Review

Review Filem Joker

Views

VIDEO REVIEW

AMARAN SPOILER!!!

Joker merupakan antara watak antagonis yang sangat popular dikalangan peminat-peminat komik terutamanya yang meminati komik DC. Selain mempunyai karisma dan kesungguhan yang tinggi sebagai ‘villain’, Joker juga terkenal kerana karakternya yang sangat bermisteri terutamanya yang melibatkan kisah lampaunya.

Jika anda mengikuti siri komik, animasi dan filem-filem DC, Joker miliki beberapa latarbelakang yang berlainan versi, dan tiada satupun dapat memberikan perincian yang jelas tentang asal-usul kewujudan musuh utama Batman itu. Jerry Robinson, pencipta karakter Joker pernah mendedahkan bahawa dia dan Bill Finger sengaja tidak mahu memberi sebab kewujudan Joker ketika ia mula dicipta kerana mereka mahu mengekalkan misteri disebalik karakter tersebut.

Disebabkan tiada kisah asal usul yang jelas, Warner Bros. dan DC bersama-sama pengarah Todd Phillips dan penerbit Martin Scorsese telah mencuba sesuatu yang baru dalam dunia sinematik komik mereka, dengan menerbitkan sebuah filem yang mengangkat karakter proantagonis ‘villain’ sebagai watak utama iaitu Joker. 

Berlatarbelakangkan bandar Gotham pada era 80an, Joker mengisahkan tentang Arthur Fleck (Joaquin Phoenix), seorang pesakit neurologi yang bercita-cita mahu menjadi pelawak pentas demi menceriakan orang disekelilingnya dan hidup dicelah-celah kemiskinan yang melanda masyarkat Gotham. Namun, penyakit aneh yang dihidapi Arthur Fleck dimana ia membuatkan Fleck sentiasa ketawa, telah menyebabkan dia disisih masyarakat dan menjadi mangsa kepada masyarakat dan sistem sosial yang tidak adil. Penindasan, ekploitasi dan ketidakadilan sistem serta penipuan dan kisah silam yang suram telah menyebabkan Arthur berubah menjadi seorang individu yang digelar Joker, sebuah nama yang akan memberikan tragedi berpanjangan kepada penduduk Gotham.

Sebagai sebuah filem adaptasi komik yang bertemakan psikologikal thriller, Joker sangat berbeza dari filem-filem komik terbitan DC dan Marvel. Filem ini sangat mementingkan pembinaan cerita ‘origin’ Joker dan perkembangan karakter utamanya. Sehubungan dengan itu, anda perlu membuang tanggapan untuk melihat adegan-adegan aksi, kerana Joker tidak memilikinya, sebaliknya anda akan disajikan dengan sebuah filem yang memiliki tempo pembinaan plot yang sangat perlahan dengan paparan psikologi yang suram dan kadang-kala disertakan sekali memberikan debaran, impak emosi dan permasalahan sosial.

Joker boleh dilabelkan sebagai filem yang ‘banyak cakap’ dan ’emo’, namun ia tidak bermakna membosankan. Penonton akan merasai graf keterujaan yang memuncak apabila tiba ke bahagian ketiga filem ini, sebaik sahaja beberapa twist memberikan kejutan kepada anda. Disini, anda akan dapat melihat transformasi Arthur Fleck kepada Joker sepenuhnya serta beberapa unjuran babak yang akan memberikan satu perasaan ‘wow’ dan kepuasan, terutamanya apabila  menginjak ke penghujung filem dimana ia berkaitan dengan kisah ‘origin’ Batman dan permulaan era Joker.

BACA:  Review Filem: Rambo: Last Blood (2019)

Yang menariknya, Joker memaparkan kisah asal-usul yang berlainan dari kebiasaan filem-filem komik. Arthur Fleck bukanlah individu yang berubah menjadi penjahat disebabkan keinginannya untuk menakluki dunia, ataupun menyimpan dendam terhadap adiwira, sebaliknya dia berubah disebabkan kekejaman masyakat yang berlaku disekelilingnya sehingga mendorong dia membuat perlakuan jenayah, – yang akhirnya mendapat sokongan dari masyarakat lemah sepertinya. Joker secara sinis menjentik permasalahan sistem dan kekejaman masyarakat yang wujud pada ketika ini dimana seseorang yang baik boleh berubah menjadi ‘jahat’ akibat dari kelemahan sistem dan ekploitasi masyarakat yang menindas golongan yang tidak berkemampuan.

Anda boleh lihat kaitan politikal dalam filem Joker dengan filem V for Vendetta arahan James McTeigue. Walaupun Joker tidak menggambarkan ketidakstabilan sosiopolitik di bandar Gotham pada skala yang luas sepertimana yang ditunjukkan dalam filem V for Vendetta, Joker tetap memberikan gambaran ketidakadilan sistem dan ekploitasi golongan tertindas dalam beberapa babak penting, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Fleck diibarat seperti V yang menjadi inspirasi gerakan rusuhan, yang berani menentang penindasan – dan topeng badut Joker menyamai nilai yang ada pada topeng Guy Fawkes, sebagai simbol kebangkitan golongan miskin Gotham dan sokongan kepada individu yang memberikan mereka inspirasi untuk bersatu menentang golongan kaya Gotham. Kemuncaknya wujudlah individu yang digelar “Joker” sehingga masyarakat mengangkatnya sebagai seorang ‘Wira”.

