Review

Review Filem Hobbs And Shaw

Views

AMARAN SPOILER!!

Apabila anda menonton sebuah filem aksi, beberapa pekara logikal harus ditinggalkan diluar pintu masuk panggung wayang supaya anda dapat menikmati keseronokkan filem tersebut. Tetapi bagi filem seperti francais The Fast and the Furious, anda bukan sahaja perlu melupakan ‘beberapa’ pekara logikal, sebaliknya kesemua pekara-pekara logik yang anda tahu dan kalau boleh, menikmati segala aksi yang dipaparkan dengan hati serta minda yang terbuka, tenang dan kosong.

Filem aksi Hobbs and Shaw baru sahaja memulakan tayangannya hari ini, dan seperti yang anda tahu, filem lakonan Dwayne ‘The Rock’ Johnson dan Jason Statham itu adalah filem ‘spin off’ pertama francais The Fast and the Furious. Bila saya Hobbs and Shaw adalah filem ‘spin off’, ia bermakna Toretto dan rakan-rakannya tiada dalam filem ini, bukan sahaja tiada dari segi lahiriah, malah tiada langsung rujukan dari mana-mana filem The Fast and the Furious. Jadi dari segi itu, anda bebas untuk menonton filem ini tanpa memeningkan kepala memikirkan mana ‘geng-geng’ Toretto semasa Hobbs dan Shaw cuba menyelamatkan dunia dari ancaman pengganas. Betul ke tidak payah pening? nanti saya ulas dengan lebih lanjut!

Sebagai sebuah filem dalam francais The Fast and the Furious, sudah tentu pengarahnya David Leitch dan penulis skrip Chris Morgan menggunakan templat dari francais untuk merencanakan cerita dan aksi-aksi yang mengiurkan. Sangat mudah, hanya perlu membuang mana-mana bahagian yang tidak perlu, dah memasukkan beberapa pekara baru, maka jadilah ia sebuah filem yang baru. Hobbs and Shaw awal-awal lagi sudah memaparkan adegan aksi yang cukup jitu, bermula dari pasukan khas MI6 yang diketuai Hattie Shaw (Vanessa Kirby) diserang hendap oleh Brixton (Idris Elba) sehinggalah Luke Hobbs (Dwayne Johnson) dan Deckard Shaw (Jason Statham) membelasah lunyai kumpulan-kumpulan gangster, 15 minit pertama sudah berderau darah penonton melihat aksi yang dipaparkan.

 

Plot filemnya sangat mudah, organisasi pengganas Etheon menghantar Brixton untuk mencuri kembali kapsul virus yang dilarikan oleh Hattie, CIA menggunakan khidmat Hobbs dan Shaw untuk menjejaki Hattie, kedua-dua jejaka botak bergaduh seperti Upin dan Ipin bila apabila sudah baligh, menyelamatkan Hattie dari ditangkap Brixton dan seterusnya menyelamatkan dunia. Klise dan mudah dijangka, bosan bukan? sabar nanti kita sembang mengenai plot filem ini.

Berbalik kepada adegan aksi, saya tidak mengharapkan Hobbs dan Shaw akan ‘berlumba’ di angkasa dalam filem kali ini, kerana mungkin belum sampai masanya lagi barangkali. Tetapi, jika sebelum ini Hobbs menjadi orang pertama didunia yang berjaya menghalang dan mengubah laluan tropedo, kali ini ianya lebih menarik dari tropedo dan kereta meloncat antara dua bangunan. Kedua-dua jejak botak yang gagah lagi kalis mati itu berhadapan dengan manusia yang dipertingkatkan seperti telefon bimbit Huawei P30 pro menggunakan OS mereka sendiri iaitu HongMeng.

BACA:  Review Filem: White Storm 2 - Drug Lord (2019)

Brixton bukan sekadar Brixton, dia mengelarkan dirinya sebagai ‘Black Superman’ dan ya, memang dia seperti Superman, sangat kebal sehinggakan dihimpap dengan konkrit pun langsung tiada calar, sedangkan Superman yang sebenar pun berdarah apabila ditumbuk Batman. Bezanya, Brixton tidak mampu terbang, tidak mampu menhembuskan nafas berais dan memancarkan cahaya laser melalui matanya. Bila berhadapan dengan manusia yang hebat ala adiwira tetapi tidak reti membezakan evolusi yang baik dan jahat, Hobbs dan Shaw perlu melakukan aksi-aksi diluar pemikirkan logik kepala otak penonton untuk mengimbangi kehebatan lawannya itu. David Leitch, bekas pengarah filem John Wick kesayangan anda dan juga pengarah filem Deadpool 2 tahu bagaimana hendak melakukan segala adegan aksi luar biasa tetapi masih dapat membuatkan penonton berkata wow! logik ni!.

