Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Hantu Bonceng 2.0 (2021)

Selepas membonceng kapcai pada 2011, hantu bonceng kembali membonceng ‘mat-mat rempit’ dalam sekuel terbaru berjudul Hantu Bonceng 2.0, cuma mungkin disebabkan ‘PKP’ dan penjarakan sosial, hantu kali ini tidak dapat membonceng kerana motor ‘Ysuku’ si Amran (Zizan Razak) telah hilang di kawasan parkir hotel berhantu.

Bagi mengulang kembali kejayaan filem pertama, syarikat produksi Excellent Pictures bersama Astro Shaw tampil dengan filem terbaru berjudul Hantu Bonceng 2.0 hasil garapan Yusri Abdul Halim dan lakonan Zizan Razak bersama Taiyuddin Bakar yang kembali meneruskan peranannya sebanyak Kunyit. 

Seperti filem pertama, Hantu Bonceng 2.0 masih mengekalkan elemen-elemen ‘mat rempit’, komedi dan sosok hantu yang menggangu watak utama iaitu Amran dan Kunyit. Kisahnya bermula apabila motorsikal ‘Ysuku’ si Kunyit rosak semasa mereka sedang berkonvoi. Amran meminta rakan-rakan lainya bergerak ke destinasi sementara dia cuba membaiki ‘Ysuku’ Kunyit.

Secara tiba-tiba seorang wanita misteri menyapa mereka dan membuatkan Amran ketakutan kerana bimbang wanita itu adalah hantu yang cuba menganggu mereka di kawasan hutan rimba. Wanita yang mengenalkan diri sebagai Ayu itu meminta mereka untuk bermalam di sebuah hotel dikawasan berdekatan dan menunggu pada siang hari untuk membaiki motorsikal.

Selepas di pujuk Kunyit, Amran dan teman wanita Kunyit bersetuju untuk bermalam di hotel tersebut. Namun, selepas mendaftar masuk, pelbagai kejadian misteri dan menakutkan mula mengganggu Amran dan Kunyit.

Bagi saya, Hantu Bonceng 2.0 tidaklah begitu teruk, tidaklah begitu bagus dan bawah sedikit dari tahap ‘sedang-sedang’. Jalan ceritanya sangat klise, dan ‘execution’ agak kurang bagus, tetapi elemen misteri yang diterapkan dalam filem ini kadang-kala membuatkan saya fokus pada jalan ceritanya – terutamanya selepas separuh masa kedua.

Gandingan Zizan Razak dan Taiyuddin Bakar sekali lagi memberikan babak-babak komik kepada penonton, cuma jika hendak dibandingan dengan filem pertama, sekuel kali ini agak kurang menghiburkan. Seperti biasa, lawak ‘double meaning’ menjadi ‘point’ utama untuk mencipta babak komedi, cuma tidak begitu melampau. Namun begitu, ada beberapa dialog boleh dikatakan agak kelakar dan boleh dijadikan ‘quote’.

‘Execution’ komedi seram agak lemah, walaupun ada ‘comic relief’ dalam babak-babak seram. Jika filem pertama kita boleh lihat karakter hantu mencipta babak komedi, filem kali ini antagonisnya terlampau serius. Kedua-dua elemen ini banyak dipisahkan, hanya satu dua babak sahaja yang mengabungkan elemen komedi dan seram, seperti babak Amran dan Kunyit membelasah hantu, yang boleh dikatakan ‘memorable’ dan tak disangka. 

Teknikal filem ini sangat teruk terutamanya dari segi bunyi dan skor. Suara watak kadang-kala tenggelam dek disebabkan bunyi latar. Skornya kadang-kala tidak kena dengan suasana babak. Kualiti visualnya pula sangat mengecewakan, dan ada babak yang terlampau gelap. Pendek kata, aspek teknikal filem ini seolah-olah dibuat menggunakan teknologi 10-15 tahun dahulu.

Hantu Bonceng 2.0 mungkin tidak mampu mengatasi filem asal, tetapi masih boleh ditonton untuk memenuhi masa lapang. Jujur saya katakan, saya tidak rasa terseksa untuk habiskan jalan cerita filem ini sepertimana saya menonton Kelaster atau Miimaland, cuma saya rasa kecewa kerana Yusri Abdul Halim gagal menjadikan ia sebuah filem yang menarik seperti filem pertama. 

Rating Kakimuvee

2/5

Related posts

Review Filem: Doctor (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Dune (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Dark Spell (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Chinese Doctors (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Frontliner (2021)

Ahmad Fariszuan

Review: Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings (2021)

Kakimuvee

Leave a Comment