
AMARAN SPOILER!!!
Dalam John Wick: Chapter 3 – Parabellum, penonton ditinggalkan dengan teka-teki selepas Winston mengkhianati rakan baiknya, John Wick. Diselamatkan oleh Bowery King, persoalan semakin kuat tentang adakah Wick akan membalas dendam terhadap Winston selain keazamannya untuk menumbangkan High Table.
Tempoh masa dari filem ketiga dan keempat memakan masa hampir empat tahun, dan sudah tentunya, entri terkini John Wick dinanti-nantikan peminat Keanu Reeves, khususnya yang mengikuti saga John Wick dari filem pertama.
Dari sekadar memburu segerombolan gangster yang membunuh anjing dan mencuri keretanya, John Wick kini dalam penggembaraan terbesar dalam hidupnya, melarikan diri dari buruan pembunuhan upahan yang lain sambil mencari jalan menyusup masuk ke organisasi tertinggi High Table dan menumbangkan mereka.
John Wick: Chapter 4 menyimpulkan saga watak utama dengan John Wick sentiasa diburu dimana sahaja dia pergi dengan orang-orang membantunya, hancur dimusnahkan oleh kuncu-kuncu High Table. Dengan tiada jalan lain yang boleh dituju oleh Wick, dia hanya mempunyai satu peluang, iaitu kembali ke bekas keluarganya, yang juga memegang salah satu kerusi High Table, dan mencabar kedudukan tertinggi organisasi tersebut dalam pertarungan satu lawan satu.
Sebagai sebuah francais yang sarat dengan aksi, Chad Stahelski menyajikan aksi-aksi yang dijangkakan peminat. Dari permulaan cerita sehinggalah penghujung, penonton pastinya tidak berganjak dari tempat duduk apatah lagi mengalihkan mata kerana terpukau melihat aksi John Wick menentang lawan-lawannya dari serata dunia.
Selain itu juga, ceritanya turut dikembangkan dengan paparan rakan-rakan lama John Wick yang turut bersama-samanya mahu menumbangkan High Table yang kejam, serta ketaatan pada High Table yang menyebabkan rakan lama terpaksa menjadi musuh. Bukan itu sahaja, twist diawal filem, yang bersangkut paut dengan penghujung filem ketiga telah membuka peluang kepada John Wick untuk mencabar kedudukan tertinggi High Table tanpa dia perlu bertarung dari peringkat bawahan.
Apa yang penting, Stahelski mengimbangi jalan cerita dan adegan-adegan aksi Chapter 4 dengan begitu baik sekali dengan tidak terlampau ‘over’ pada babak-babak aksi dan tidak begitu ‘dragging’ pada jalan ceritanya, sepertimana yang berlaku pada filem ketiga.
Penonton yang sudah mengikuti tiga filem awal sudah pastinya mahu sebuah jalan cerita yang ringkas berserta sedikit twist dan aksi yang muktamat pada kisah kali ini, dan sedikit mengejutkan, kita tidak akan menyangka bahawa kisah John Wick sebenarnya akan berakhir pada filem kali ini sehinggalah kita melihat pada penghujung cerita.
Walaupun kita sudah melihat penggembaraan John Wick dari filem pertama, pengakhiran kisahnya hanya sedikit meninggalkan impak emoasi kepada penonton, mungkin kerana francais ini hanya menfokuskan aksi semata-mata dengan sedikit penekanan pada jalan cerita sehingga memberi kesan pada penamat cerita yang kurang memberangsangkan.
Jika dilihat pada keseluruhan filem ini, Chapter 4 dilihat sedikit istimewa dengan penampilan beberapa pelakon yang menjadi penyeri untuk adegan aksi filem ini, khususnya kehadiran bintang aksi terkenal, Donnie Yen serta Scott Adkins, yang penampilannya langsung tidak disedari peminat, sedangkan wataknya sangat penting dan memiliki ‘screen time’ aksi yang sangat banyak.
Donnie Yen sangat bergaya sebagai pembunuh upahan buta yang telah bersara, dan seperti John Wick, dipaksa kembali ke dunia pembunuhan upahan selepas diugut oleh High Table dan terpaksa bertarung dengan rakan lamanya. Hiroyuki Sanada yang membintangi filem ini sebagai pengurus Hotel Continental Osaka juga tidak ketinggalan menyajikan aksinya.
Walaupun wataknya hampir sama seperti Winston, Sanada dilihat lebih menarik kerana dia turut membuktikan bahawa pengurus Hotel Continental tidak hanya berlagak ‘cool’ semata-mata, malah mereka juga memiliki kekuatan dan abiliti untuk bertarung.
Adegan-adegan aksi untuk filem ini turut dipertingkat dari tahap realistik ke ‘ala filem tamil.’ John Wick semakin mustahil untuk ditumbangkan walaupun dia diburu lebih dari 100 pembunuh upahan dalam satu serang. Namun, Stahelski sudah dapat menjangkan apa yang dimahukan peminat, mereka tidak kisah jika John Wick semakin tidak realisitik ketika melawan penjahat, asalkan ia mampu membuat penonton terpukau dan seronok menikmati penjahat ditembak atau ditikam John Wick.
Secara keseluruhannya, John Wick: Chapter 4 memberikan sebuah filem yang sarat dengan aksi yang sangat digemari peminat. Tidak begitu dragging, tetapi dalam masa yang sama, penonton sangat teruja melihat adegan-adegan menarik yang disajikan dalam filem ini. Cuma sebagai filem yang menutup saga John Wick, ia kurang memberi impak penggembaraan watak utama sudah menjangkau sehingga empat filem. Jika francais ini turut membina plot yang baik dari permulaan saga, kemungkinan penonton dapat merasai kehilangan watak utama apabila filem ini memasuki penghujung filem.
Apapun, jika anda mementingkan adegan-adegan aksi, John Wick: Chapter 4 tidak harus anda lepaskan kerana entri kali menjanjikan aksi-aksi yang menarik dan hebat.
4/5