Selain itu, Joker turut menekan pemasalahan mental dalam menguatkan plot penceritaannya. Pada zahirnya, Arthur Fleck boleh dianggap sebagai ‘gila’, dan bagaimana dia diperlakukan telah memberikan satu impak dan mesej yang jelas kepada penonton. Golongan seperti Arthur seringkali dianggap sebagai ‘komedi’ dan masyarakat sering mempermainkan mereka, sedangkan karakter Arthur jelas menunjukkan golongan seperti ini perlu dibantu baik dari segi psikologi mahupun fisiologi. Penindasan masyarakat disebabkan kondisi Arthur, ditambah pula kesan psikologi kerana tidak dibantu dan ditipu, telah menyebabkan dia berubah secara total, dan perubahannya memberi kesan besar kepada penduduk Gotham. Memberikan satu lagi tamparan yang kuat dalam mencerminkan permasalahan sosial masyarakat sekarang

BACA:  Gemma Chan Mungkin Sertai Filem Marvel "The Eternals"

Penentu kehebatan filem Joker sudah pasti terletak pada prestasi lakonan aktor utamanya iaitu Joaquin Phoenix. Sudah pasti, ramai peminat akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kualiti lakonan aktor tersebut kerana watak Joker kini berada ditahap tertinggi selepas mendiang Heath Ledger berjaya mencipta watak yang diingati dikalangan peminat filem-filem komik. Jared Leto pernah cuba untuk melangkaui bayangan yang ditinggalkan mendiang, tetapi berakhir dengan menjadi bahan kutukan peminat. Sebagai seorang ‘method actor’, Joaquin cuba sedaya upaya untuk menghayati watak Joker tanpa perlu dibayangi kehebatan Heath Ledger. Dia sanggup membuat transformasi fizikal dan membuat kajian dengan menonton dan menghayati kesengsaraan yang dialami pesakit neurologi demi menjayakan wataknya dalam filem ini.

Sesungguhnya, usahanya berbaloi – lakonannya sebagai Arthur Fleck sangat hidup, seolah-olah kita menyaksikan seorang pesakit ‘mental’ sedang berlakon sebagai watak utama. Dia memberikan satu prestasi lakonan yang begitu bagus dan melayakkannya untuk menerima anugerah Oscar bagi Pelakon Lelaki Terbaik (jika dia tercalon). Bagaimanapun, untuk membandingkan wataknya sebagai Joker dengan Heath Ledger agak sukar sebenarnya kerana hampir keseluruhan filem, Joaquin Phoenix memainkan peranan sebagai Arthur Fleck, bukannya Joker sepertimana Heath Ledger yang awal-awal lagi telah diperkenalkan sebagai villain terkenal komik DC itu. Karakter Joker hanya mula wujud pada babak kemuncak filem ini dimana Arthur Fleck tidak lagi mahu menggunakan nama pemberian ibunya itu kerana dia menganggap sebagai menjijikkan. Tetapi jika dilihat secara kasar, Pheonix dan Ledger boleh dianggap sama hebat dan tiada perbandingan yang boleh dibuat antara mereka berdua.

Jalan cerita yang hebat dengan kualiti lakonan yang mantap tidak akan bermakna pada sesebuah filem itu jika aspek teknikal diabaikan. Dalam hal ini, Todd Phillips memastikan gambaran 80an Joker dibuat secara realistik dan persekitaran dunia Arthur Fleck dapat menaikkan kesengsaraan yang dihadapi watak utama itu. Runut bunyi Joker juga banyak membantu memberikan suasana filem yang agak suram dan penuh tekanan. Secara ringkasnya, rekabentuk produksi, sinematografi, suasana, warna dan runut bunyi filem Joker boleh dikatakan sangat sempurna dan banyak membantu dalam menguatkan  suasana dan penceritaan filem ini.

BACA:  Trailer The Teen Titans Telah Dilancarkan

Walaupun tanpa rujukan mana-mana komik DC, Joker telah membuka satu lambaran baru kepada peminat yang ingin mengentahui asal usul Joker yang penuh misteri. Todd Philips dan Joaquin Phoenix berjaya mencipta satu kisah origin yang cukup suram sehinggakan dapat mengubah tanggapan penonton bahawa Joker bukanlah sekadar penjahat, sebaliknya sebagai ‘wira’ yang muncul dicelah-celah kejahatan yang wujud dalam masyarakat dan sistem yang tidak adil ciptaan golongan kaya.

Akhir kata, Joker bukan sekadar sebuah filem komik, Joker adalah sebuah karya agung yang harus ditonton kesemua peminat filem-filem komik diluarsana memandangkan nilai yang ada pada filem ini.

Rating Kakimuvee: 10/10

Tinggalkan Balasan

shares