
AMARAN SPOILER.
Filem berdasarkan perhubungan haiwan dan manusia sangat sangat jarang untuk kita tonton lebih lebih lagi dari negara Malaysia dan rantau ini. Netflix kini membawakan anda sebuah filem yang berunsurkan manusia dan haiwan iaitu June & Kopi. Bukan aktiviti mengopi watak utama di bulan Jun, akan tetapi adalah sempena nama kepada dua ekor anjing yang wujud dalam filem ini.
Watak utama selain dua ekor anjing tersebut digalas oleh Acha Septriasa yang pernah mencipta fenomena setelah berlakon dalam filem Heart 2006 dahulu. Mengisahkan tentang seekor anjing yang beada di jalanan dan pada suatu hari telah mengekori Acha pulang ke rumahnya. Bermula pada detik itu, pelbagai peristiwa mencuit hati dan mengukir kenangan serta memori berlaku di rumah Acha.
Acha atau nama wataknya Aya tinggal di rumah bersama suaminya yang bernama Ale dilakonkan oleh Ryan Delon. Mereka telah sedia membela seekor anjing yang bernama Kopi. Kopi pada dasarnya yang “slow and steady” agak bertentangan dengan perangai June yang sangat agresif dan lincah. Tidak lama kemudian, Aya telah dikurniakan cahaya mata yang telah lama menjadi penantian mereka berdua dan semenjak daripada lahir, June dan anak Aya telah menjadi begitu mesra. Pelbagai kisah hidup telah mereka lalui bersama sehingga ke akhirnya.
Sesungguhnya saya sendiri semasa sebelum menonton filem ini tidak langsung mempunya idea tentang kisah apakah filem ini bawa. Ternyata ia adalah pengkisahan tentang anjing dan manusia. Filem ini membawakan satu tema yang sarat dengan mainan emosi. Walaupun begitu, jalan cerita yang disampaikan sangat ringan dan sangat cerah.
Tiada plot twist yang hebat hebat, tiada mainan CGI yang melampau lampau namun saya pasti usaha yang digunakan untuk membawakan filem ini kepada tontonan semua bukan calang calang. Untuk memastikan seekor anjing “berlakon” mati bukan satu perkara yang senang dan sudah tentu memerlukan anjing yang terlatih dan “cikgu” yang mahir dalam bab ini. Itu adalah satu perkara yang sangat mengujakan saya saat menonton filem ini sambil menikmati waktu terluang tatkala PKPD yang dilaksanakan di kawasan rumah saya pada minggu lalu.
Sebuah filem yang ringan untuk tontonan seisi keluarga dan juga turut menyelitkan mainan emosi yang agak menyentuh hati di akhir filem ini dan pastinya akan meluruhkan airmata kepada sesetengah yang menonton filem ini.
4/5