Review

Review Filem Iflix: Daulat

Views

Industri perfileman tempatan jarang sekali mengetengahkan filem-filem bertemakan politik, lebih-lebih lagi yang memiliki unsur-unsur ‘thriller’. Seingat saya, hanya beberapa filem pernah dihasilkan, dan kebanyakkannya lebih menjurus kepada dokumentari dan sejarah.

Saya tidak pasti kenapa tema seperti ini kurang mendapat tempat dihati pembikin filem tempatan. Mungkin kerana halangan dari badan kerajaan ataupun penerimaan masyarakat menjadi faktor kenapa tema politikal amat jarang sekali dihasilkan.

Bagi memberi kelainan dalam industri perfileman tempatan, syarikat produksi Lacuna Pictures dan pengarah serta penulis Imran Sheik tampil memberikan satu karya yang cukup berani, iaitu Daulat dimana ia menjadi filem pertama tempatan yang mengabungkan politik dan thriller.

Filem lakonan Vanida Imran, Rashidi Ishak dan Tony Eusoff ini membawa penonton meneroka sisi gelap dunia politik dimana parti politik MUNA sanggup melakukan apa sahaja bagi merampas tampuk pemerintahan kerajaan selepas tewas ditangan parti Wawasan pada pilihanraya. Suri lakonan Vanida Imran telah diberi tugas oleh Hassan (Tony Eusoff) yang juga merupakan presiden MUNA, dalam merencana strategi bagi memenangi kembali pilihan raya yang akan datang.

Berdasarkan trailer dan klip filem, Daulat dijangka memberi sebuah karya yang berani kerana mendedahkan kekotoran dalam dunia politik. Tetapi sayang, semuanya sekadar indah dari rupa. Daulat tidak begitu mendebarkan, dan tidak cukup ‘politik’. Walaupun memasukkan skandal seks, komplot rampasan kuasa dan perang psikologi, Daulat gagal mewujudkan debaran dalam penceritaannya. Bagi saya plot filem ini sangat mendatar, berserabut dengan subplot yang tidak konsisten dan membosankan. Paling menghairankan, tiada langsung ‘thriller’ dalam filem ini meskipun bertemakan politik thriller. Saya tidak tahu dimanakan thriller filem ini kerana unsur-unsur politik hanya dipaparkan ‘sipi-sipi’ sahaja. Malah permainan politik dalam menjatuhkan parti lawan tidak dibuat secara bersungguh-sungguh, sebaliknya terlampau menumpukan permasalahan koperat, tikam belakang dan skandal seks. Daulat sepatutnya memberi fokus pada watak Suri dan perancangan politiknya sendiri dari mewujudkan beberapa subplot yang gagal memberi penekanan pada ceritannya.

BACA:  Review Filem: The Jack In The Box (2019)

Mungkin ada yang mengatakan tunjang kekuatan Daulat adalah plot twist nya, tetapi saya beranggap twist yang cuba disampaikan agak klise dan malas. Agak hairan melihat seorang yang berada di puncak tertinggi parti politik, berfikiran singkat dalam menghapuskan musuhnya, dan kemudian terjerat dalam perangkap sendiri – malas bukan?

Pekara yang paling saya tidak gemar dalam filem-filem tempatan adalah penggunaan bahasa yang bercampur-campur. Saya tidak kisah jika watak melontarkan carutan, kerana bagi saya ianya bukanlah syarat untuk mengatakan filem itu bagus, tetapi penggunaan bahasa itu sendiri. Sebagai sebuah filem yang dibarisi hampir kesemua pelakon-pelakon Melayu, sepatutnya Daulat ‘mendaulatkan’ bahasa melayu dan meminimakan penggunaan bahasa Inggeris. Lengok dialog juga agak janggal didengari, tidak seperti pertuturan biasa, tiada ekspresi, dan seperti membaca skrip. Bagaimanapun saya suka dengan beberapa petikan dialog yang memiliki maksud tersirat.

Dari segi lakonan, Vanida Imran dilihat lebih menonjol berbanding pelakon-pelakon lain. Karakternya sebagai Suri nampak meyakinkan, cuma agak sayang melihat karakternya terpaksa berebut dengan beberapa karakter lain seperti Jasmin. Jalaluddin Hassan dan Zul Zamir yang sepatutnya menjadi lawan kepada Suri dan partinya gagal memberi impak kepada perjalanan cerita, manakala Sangeeta Krishnasamy walaupun muncul sekadar beberapa detik masih mampu memberi satu aura yang kuat kepada penonton.

BACA:  Review Filem Korea: Peninsula (2020)

Secara keseluruhan, Daulat sesuai untuk ditonton bagi yang ingin melihat kelainan dalam filem-filem tempatan. Namun begitu, saya merasakan masih banyak lagi yang perlu diperbaiki, terutamanya dari segi lakonlayar. Apapun, kudos kepada Imran Sheik kerana berani membawa satu tema baru ke dalam industri perfileman tempatan.

RATING KAKIMUVEE: 5.5/10

Review overview

RATING KAKIMUVEE5.5

VERDICT

5.5Daulat tidak cukup 'berpolitik'

Tinggalkan Balasan

shares