Review

Review Filem: Greyhound (2020)

Views

Pandemik COVID-19 menyaksikan beberapa filem menarik Hollywood terpaksa ditayangkan terus ke perkhidmatan penstriman, Greyhound salah satunya.

Agak mengecewakan bila filem perang lakonan Tom Hanks ini terpaksa ditonton di kaca televisyen. Mungkin ada yang beranggapan, ia memudahkan penonton untuk terus berada di rumah dikala musim wabak ini. Tetapi bagi saya, ditangguhkan sehingga keadaan kembali pulih lebih bagus dari tergesa-gesa ditayangkan di perkhidmatan penstriman.

Kenapa saya berkata demikian? kerana Greyhound memberikan pengalaman sinematik yang cukup hebat kepada anda!

Filem arahan Aaron Schneider dan lakonlayar dari Tom Hanks ini diadapatasi dari novel perang The Good Shepherd karya C.S Forester yang diterbikan pada 1955. Ia berkisar tentang Commander Ernest Krause lakonan Hanks, panglima kapal perang USS Keeling yang mengetuai kapal pengiring bagi melindungi kapal dagang dari diserang U-Boat Nazi sewaktu Perang Dunia Kedua.

Lautan Atlantik merupakan antara medan perang utama semasa Perang Dunia Kedua. Bagi menghalang Tentera Berikat dari menerima bantuan dari Amerika Syarikat, Nazi telah mengatur sejumlah besar U-Boat di Lautan Atlantik bagi menenggelamkan konvoi kapal-kapal bantuan. Bagi mengelakkan kapal-kapal bantuan diserang U-Boat, Tentera Berikat telah mengatur kapal-kapal perang untuk mengiringi dan melindungi konvoi dari diserang.

BACA:  Review Filem Jepun: Fukushima 50 (2020)

Komander Ernest Krause merupakan pegawai Tentera Laut Amerika Syarikat yang telah lama berkhidmat tetapi tidak pernah terlibat dengan sebarang peperangan. Kepimpinannya teruji apabila dia mengetuai kapal perang USS Keeling dan kapal pengiring tentera laut yang lain dalam usaha melindungi konvoi kapal bantuan merentasi Lautan Atlantik.

Jika anda pernah menonton filem-filem bertemakan kapal selam, anda pasti dapat merasai betapa tegangnya suasana didalam kapal ketika mereka diserang kapal pemusnah. Debaran yang anda rasai dalam filem Greyhound sama seperti filem-filem kapal selam, bezanya debaran dan suasana tegang bukan dirasai di dalam air, sebaliknya di atas permukaan, dari bilik pemerintah kapal pemusnah.

Greyhound tidak menunggu lama untuk membawa penonton merasai suasana perang. Dengan mukadimah ringkas mengenai perang Atlantik dan mengimbau kisah silam Ernest, Greyhound terus menuju ke plot utama filem dimana USS Keeling memberi arahan kepada beberapa kapal pemusnah yang lain. Melepasi minit ke-10, perang telah bermula apabila USS Keeling memburu U-Boat yang dikesan berada berdekatan konvoi.

Jujur saya katakan, agak sukar untuk mengalihkan mata sewaktu kapal pemusnah itu memburu mangsanya. Setiap saat, debaran dan semangat Ernest untuk melindungi konvoi dapat dirasai penonton, dan anda akan dapat merasai perasaan itu sehingga ke penghujung filem.

BACA:  Review Filem Korea: Peninsula (2020)

Kebiasaannya, filem-filem perang akan memaparkan banyak watak, lokasi dan latarbelakang bagi mengerakkan plot filem, tetapi Greyhound hanya menumpukan pada satu watak sahaja iaitu Ernest. Jika anda perasan, hampir keseluruhan filem di dominasi watak Earnest sama ada dalam bentuk fizikal atau suara. Ini kerana, penonton sebenarnya melihat dan merasai suasana perang dari mata Ernest, cuma ia dipaparkan dalam bentuk pandangan orang ketiga.

Saya suka penulisan Hanks untuk filem ini, tidak meleret, tahu dimana untuk berhenti seketika selepas adegan yang mendebarkan. dan membuatkan penonton tersentuh hati menerusi beberapa babak yang beremosi.

Secara keseluruhannya, Greyhound adalah sebuah filem perang yang sangat berbaloi untuk ditonton, lebih-lebih lagi ia dibintangi dan ditulis oleh pelakon hebat, Tom Hanks. Cuma agak sayang tidak dapat menonton filem ini dipawagam, jika tidak pasti kita dapat merasai pengalaman pentempuran laut di pawagam.

RATING KAKIMUVEE: 8.5/10

Greyhound boleh ditonton di perkhidmatan streaming APPLE TV+.

Tinggalkan Balasan

shares