Review

Review Filem: Gundala

Views

AMARAN SPOILER!!!

Saya akui yang saya sangat teruja bercampur cemburu bila mendengar pembikin filem Indonesia akan menghasilkan filem superhero mereka sendiri. Walaupun mungkin ada dikalangan anda merasakan mereka meniru dunia sinematik Marvel dan DC, bagi saya ia bukanlah satu masalah besar kerana mereka sendiri sebenarnya sudah memiliki karakter-karakter superhero dan komik.

Sebagai filem pertama yang membuka babak Jagat Sinema BumiLangit (BumiLangit Cinematic Universe – BCU), saya sangat menantikan filem Gundala untuk ditayangkan di Malaysia. Banyak pekara yang membuatkan saya tertarik untuk menonton filem pertama BCU ini, terutamanya melihat bagaimana mereka merencanakan sebuah ‘universe superhero’ mereka sendiri tanpa pengaruh Marvel dan DC.

Mengambil inspirasi dari masalah sosiopolitik negara sebagai plot utama penceritaan, Gundala berkisarkan tentang Sancaka (Abimana Aryasatya) yang merupakan rakyat biasa yang hidup dengan tidak mencampuri urusan orang lain. Zaman kanak-kanaknya penuh suram dimana dia telah kematian ayahnya akibat dibunuh semasa tunjuk perasaan dan ditinggalkan ibunya.

Bagaimanapun, tujuan hidupnya yang tidak peduli dengan tepi kain orang mula berubah selepas dia mengenali Wulan (Tara Basro), seorang gadis yang lantang menentang penindasan terhadap golongan miskin. Sejak dari itu, Sancaka bersama beberapa kenalannya termasuk Wulan, mula berjuang untuk melindungi orang-orang yang lemah dan dalam masa yang sama membongkar konspirasi politik yang dirancang antagonis utama, iaitu Pengkor (Bront Palarae).

Walaupun Gundala merupakan sebuah filem bergenre superhero, temanya dilihat lebih menjurus kepada ‘political thriller’ dimana ia memaparkan kesengsaraan rakyat biasa dari segi ekonomi dan sosial akibat ditekan oleh golongan yang menguasai tampuk pemerintahan. Saya tidak mahu ulas impak politik dalam filem ini dengan dunia realiti kerana saya tidak begitu arif dengan masalah sosiopolitik negara Indonesia. Tetapi apa yang boleh saya andaikan, tema ‘political thriller’ ini banyak membentuk karakter adiwira Gundala yang bakal menjadi inspirasi kepada rakyat untuk bangkit menentang penindasan.

Saya berpendapat, penekanan tema ‘political thriller’ dalam filem superhero ini agak menarik kerana ia bukan  sahaja memberikan sebuah jalan cerita yang kuat dalam memperkenalkan karakter utama iaitu Gundala, malah menjadi kunci utama dalam mengembangkan Jagat Sinema BumiLangit. Saya berkata demikin selepas melihat masalah sosiopolitik dalam filem ini memungkinkan pertembungan dimasa hadapan diantara adiwira dan villain yang merancang untuk menguasai negara yang semakin rosak moralnya.

BACA:  Review Filem: The Bridge Curse (2020)

 

Secara kasar, mungkin anda melihat Gundala akan menjadi ‘dark’ berdasarkan konsep penceritaannya. Sebenarnya filem tidak terlampau berat dan tidak terlampau ringan. Pembikin filem menyeimbangkan kesuraman dan keceriaan dalam penceritaan. Ada bahagian yang memerlukan keseriusan dan ada babak yang dianggap komik, dan memberi kelegaan sebentar kepada penonton. Cuma apa yang saya kurang gemari adalah penulisan skripnya yang tidak begitu konsisten. Pengenalan Sancaka dengan paparan cerita pada zaman kanak-kanak dibuat terlalu lama sehingga menjadi ‘dragging’. Saya tiada masalah dengan paparan zaman gelap Sancaka, tetapi sepatutnya ceritanya pada zaman kanak-kanak seharusnya dibuat pendek dan padat agar tidak menganggu plot utama filem iaitu ingin mengangkat Sancaka sebagai hero rakyat.

Pertengahan filem baru Gundala mula kelihatan menarik dimana ia mula memaparkan transformasi Sancaka yang menjadi hero rakyat dan komplot Pengkor untuk menguasai golongan-golongan lemah. Secara ringkasnya, plot pada bahagian pertengahan digarap dengan baik, dan perkembangan karakte jelas dibina dengan sempurna sebaik sahaja filem memasuki act kedua. Bagaimanapun, skrip sekali lagi menjadi masalah utama pada third act dimana tiada ‘urgency’ dalam menyelesaikan masalah. Maaf spoiler – saya sangat hairan apabila Sancaka masih melayan kata-kata Pengkor yang berbunga-bunga sedangkan masa semakin suntuk untuk dia menghentikan rancangan jahat musuhnya itu. Akibatnya, tindakan akhir Sancaka untuk menghentikan komplot Pengkor dibuat dengan begitu teruk sekali.

 

BACA:  Review Filem: The Bridge Curse (2020)

Dari segi aksi, saya sangat berpuas hati melihat Sancaka menumpaskan lawan-lawannya, terutamanya babak aksi di rumah Wulan dan dikawasan pasar. Koregrafinya menarik dan tersusun sehingga mampu menaikkan adrenalin penonton. Namun seperti penulisan skrip, kualiti aksinya semakin lama, semakin menurun lebih-lebih lagi semasa di babak akhir dimana Sancaka menentang ‘anak-anak’ Pengkor. Agak sayang sekali ‘final fight’ Sancaka tidak seperti yang diharapkan memandangkan dia menentang lawan yang bervariasi. Adegan aksinya kurang ‘intense’ dan terlampau perlahan berbanding ketika Sancaka bergasak dengan para gangster.

Penghasilan sebuah filem superhero memerlukan modal yang cukup besar terutamanya dalam membikin babak-babak yang memerlukan kesan khas. Dengan modal yang terhad, Gundala masih memberikan ‘production value’ yang sangat cantik dan berkualiti dimata penonton. Sedikit kekurangan pada kesan visual CGI, tetapi masih boleh dimaafkan kerana tidak terlampau teruk seperti yang dibuat oleh sesetengah pembikin filem tempatan yang gilakan penggunakan kesan CGI. Rekabentuk dan kualiti kostum sesungguh sangat terbaik. Saya puji kesungguhan perekabentuk mereka yang bersungguh-sungguh menjadikan kostum Gundala nampak menarik dan berkualiti tinggi.

Secara keseluruhannya, Gundala boleh dikatakan pemulaan yang baik dalam membuka babak dunia sinematik adiwira mereka sendiri. Saya tidak mengatakan filem ini sempurna memandangkan masih banyak yang perlu diperbaiki dimasa hadapan, tetapi mukadimah yang dipaparkan menerusi filem Gundala menunjukkan mereka telah bersedia untuk mengembangkan lagi filem-filem superhero mereka. Kini saya menantikan pula satu lagi filem BCU iaitu Sri Asih. Kemunculan superheroin itu dibabak penghujung dan post credit Gundala telah membuatkan saya ‘goosebump’ dan tidak sabar untuk melihat babak BCU seterusnya.

RATING KAKIMUVEE: 7/10

Tinggalkan Balasan

shares