
Sebut sahaja Kemarin sudah tentu ramai di antara kita yang terbayang akan lagu daripada kumpulan Seventeen yang begitu terkenal. Lagu yang menceritakan kepada kita akan kisah kehilangan seseorang terhadap seseorang. Kini Kemarin turut dijadikan sebuah tajuk kepada docudrama yang diterbitkan pada tahun 2020 di Indonesia dan ditayangkan di Malaysia pada 2021 melalui saluran Astro First.
Kemarin atau tajuk lainnya Tsunami Killed My Bandmates ini merupakan sebuah dokudrama yang memaparkan perjalanan hidup sebuah band muzik iaitu Seventeen. Peristiwa yang menjadi tunggak kepada perjalanan kisah dalam dokudrama pada kali ini adalah tragedi tsunami di Banten pada tahun 2018.
Walaupun peristiwa tersebut menjadi tunjang utama dalam penceritaan kisah pada kali ini yang boleh kita katakan tempohnya hanya sekejap namun pihak produksi dilihat mampu memberi satu rasa dan kelainan dalam dokudrama kali ini dengan memberi perasaan dan emosi kepada penonton melalui perjalanan kisah band ini sendiri.
Kisah dimulakan dengan bagaimana kumpulan Seventeen didirikan dan beberapa konflik yang terdapat seiring dengan penubuhan kumpulan ini dan juga lagu lagu yang dicipta oleh mereka sepanjang perjalanan karya seni mereka sejak mula ditubuhkan. Selain menceritakan kisah ahli kumpulan, keluarga terdekat setiap ahli kumpulan juga turut diketengahkan bagi mengeratkan lagi hubungan antara watak dalam dokudrama ini dan para penonton.
Elemen emosi dan kesedihan berjaya di hantar kepada para penonton melalui visual yang dipaparkan dan juga lagu Kemarin yang turut dimainkan. Melalui dokudrama ini sebenarnya mungkin ramai yang akan mengetahui bahawa lagu Kemarin dicipta terlebih dahulu sebelum peristiwa menyayat hati ini meragut nyawa ahli kumpulan mereka.
Jujur saya katakan bahawa saya sebak ketika menonton filem ini lebih lebih lagi pada detik tsunami melanda pentas persembahan mereka dan ketika lagu latar Kemarin dimainkan pada beberapa babak yang tertentu.
Secara psikologikalnya pula filem ini dilihat berjaya memaparkan âtheory of griefâ oleh Kubler-Ross yang mana mengisahkan tentang lima peringkat manusia berhadapan dengan sesuatu tragedi dan kehilangan iaitu denial, anger, bargaining, depression and acceptance. Dari sudut pandang kacamata akademik, perkara ini ada dipaparkan dalam filem ini. Cuma ia secara langsung atau tidak langsung, tidak pula saya ketahui.
Karya Kemarin ini sesungguhnya mengajar para penonton bahawa ajal itu datang tidak cepat walau satu saat dan tidak pula lambat walau satu saat. Ia hadir pada ketika dan tepat pada waktunya. Kita semua akan dijemput ajal hanya caranya sahaja berbeza. Dokudrama pada kali ini juga mengajar kita bahawa yang pergi biarkan pergi kerana sesungguhnya urusan mereka di dunia ini telah pun selesai. Kita yang masih dipanjangkan hayat ini harus meneruskan hidup kerana ada yang masih belum selesai.
4/5