Review

Review Filem: Knives Out

Views

AMARAN SPOILER!!!

Apabila kes kematian terjadi ditengah-tengah drama keluarga yang penuh kepura-puraan, maka terjadi sebuah kisah komedi thriller seperti Knives Out. Filem arahan Rian Johnson ini persis drama jam 7 TV 3, tetapi bila dimasukkan kematian dan penyiasatan, ia memberikan sebuah filem yang ‘mindblowing’, menarik dan penuh kejutan.

Knives Out dibarisi para pelakon yang hebat, seperti Daniel Craig, Chris Evans, Lakeith Stanfield, Michael Shannon, Ana de Armas, Jamie Lee Curtis, dan Don Johnson. Barisan pelakon sahaja sudah cukup untuk membuatkan anda tertarik dengan filem yang bertemakan ‘dark comedy’ thriller ini.

Kisahnya bermula apabila keluarga novelis terkenal, Harlan Thrombey meraikan majlis harijadi Harlan yang ke – 85. Seperti kebiasannya, keluarga yang besar dan mewah tidak semestinya baik-baik belaka, pasti ada yang suka menikam belakang serta tidak menyukai antara satu sama yang lain.

Namun apabila pagi menjelma, keluarga tersebut dikejutkan dengan satu berita yang cukup menyedikan, Harlan telah ditemui mati didalam bilik bacaannya.

Pada mulanya, kematian novelis tersebut dianggap sebagai kematian mengejut sepertimana kita membaca kes-kes kematian disebabkan bunuh diri di dada-dada akhbar. Namun, bagi penyiasat persendirian iaitu Benoit Blanc (Daniel Craig), kematian Harlan penuh dengan misteri dan muslihat. Kesemua ahli keluarga telah dipanggil untuk disoal siasat bagi mencari suspek dan motif pembunuh. Bagaimanapun, apa yang berlaku semasa sesi soal siasat, hanyalah drama keluarga yang penuh sadis dan hipokrit. Masing-masing sibuk menceritakan masalah mereka dan mendedahkan segala rahsia ahli keluarga yang lain.

Sebagai penyiasat profesional, sudah tentu Blanc tidak ambil pusing akan drama keluarga itu. Dengan sekadar memerhati dari jauh, dia mendengar dengan penuh minat, bukan kerana sibuk menjaga tepi kain orang, tetapi mencari petunjuk yang boleh membantu siasatannya. Akhirnya, usaha dalam mendapatkan pentunjuk kes, membawa Blanc kepada seorang jururawat yang sering menjaga Harlan iaitu Marta (Ana de Armas). Blanc tahu, Marta individu yang paling rapat dengan si mati, dan dia tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam keluarga tersebut. Namun apa yang Blanc tidak tahu, Marta mempunyai satu rahsia yang agak besar, rahsia yang mampu membongkar segala kemisterian, sekaligus merungkai kes kematian Harlan Thrombey.

BACA:  Along With The Gods : The Two Worlds Review

Knives Out boleh dikatakan sebuah filem yang agak rumit tetapi sangat menarik untuk ditonton sepanjang tayangannya. Ia tidaklah menunjukkan elemen penyiasatan yang hebat seperti Sherlock Holmes, malah awal-awal lagi penonton dapat mengentahui bagaimana Harlan Thrombey menemui ajalnya. Tetapi cara olahan cerita dan skrip filem ini sangat kuat serta kreatif sehingga ia langsung tidak memberi sebarang rasa bosan apabila menontonnya.

Diawal filem, penulis filem ini sengaja menyelitkan babak-babak flashback bagi menunjukkan drama dan petunjuk bagi merungkai kes Harlan. Tetapi apabila penonton mengentahui siapakah suspek sebenar dan punca kematian, plotnya menjadi semakin mendebarkan. Kehadiran Ransom Drysdale (Chris Evans) yang pada awalnya dilihat cuba melarikan diri dari dipanggil untuk soal siasat, menambahkan lagi misteri dan debaran plot penceritaannya. Apabila sampai ke babak klimaks, anda akan lagi teruja melihat pelbagai twist ala Detective Conan yang sangat mengejutkan.

Selain dari plotnya yang kemas dan kreatif, Knives Out memberikan komedi-komedi gelap yang pedas dan berunsur sindirian yang mampu membuatkan penonton tertawa dan tersenyum sinis. Seperti Ready or Not, sindirian tertumpu kepada konflik dan drama keluarga yang gila merebut harta pusaka dari semati yang kaya raya.

BACA:  Review Filem Godzilla: King Of The Monsters

Seperti yang dinyatakan diawal perenggan, barisan pelakon Knives Out memberikan prestasi lakonan yang cukup hebat, dan menyakinkan. Sebagai seorang detektif persendirian, Daniel Craig berjaya membawa watak Benoit Blanc ala James Bond, sangat berkarisma tetapi lebih sinikal. Chris Evans pula lebih matang sebagai seorang ahli keluarga yang memberontak, manakala Ana de Armas sangat ‘innocent’ dengan wataknya. Lain-lain pelakon seperti Jamie Lee Curtis, Lakeith Stanfield, Michael Shannon, Ana de Armas, dan Don Johnson turut memberikan satu lakonan yang sangat menarik. Cuma pelakon seperti Katherine Langford dan Jaeden Martell kurang mendapat ‘screentime’, mungkin kerana plot filem ini lebih tertumpu kepada tiga watak utama iaitu Blanc, Marta dan Ramson.

Reka bentuk produksi filem ini juga sangat kemas, sesuai dengan gambaran sebuah keluarga yang kaya. Begitu juga runut bunyinya yang penuh misteri dan banyak membantu menaikkan perasaan misteri dan debaran.

Secara keseluruhannya, Knives Out antara filem yang sangat menarik dan berkualiti tinggi dalam genrenya. Dengan barisan pelakon yang sangat mantap serta penulisan skrip yang berkualiti tinggi, anda tidak akan merasa bosan. Sebaliknya anda akan merasa puas dengan segenap penjuru filem ini, lebih-lebih selepas pelbagai twist didedahkan kepada anda serta penamat yang sangat sinikal dan pedih seperti tertusuk pisau.

BACA:  Adiwiraku Review

RATING KAKIMUVEE: 9/10

Tinggalkan Balasan

shares