Review

Review Filem Iflix: Rise To Power

Views

Jika Hollywood memiliki trilogi The Godfather, Hong Kong mempunyai francais Young and Dangerous, dan Jepun dengan siri filem Crow Zero, industri hiburan kita juga tidak ketinggalan dalam mengangkat dunia kongsi gelap dan gangsterisme ke layar perak, iaitu KL Gangster. 

Bermula dari filem KL Gangster yang diterbitkan pada 2011, dunia kongsi gelap KL Gangster mula berkembang menerusi filem sekuel, spin-off (Abang Long Fadil 1 & 2) dan rancangan bersiri KL Gangster: Underworld. Melihatkan semakin ramai peminat mula pengikuti francais ini, Iflix dan Skop Production mula merancang untuk menghasilkan musim kedua KL Gangster: Underworld yang bakal menemui penonton pada tahun hadapan.

Sementara menantikan tayangan musim kedua, Iflix dan Skop Production terlebih dahulu menghasilkan filem Rise To Power, sebuah filem spin off / prekuel kepada siri KL Gangster: Underworld. 

Rise to Power, memberi fokus sepenuh kepada watak Madam Wong lakonan Dynas Mokhtar. Ia menceritakan tentang bagaimana dia menjadi satu-satunya wanita yang mengetuai geng KL bangkit berkuasa dengan kelicikan, keberanian, dan kekerasan. Filem ini lebih kepada penceritaan masa silam tentang perjuangan May Wong dalam menentang tradisi patriarki yang ada pada keluarganya sambil merancang jalannya untuk menaiki takhta, tanpa sebarang belas kasihan.

Tidak seperti filem-filem dan siri francais KL Gangster, Rise to Power lebih mementingkan pengolahan cerita tentang politik, strategi dan kelicikan Madam Wong dalam membalas dendam dan menguasai takhta. Mungkin terdapat segelintir penonton yang agak bosan dengan filem kali ini kerana kurangnya adegan aksi, tetapi bagi saya ianya agak menarik kerana saya dapat melihat permainan politik kotor dan 'tikam belakang' dalam dunia kongsi gelap semata-mata kerana tamakkan kuasa.

Cuma cara olahannya tidak begitu berat, yang bagi saya agak merugikan. Unsur-unsur pengkhianatan dan kejahatan ketua-ketua kongsi 'jahat' tidak memberikan sesuatu yang mengujakan, gagal membuatkan saya merasa geram kepada karakter-karakter antagonis. Selain itu juga, Rise to Power gagal mewujudkan suasana  yang cukup tertekan kepada  kumpulan kongsi gelap 'baik' iaitu geng Kampung Baru serta Madam Wong meskipun mereka dihimpit dengan komplot geng-geng jahat yang ingin merampas kuasa. Jika antagonisnya licik dengan strategi yang mampu memberi tekanan kepada proantagonis, saya pasti ia akan lebih mendebarkan dan mampu mencipta suasana yang penuh dengan tekanan.

Rise to Power boleh dikatakan agak berserabut dengan lambakkan watak-watak filem. Filem ini sepatutnya memberi fokus sepenuhnya kepada karakter Madam Wong terutamanya bagaimana dia menaiki takhta menguasai geng Bangsar. Saya sudah membayangkan wataknya akan se'gangster' seperti Manja dan Reanna dalam filem Bini-Biniku Gangster, dengan dibantu kelicikan akal untuk mengatur strategi merampas kuasa, namun jangkaan saya jauh meleset. Meleset kerana dia dibayangi karakter Zan serta masa skrinnya dicuri watak-watak yang tidak banyak membantu dalam perkembangan filem.

Walaupun terdapat beberapa kekurangan dalam filem ini terutamanya dari aspek pelakon pembantu, aksi dan rekabentuk produksi, saya tetap realistik memandangkan ia dihasilkan dengan modal yang agak terhad. Saya memuji usaha pembikin filem ini dan pihak produksi dalam mengembangkan dunia KL Gangster, cuma diharapkan dimasa akan datang, filem - filemnya akan ditambahbaik agar dapat memberikan sebuah filem aksi gangster yang cukup padu dan menghiburkan kepada penonton.

Rise to Power kini boleh ditonton secara percuma, eksklusif dilaman penstriman video Iflix

Rating Kakimuvee: 7/10

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks