon-woo tergamam dengan suasana menakutkan di kawasan perumahannya dan bagaimana dia mula mengurung dirinya. 30 minit pertama, anda akan melihat usaha Joon-woo yang cuba untuk meneruskan hidup dikala kawasan perumahannya dipenuhi dengan zombi.

Perjalanan cerita menjadi lebih menarik apabila karakter Park Sin-hye, iaitu Yoo-bin muncul pada bahagian kedua filem ini.

Seperti Joon-woo, Yoo-bin turut mengurung diri dalam rumahnya. Namun, kedua-dua mereka terpisah diantara dua bangunan dan terpaksa berkomunikasi secara jauh. Pertemuan kedua-dua karakter ini mengembangkan plot filem, dari kisah seorang 'survivor' kepada dua orang yang saling membantu antara satu sama lain.

#ALIVE tidak mengubah mood filem secara drastik walaupun Joon-woo telah bertemu dengan Yoo-bin. Hubungan mereka dibina secara perlahan-lahan - tidak secara romantik, tetapi cukup kuat untuk membuatkan penonton tidak sabar untuk melihat kedua-dua karakter ini bertemu secara berdepan.

Antara pekara yang paling penting dalam sebuah filem zombi, adalah zombinya. Pujian harus diberikan kepada zombi-zombi dalam filem ini yang jauh lebih baik dari Peninsula. #ALIVE tidak banyak memaparkan adegan 'makan otak', tetapi apabila sampai adegan-adegan yang melibatkan zombi, ia masih memberi debaran kepada penonton. Apapun, zombi dalam filem ini sangat bijak, bukan sahaja pandai membuka pintu, dan hebat dalam memanjat bangunan - kudos zombi bomba!.

Disebalik pekara positif dalam filem, terdapat beberapa isu harus dijelaskan serba sedikit. #ALIVE mempunyai beberapa 'contuinity error' yang sangat kritikal, terutamanya yang melibatkan elektrikal. Kesalahan kontuiniti ini mungkin tidak diperasan para penonton, tetapi ia sedikit sebanyak memberi kesan pada kualiti filem.

#ALIVE cuba membuat sedikit kejutan pada bahagian ketiga filem ini.  Cuma sayangnya, terlampau pendek sehingga kurang memberi impak pada babak klimaks. Penamat filem ini juga memuaskan tetapi tipikal, dan tidak melebih-lebih dalam mewujudkan suasana beremosi.

Secara keseluruhannya, #ALIVE sebuah filem yang sangat ringkas tetapi masih memberi hiburan yang cukup memuaskan kepada penonton. Gandingan mantap Yoo Ah-in dan Park Shin-hye menjadi salah satu faktor yang menjadikan filem ini menarik.

RATING KAKIMUVEE: 8/10

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks