Review

Review Filem: Hero Jangan Bikin Panas

Views

VIDEO REVIEW

Diakhir zaman ini umat Islam perlu mempersiapkan diri sebaik mungkin bagi menangkis segala fitnah yang semakin berleluasa. Atas dasar tanggungjawab, pengarah Azizi “Chunk” Adnan cuba memberikan kesedaran kepada umat Islam tentang bahayanya fitnah Dajjal menerusi filem terbaru berjudul Hero: Jangan Bikin Panas. 

Hero: Jangan Bikin Panas merupakan sebuah filem aksi komedi yang dibintangi pelakon Hisyam Hamid sebagai peneraju utama. Ia mengisahkan tentang Zaff (Hisyam Hamid) bekas pelajar tahfiz yang menyertai anggota bomba selepas terselamat dari insiden kebakaran pusat tahfiz yang meragut nyawa beberapa rakannya.

Sementara itu, dua rakan baik yang menganggur iaitu Ahmad Mustar (Bell Ngasri) dan Adam Fanifinali (Mark Adam) mengalami masalah untuk mencari pekerjaan. Atas ketentuan tuhan, mereka berdua bertemu dengan Zaff selepas membantunya menumpaskan peragut. Apabila Zaff mengentahui Mustar dan Adam tidak bekerja, lantas dia mempelawa kedua-dua sahabat itu untuk menjadi anggota bomba.

Selepas beberapa minggu menjalani latihan, Mustar dan Adam kembali dipertemukan dengan Zaff, dan sejak daripada itu mereka bertiga menjadi rakan baik. Suatu hari berlaku insiden kebakaran di sebuah lagi pusat Tahfiz, dan Zaff mendapati kebakaran yang berlaku hampir menyamai insiden yang pernah berlaku ditempat lamanya. Disitu bermulalah usaha Zaff untuk menjejaki kumpulan yang bertanggungjawab mencetuskan kebakaran dipusat tersebut.

BACA:  PM Najib Teruja Dengan Trailer Filem Paskal

Secara jujurnya, Hero: Jangan Bikin Panas sebuah filem yang terlampau bercita-cita tinggi sehingga merosakkan segala-galanya. Saya tidak tahu bagaimana untuk memberi fokus pada filem ini, adakah perlu fokus pada penyampaian dakwahnya atau jalan ceritanya ataupun komedi semata-mata. ‘First act’ nampak bibit dakwah mengenai akhir zaman, namun apabila menginjak ke ‘second’ dan ‘third act’, elemen dakwahnya semakin berkurangan dan mula menyelusuri cara penyampaian cerita yang semakin mendatar, klise, tidak kena dengan fokus utama filem dan membosankan, senang kata Hero: Jangan Bikin Panas tersasar jauh dari apa yang ingin disampaikan.

Saya bukannya mahu menidakkan usaha pengarah Azizi “Chunk” dalam menyebarkan dakwah dalam filem arahannya ini, tetapi cara penceritaannya yang tidak begitu kuat dalam meninggalkan kesan dakwah kepada penonton. Banyak babak-babak yang dibuat semata-mata hanya untuk komedi, dan ada diantaranya seperti memaksa penonton untuk bergelak tawa. Selain itu juga, dengan mengangkat tema ‘freemanson’ tidak banyak membantu dalam mencipta teori konspirasi walaupun ia menjadi kunci utama kepada filem ini. Sebab itu saya nyatakan diatas, cita-citanya terlampau tinggi. Freemanson adalah sesuatu pekara yang besar, dan cara olahannya perlu dibuat dengan lebih mendalam agar ia dapat mewujudkan rasa keterujaan dalam membongkar konspirasi geng-geng illuminati dalam pentadbiran ‘New World Order’ mereka. Namun itulah, komedi lebih dipentingkan berbanding teori segi tiga itu sendiri.

BACA:  The Doll Review

Jika mengambil dari segi komedi sahaja, Bell Ngasri dan Mark Adam adalah kunci utama yang akan membuatkan anda melupakan segala kelemahan pada filem ini. Penyampaian komedi mereka berjaya mencetuskan gelak ketawa tidak terhingga penonton. Gaya mereka bersahaja dan tidak dibuat-buat, sangat berbeza dengan komedi yang cuba disampaikan oleh watak-watak lain yang agak ‘try hard’. Bagi saya, mereka berdua adalah penyelamat terbesar untuk filem ini yang hampir dimusnahkan dengan cara penulisan skrip yang malas.

Dari segi lakonan, Hisyam Hamid masih mampu memberikan satu kualiti lakonan yang memuaskan walaupun wataknya tidak konsisten. Selain itu juga, terlampau banyak watak yang langsung tidak membantu dalam perkembangan cerita, mereka lebih sekadar tempelan sahaja. Hisyam Hamid sebenarnya mampu menyerlah selaku watak utama, namun di dibayangi dengan kehebatan watak komik Bell dan Mark Adam.

Ada sesuatu yang paling saya tidak gemar dengan filem Hero: Jangan Bikin Panas. Cara suntingan yang dibuat sangat lemah, terlampau banyak ‘continuity error’ yang saya dapat lihat sehingga mencacatkan ‘mood’ untuk menonton. Malah runut bunyinya digunakan berulang-ulang kali terutamanya bila melibatkan watak-watak antagonis – sangat ‘annoying’. Aksinya bagi saya boleh diterima dan kadang-kala menghiburkan, saya suka dengan adegan tomoi yang dilakonkan oleh Mark Adam, serius tetapi mengelikan hati, cuma masalah dibahagian akhir dimana adegan aksinya sedikit mengecewakan dan tidak begitu mendebarkan.

BACA:  The Outlaws (2017) Review

Apapun saya memuji usaha Azizi “Chunk” dalam menyelitkan elemen dakwah menerusi filem arahannya. Cuma diharapkan, cara olahan cerita dan teknikal dapat diperbaiki dimasa hadapan agar dapat memberikan satu karya yang meninggalkan kesan kepada penonton. Walaupun terdapat beberapa kelemahan, Hero: Jangan Bikin Panas masih berbaloi untuk ditonton, dan pastinya ia mampu memberi hiburan yang tidak terhingga kepada anda menerusi adegan komedi yang disampaikan Bell Ngasri dan Mark Adam.

Rating Kakimuvee: 4.5/10

Tinggalkan Balasan

shares