Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Guardians Of The Galaxy Vol. 3 (2023)


AMARAN MAJOR SPOILER!!!

Pelbagai khabar angin dan spekulasi mengenai filem ketiga Guardians of the Galaxy telah berkumandang di media-media sosial sewaktu filem itu masih dalam proses pembikinan, mahupun sedang menunggu masa untuk ditayangkan. Manakan tidak, ramai peminat ingin mengentahui nasib ahli-ahli Guardians setelah pengarahnya, James Gunn, serta beberapa pelakon utama telah menggoda kemungkinan terdapat watak yang akan ditamatkan riwayatnya dalam Marvel Cinematic Universe.

Jangkaan tinggi telah diletakkan peminat yang dapat merasakan bahawa filem terbaru Guardians ini memiliki nada yang hampir sama dengan Avengers: Endgame dimana peminat mungkin meratapi pemergian watak kegemaran mereka. 

Seperti anda semua, rasa ingin tahu saya juga sangat kuat dan telah mempersiapkan diri untuk mengentahui nasib ahli-ahli Guardians yang tidak menentu. Siapakah yang akan mati? siapakah yang akan pergi, saya telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan kerana bagi saya, Guardians adalah kumpulan adiwira terbaik dan merasakan, masa untuk mereka berpisah masih belum sampai lagi. 

Guardians of the Galaxy Vol. 3 ditetapkan selepas Avengers: Endgame dimana Guardians menjadi Knowhere sebagai pengkalan mereka dengan Peter Quill mengalami kemurungan selepas Gamora lari ke galaksi sejurus selepas mereka menewaskan Thanos. Namun,


masa lalu Rocket dan dendam Sovereign menyatukan semula Guardians, terutamanya Peter Quill yang bangkit selepas Rocket cedera parah akibat diserang Adam Warlock, anak kepada Pendeta Tertinggi Sovereign, Ayesha.

Dalam usaha menyelamatkan Rocket, dengan pergi ke tempat dimana maklumat penciptaan Rocket disimpan, Nebula mendapatkan bantuan dari orang yang tidak disangka, iaitu Gamora. Kehadiran Gamora mengejutkan Peter Quill kerana ternyata Nebula selama ini merahsiakan hubungannya dengan kakaknya itu.

Kisah Quill dan Gamora hanya selingan pada cerita utama, kerana Guardians secara perlahan-lahan tahu asal usul Rocket dan mengenali seorang gila bernama High Evolutionary yang telah melakukan perbuatan diluar akal lagi kejam dengan membuat eksperimen terhadap makhluk serata galaksi.

Guardians of the Galaxy Vol. 3 sedikit berbeza dari filem-filem Marvel sebelumnya dimana ia meletakkan objektif mengalahkan penjahat ditempat kedua, dengan perkembangan watak secara muktamat menjadi keutamaan. Walaupun ahli Guardians telah lama bersama, berjuang bersebelahan menewaskan musuh, ternyata, isi hati mereka dan perangai sebenar mereka masih belum difahami antara satu sama lain.

Tetapi, ada satu pekara yang menyatukan Guardians, iaitu apabila rakan mereka tumbang, mereka sanggup mengadai nyawa demi menyelamatkan rakannya itu, dan itulah yang ditunjukkan mereka apabila Rocket bertarung nyawa.

Telah menjadi ‘trademark’ Guardians apabila mereka melakukan misi, mesti berlaku pekara yang mengelikan hati penonton. Gunn membuat adegan-adegan lucu Guardians secara serampang dua mata, dimana walaupun ia adegan yang mengelikan hati penonton, ia sebenarnya menunjukkan persengketaan antara mereka secara halus.

Nebula misalnya tidak gemar dengan sikap acuh tak acuh Drax dan mereka sering bergaduh, tetapi semua itu diketepikan demi menyelamatkan Rocket, yang sekaligus membuka mata Gamora (versi yang tidak mengenali Guardians), tentang sikap mereka yang sanggup membahayakan nyawa demi menyelamatkan rakan mereka. 

Walaupun meletakkan keutamaan menewaskan penjahat di tempat kedua, Gunn tidak melupakan penjahat High Evolutionary dengan memberikan peningkatan taraf agar ia menjadi kuat untuk berhadapan dengan Guardians walaupun pada asalnya dia mudah ditewaskan oleh Rocket sewaktu muda.

Jika diamati, pertarungan antara Guardians dan High Evolutionary adalah pertarungan antara adiwira dan penjahat paling pendek dalam Marvel (rasanya), tetapi ia masih memberikan kepuasan melihat wira kita menewaskan penjahat, yang bukan mahu menguasai galaksi, sebaliknya membuat kekejaman terhadap makhluk-makhluk serata galaksi. 

Sukar untuk membandingkan filem Guardians manakah yang paling terbaik, tetapi bagi saya, dengan tayangan filem ini, saya meletakkan ketiga-tiga Guardians ditempat pertama, tiada kedua, tiada ketiga, kerana ketiga-tiga filem ini mempunyai nilai sentimental dan kekeluargaan yang tinggi – tidak dilupakan hiburan dan komedi yang segar dan benar-benar membuatkan penonton tertawa.

Cuma, dengan berakhirnya trilogi ini, kita tidak pasti sama ada filem seterusnya akan memiliki nada yang sama ataupun tidak. Berdasarkan babak kredit, kita jangkakan pasukan baharu Guardians, dan mungkin pengarah untuk filem akan datang juga berbeza.

Apa yang pasti, filem kali ini adalah penutup yang beremosi buat penonton, khususnya yang meminati Guardians of the Galaxy, dan dalam masa yang sama, membuatkan penonton tidak sabar untuk melihat arka baharu Guardians, dengan pasukan baru yang diketuai oleh anggota lama Guardians.

Apa yang direncana oleh Marvel Studios untuk filem akan datang masih lagi dilihat, cuma diharapkan ia masih mengekalkan nada yang sama seperti trilogi asal tanpa sebarang elemen yang tidak sesuai yang boleh merosakkan trilogi kegemaran peminat ini. 

Guardians of the Galaxy Vol. 3 sangat berbaloi dan dijamin memberi suasana emosional kepada penonton. Filem terbaru Marvel Studios ini kini ditayangkan di pawagam. 

Rating Kakimuvee

4.5/5


Related posts

Review Filem: The Marvels (2023)

Kakimuvee

[VIDEO] Trio The Marvel Melawat Planet Aladna Dalam Video ‘Deleted Scene’ Terbaru

Kakimuvee

Trailer What If…? Musim 2 Pratonton Siri Animasi Terbaru MCU

Kakimuvee

Kutipan The Marvels Menyusut 78% Pada Minggu ke-2

Kakimuvee

Pengarah Destin Daniel Berundur Dari Projek Avengers: The Kang Dynasty

Kakimuvee

Matlamat Suci Loki Ditunjukkan Dalam Finale Siri ‘Loki’

Kakimuvee