Pengalamannya terlibat dalam projek John Wick dan Deadpool 2 digunakan sebaiknya oleh Leitch, aksinya kadang-kala disertakan dengan gerakkan ‘slow-mo’, semata-mata mahu penonton menikmati serta menghayati dan – saya tambah ‘serta’ lagi – memikirkan bagaimana aksinya menjadi menarik dimata anda. Selain itu juga, adegan aksi tidak membawa arti apa-apa jika menggunakan senjata, jadi kebanyakkan adegan aksinya memaparkan adegan ‘hand-to-hand combat’, aksi kejar mengejar kereta tanpa menggunakan “brek” serta adegan terbang-menerbang, yang mana ia lebih mampu memancutkan adrenalin penonton. Jika ada yang berkata ‘eleh guna CGi boleh lar’ persetankan mereka kerana zaman ini zaman moden, aksi lebih padu jika dibantu dengan teknologi, betul ke tidak?

Ok, sudah panjang mengulas mengenai aksi yang sepuluh peratusnya ada isi, manakala selebihnya sekadar borak-borak kosong. Kita mengulas pula mengenai plot  dan pekara lain dalam filem ini. ‘First act’ dan ‘second act’ filem ini benar-benar saya katakan, agak menarik. Menarik bukan disebabkan jalan ceritanya, jalan ceritanya – agak, agak, agak – klise, tiada beza dengan filem-filem The Fast and the Furious sebelum ini. Ia menarik kerana terdapat babak-babak humor dan aksi itu sendiri. Bagi saya, The Rock dan Statham memiliki ‘chemistry’ mereka yang tersendiri, saya terhibur dan jika kedua-dua bergandingan dalam filem lain, saya pasti akan menontonnya. Selain itu juga, kemunculan pelakon filem Deadpool, Ryan Reynolds dan Kevin Hart juga menjadi faktor babak awal dan pertengahan filem Hobbs and Shaw jadi menghiburkan. Terima kasih kepada Leitch kerana membawa kedua-dua pelakon ini dalam francais Hobbs and Shaw, diharap watak mereka dikekalkan dalam filem akan datang, barulah peminat tidak boleh ‘troll’ filem seterusnya beraksi di bulan!.

BACA:  Aquaman Review

‘Third act’ filem ini agak cringe!, plot filem semakin mendatar, ‘love story’ diantara Hattie dan Hobbs tidak cukup untuk menusuk sanubari penonton, dan pertarungan akhir antara dua hero dan satu penjahat agak antiklimaks walaupun aksinya sebelum itu bertalu-talu disumbat oleh oleh pengarah. Walaupun saya rasa bosan dengan ‘third act’ filem ini, saya suka bila Hobbs membawa ahli keluarganya dalam pertarungan menentang Etheon, ia memberi nilai moral kepada penonton, bak kata pepatah “air dicincang tidak akan putus” bergaduhlah adik beradik pun, jika salah seorang susah pasti hubungan kekeluargaan akan kembali berpaut. Jadi janganlah bergaduh sesama ahli keluarga. Babak penamat semasa Sam Hobbs bertemu neneknya membuatkan saya sedih, tak guna punya ayah, anak dah besar panjang baru bawa jumpa nenek!.

Ingat tak apa saya sebutkan mengenai ‘reference’ The Fast and the Furious diperenggan awal? disini sudah menampakkan kekecewaan mengenai kaitan Hobbs and Shaw dengan francais. Tiada langsung rujukan, tiada langsung penglibatan mana-mana ahli keluarga Toretto bahkan hendak menyebut nama salah seorang dari mereka pun juga tiada. Keluarga Shaw pun sama, filem ini terus membuatkan saya berfikir mungkin Owen Shaw adalah anak tiri dalam keluarga Shaw. Sejahat-jahat Owen, agak hairanlah dia tidak membantu darah daging yang dalam bahaya bukan? butiran kecil sebeginilah yang sedikit mengecewakan, jika Hobbs and Shaw sebuah filem yang berasingan dan tiada langsung kaitan dengan The Fast and the Furious, mungkin saya tidak mengambil kisah.

Secara keseluruhannya, Hobbs and Shaw adalah sebuah filem aksi yang cukup padu, cukup jitu dan cukup mantul sehinggakan penonton tidak ambil pusing tentang perjalanan cerita filem ini. Kehebatan pengarahnya yang berjaya memesong tumpuan penonton kepada adegan-adegan aksi dari pekara-pekara lain harus dipuji. Tambahan pula, babak-babak humor dan kejutan cameo dari pelakon yang kita sayangi mungkin membuatkan penonton merasakan filem ini sangat “purrfekk!”, bayangkan jika filem ini memasukkan Keanu Reeves, saya yakin pasti ramai akan beri rating “solid” 10/10 dan berkata “Wow! ini adalah filem yang paling hebat tahun ini!”. Tetapi bagi saya, jika ada “John Wick” sekalipun, Hobbs and Shaw sekadar filem aksi yang boleh ditonton, ltetapi tiada nilai dari segi cerita, dan terlampau berjauhan dengan dunia asalnya sendiri (francais). Oh ya! sebelum terlupa, Vanessa Kirby dalam filem sangat “badass!” saya rasa dia patut memainkan peranan sebagai Catwoman dalam filem The Batman. 

Rating Kakimuvee: 7/10

Tinggalkan Balasan

shares