Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Hi, Mom (2021)


(AMARAN SPOILER)

Seperti mana biasa kita selalu menonton filem yang berkisahkan berkenaan kasih ibu kepada seorang anak. Akan tetapi jarang sekali untuk kita lihat filem yang bercorakkan dan berkisarkan tentang kisah kasih anak terhadap ibu.

Filem Hi, Mom mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang anak kepada sepasang suami isteri yang sering membawa kisah yang kurang baik kepada ibunya. Sehinggalah pada suatu masa, si anak ini telah memalsukan satu sijil layak memasuki sebuah institut pengajian tinggi dan perkara itu tidak lama kemudian terbongkar di hadapan saudara maranya yang lain. Kemudian pada suatu hari mereka berdua telah ditimpa kemalangan jalan raya dan si ibu telah koma buat seketika. Si anak berada di samping ibunya dan berharap untuk tidak terus menerus mengecewakan ibunya.

Tanpa diduga, si anak mengalami satu peristiwa yang aneh di mana beliau telah dibawa ke zaman lampau iaitu zaman di mana ibunya masih muda remaja dan zaman beliau masih belum dilahirkan. Mengetahui bahawa ibunya perlu menyertai satu pertandingan yang akan mengubah hidup ibunya, si anak telah berusaha sedaya upaya pada zaman tersebut agar ibunya dapat bertanding dalam pertandingan bola tampar itu.

Selain daripada itu, banyak lagi perkara yang telah beliau sedaya upaya mengubahnya agar nasib ibunya turut berubah pada masa akan datang. Akhirnya, si anak sedar bahawa segala apa yang dilaluinya adalah petanda bahawa ibunya akan pergi meninggalkannya buat selamanya.


Hi, Mom merupakan sebuah filem yang bergenre drama yang cukup baik garapan perjalanan ceritanya dibantu dengan aspek visual yang agak luar biasa. Dimulakan dengan “intro” yang memaparkan mulanya hidup si anak dan si ibu. Perkembangan watak yang diberikan dapat diikuti daripada awal hingga akhir. Walaupun ada beberapa watak yang muncul hanya seketika, namun kemunculan mereka tidak dibazirkan bagi mencipta “moment” dalam penceritaan.

Tidak dinafikan ada beberapa perkara yang dilihat agak tidak sedap untuk dipandang dan dihayati serta perjalanan cerita yang sedikit meleret setelah selesai 1 jam 30 minit kemudian ia kembali menangkap perhatian penonton di akhir 30 minit yang seterusnya.

Tangisan penonton? Terpulang kepada citarasa masing masing namun jujur dikatakan bahawa bergenang jua airmata saya semasa menonton filem ini. Sesungguhnya kenangan bersama ibu kita semua tidak akan dapat kita lupakan walaupun mungkin dia telah pergi daripada hidup kita buat selamanya kerana hidup ini tidak ada satu perkara yang pasti mengenainya melainkan kematian.

Secara keseluruhannya, filem ini adalah sebuah filem drama komedi keluarga yang cukup enak untuk ditonton dengan sentuhan konsep “pengembaraan masa” yang diberikan. Komedinya kena, dramanya ada. Walaupun mungkin pelakonnya tidak secantik model model yang ada, namun nilai estetika penceritaannya itu tidak dapat kita nafikan.

“Yang sentiasa ada dalam ingatan kita adalah ibu kita pada umur 50 tahun beliau, namun kita lupa bahawa beliau pernah sihat, muda dan kuat suatu ketika dahulu.”

Rating Kakimuvee

4/5


Related posts

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Equalizer 3 (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Malbatt Misi Bakara (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Concrete Utopia (2023)

Kakimuvee