Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: KKN di Desa Penari (2022)

AMARAN SPOILER!!!

Apabila sebuah kisah seram yang viral di media sosial diangkat ke layar perak, sudah tentu, ramai pembaca kisah tersebut tidak akan melepaskan peluang melihat versi sinematik di layar perak.

Seperti filem seram Indonesia KKN di Desa Penari, yang mana kisahnya menjadi sangat popular di media sosial seperti Twitter dan Tiktok, ramai penggemar filem seram tempatan menunjukkan perasaan tidak sabar untuk menonton filem ini sebaik sahaja mengentahui ianya akan ditayangkan di Malaysia. 

Secara jujurnya, saya tidak pernah membaca kisah asal filem ini di media sosial, namun premisnya agak mengujakan dimana ia berkisarkan tentang sekumpulan pelajar yang melanggar pantang larang di sebuah kampung yang jauh dari peradaban moden sehingga menyebabkan mereka ditimpa musibah yang menakutkan.

Plot mungkin kedengaran tipikal, tetapi gabungan adat setempat, pantang larang orang tua-tua dan penunggu hutan, menjadi faktor yang membuatkan saya tertarik untuk menonton filem ini di pawagam. 

Saya telah membaca banyak reaksi awal mengenai filem ini, baik dari rakan pengulas filem mahupun penonton, dan ia agak bercampur-campur – ada yang mengatakan filem ini seram dan ada juga mengeluh kerana gagal menepati jangkaan mereka. Tetapi, bagi saya, bagus jika anda tidak pernah membaca kisah asal filem ini di media sosial, kerana ia secara tidak langsung akan mengelakkan kita dari meletakkan jangkaan yang begitu tinggi.

Dari apa yang saya lihat, KKN di Desa Penari memiliki nada yang hampir sama dengan filem seram Indonesia kegemaran saya, iaitu Perempuan Tanah Jahanam, dimana latarbelakangnya dan sejarah hitam perkampungan itu berkait-rapat dengan budaya Jawa.

Dikala Perempuan Tanah Jahanam lebih kepada Wayang Kulit, filem ini berkait dengan Tarian Gadrung (walaupun filem ini tidak menyatakan dengan spesifik nama tarian oleh Banyuwangi). 

Filem ini tidak menonjolkan banyak adegan-adegan ‘jumpscare’ mahupun sosok-sosok menakutkan, namun, ia berjaya membangkitkan perasaan seram menerusi sudut pandangan (POV) dan pengalaman dua watak utama, iaitu Nur dan Widya. Tambahan pula, POV Nur dan Widya yang menjadi teras utama pada jalan cerita filem ini telah memungkinkan satu konklusi yang boleh diperdebatkan oleh penonton di penghujung cerita.

Dari awal sehinggalah ke klimaks, kita dimomokkan dengan hubungan diantara penunggu hutan Banyuwangi dan Widya, namun apabila sampai penghujung, ia meninggalkan persoalan kepada penonton – adakah benar Banyuwangi mahukan Widya, atau sengaja menggunakan gadis itu sebagai alasan untuk mendapatkan mangsa yang lain dengan cara membuatkan mereka melanggar pantang-larang penduduk kampung. 

Lokasi yang jauh di pedalaman hutan dengan rumah yang hanya bercahayakan lampu minyak tanah banyak membantu dalam mencipta suasana seram. Begitu juga dalam keadaan siang, ia bukan penghalang untuk filem ini mencipta satu adegan boleh membuatkan penonton berdebar, menantikan segala kemungkinan yang bakal berlaku. 

Terdapat beberapa adegan waktu siang dan malam yang benar-benar menaikkan bulu roma seperti ketika Widya dan Nur pergi mana di sebuah bilik air usang untuk, dimana nyanyian misteri yang lemah gemalai berjaya membangkitkan perasaan takut. Begitu juga, ketika Wahyu si mulut celupar bersama Widya, dijemput oleh orang tua misteri untuk menjamu selera di pesta keramaian di tengah hutan.

Mungkin ada penonton yang merasakan ia biasa-biasa sahaja, tetapi jika dikaitkan dengan kepercayaan mistik masyarakat nusantara, ianya benar-benar membuatkan kita merasai gangguan makhluk halus ketika berada di hutan. 

Meskipun jalan cerita dan elemen seramnya dibina dengan baik, filem ini tidak dapat lari dari beberapa tipikal genre seram seperti watak komik dari Wahyu, membuat onar di tempat larangan dan sikap beberapa watak yang ‘acah-acah’ berani.

Melanggar pantang larang adalah pekara tipikal yang kerap digunakan dalam genre seram bagi menjustifkasikan gangguan makhluk halus kepada mangsa-mangsanya, tetapi KKN di Desa Penari melonggarkan sedikit tipikalnya itu dengan menunjukkan watak-watak ini diperdaya oleh Banyuwangi untuk melakukan pekara yang dilarang, dan ianya diceritakan secara tidak langsung melalui pengakuan watak yang menjadi mangsa. 

Masalah paling ketara tentang filem ini adalah bahagian ketiganya. Sebaik sahaja Nur mengentahui kebenaran, gangguan makhluk halus terhadap mereka secara tiba-tiba mula sampai ke kemuncak dengan Widya dan beberapa lagi pelajar mula berada dalam genggaman Banyuwangi. Kekacauan yang pada awalnya berjaya membangkitkan debaran, diakhiri dengan pantas dan air mata emosi ala sinetron mula menguasai penghujung cerita.

Hubungan diantara Banyuwangi dan Widya berakhir begitu sahaja dan dibiarkan tergantung, nasib dua pelajar terperangkap di alam lain hanya diceritakan dengan sangat ringkas dan tiada pertembungan antara dukun dan Banyuwangi ketika cuba menyelamatkan Widya (mungkin bagus dan tidak perlu meleret). 

Walaupun tidak banyak menonjolkan elemen ‘jumpscare’ dan wajah-wajah menakutkan, KKN di Desa Penari berjaya memberikan kadar keseraman yang menarik menerusi jalan cerita dan lokasi desa yang terletak di kawasan pendalaman.

Mungkin ada penonton yang menjangkakan lebih selepas membaca kisah asal yang dikatakan sangat menakutkan, tetapi bagi saya, filem ini berjaya memberikan elemen seram yang diharapkan, tanpa perlu berlebihan dalam mencipta suasana seram itu sendiri. 

Rating Kakimuvee

3/5

Related posts

Review Filem: Confidential Assignment 2: International (2022)

Kakimuvee

Review Filem: Dragon Ball Super: Super Hero (2022)

Kakimuvee

Review Filem: Air Force The Movie: Selagi Bernyawa

Kakimuvee

Review Filem: Satria Dewa: Gatotkaca (2022)

Kakimuvee

Review Filem: Emergency Declaration (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Laal Singh Chaddha (2022)

Kakimuvee

Leave a Comment