ReviewSlot Asia

Review Filem: Ip Man 4: The Finale

Penamat yang cukup beremosi

Views

Tahun ini terdapat beberapa siri filem yang telah menuju ke babak terakhir. Avengers: Endgame dan Star Wars: The Rise of Skywalker telahpun merumuskan perjalanan siri filemnya. Tetapi penamat kedua-dua filem tersebut berbeza dengan siri filem Ip Man. Walaupun dua filem Hollywood itu bakal membuka babak terbaru menerusi filem-filem terbaru akan datang, Ip-Man 4: The Finale menutup terus kisah penceritaan legenda mahaguru Wing Chun, Yip Ka-man.

Filem arahan Wilson Yip ini bersambung terus dari filem ketiga dimana Ip Man meneruskan kehidupannya selepas kematian isteri tercinta, Cheung Wing-sing. Bagaimanapun ceritanya dimulakan dengan babak yang sedikit sedih dimana Ip Man telah didiagnos penyakit kanser. Kematian isterinya meninggalkan kesan besar dalam kehidupannya, tambahan pula selepas disahkan menghidapi penyakit kanser. Dia yang tidak mahu melihat anak tercicir dari pelajaran berhadapan dengan konflik kekeluargan selepas anak lelaki menunjukkan sifat memberontak kerana terpaksa belajar dan tidak dibenarkan untuk mempelajari seni Kung Fu.

Demi masa depan anaknya, Ip Man membuat keputusan untuk menghantar anaknya belajar di Amerika Syarikat (US). Tetapi sebelum itu, dia perlu melawat negara Uncle Sam itu untuk melihat keadaan dan suasana di tempat yang begitu asing baginya. Disana dia telah dibawa berjumpa dengan ahli persatuan ” Chinese Consolidated Benevolent Association” bagi mendapatkan surat sokongan agar anaknya dapat belajar di sekolah swasta. Bagaimanapun dia berhadapan dengan masalah apabila persatuan tersebut tidak senang dengan kehadiran Ip Man dek perbuatan bekas anak muridnya, Bruce Lee yang memalukan masyarakat Cina disana kerana membuka kelas Kung Fu kepada orang asing.

BACA:  Review Filem: Suraya (2020)

Selepas melawat Bruce Lee, dan tinggal beberapa hari disana, Ip Man mula menyedari, kehidupan di negara orang amat sukar memandangkan sentimen perkauman yang cukup kuat. Dalam masa yang sama, Ip Man menunjukkan ketokohannya sebagai seorang mahaguru Wing Chun dengan menentang seorang pengamal seni mempertahankan diri Karate, yang juga merupakan seorang askar Marine US dalam mempertahankan maruah bangsanya dari terus dipijak orang-orang kulit putih.

Sebagai sebuah filem terakhir dalam siri ini, Ip-Man 4: The Finale banyak memaparkan drama-drama yang menyentuh perasaan para penonton. Antara kunci utama dalam menguatkan karakter Ip Man buat kali terakhir adalah sifatnya yang cuba untuk mencari jalan terbaik dalam memberikan masa depan yang terjamin buat anaknya, dan dalam masa yang sama mempertahankan maruah komuniti masyarakat Cina yang dilanda krisis rasisme dari masyarakat orang putih.

Terdapat beberapa babak dalam filem ini memberikan satu perjalanan yang cukup emosi kepada watak Ip Man, antaranya babak-babak yang melibatkan hubunghan diantara Ip Man dan Yonah, anak kepada mahaguru Wan Zong Hua. Yonah banyak memainkan peranan penting dalam mencipta drama dalam diri Ip Man. Cuma yang sedikit mengecewakan, isu rasisme yang menjadi teras The Finale dibuat dengan terlampau berhati-hati, seolah-olah tidak mahu menguris hati para penonton di Amerika Syarikat.

BACA:  Review Filem: Underwater

Tidak dinafikan, adegan-adegan aksi The Finale masih lagi mantap seperti filem-filem sebelumnya. Aksi digelanggang semasa hari perayaan dan babak terakhir yang menyaksikan pertembungan diantara Ip Man dan Barton Geddes antara yang mencuri perhatian. Begitu juga pertarungan diantara Bruce Lee dan lawannya di satu kawasan lorong, berjaya membuatkan penonton ‘goosebump’. Tetapi sayangnya, jujukan aksi dalam filem ini sebenarnya agak klise dan boleh dijangka. Mahaguru yang lain pasti senang ‘dikitai’ antagonis sebelum Ip Man menjadi penyelamat, dan seperti biasa, Ip Man yang hampir tumbang, secara tiba-tiba memiliki satu kuasa luar biasa untuk menumbangkan lawannya.

Scoot Adkins yang membawa peranan sebagai Barton Geddes, pegawai tentera US yang rasis, sangat menyerlah dan kuat dalam menterjemahkan karakternya. Donnie Yen seperti biasa, tidak mengecewakan, tetapi sayang, kemunculan Danny Chan sebagai Bruce Lee sekadar tempelan sahaja dan tidak memberi impak besar pada pembinaan plot filem ini.

Ip-Man 4: The Finale masih mengekalkan tradisinya sebagai sebuah filem seni mempertahankan diri yang berkisarkan tentang mahaguru Ip Man, cuma ianya lebih beremosi dengan curahan-curahan drama dalam penceritaannya. Apapun, sebagai filem terakhir, Ip-Man 4: The Finale telah memberikan satu memori bermakna dalam hati para peminatnya. Diharapkan francaisnya tidak terhenti, masih terdapat legasi Ip Man yang boleh diteruskan dimasa akan datang.

RATING KAKIMUVEE: 7.5/10

Tinggalkan Balasan

shares