Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Godzilla vs. Kong (2021)

Selepas ditangguh beberapa kali, penonton di Malaysia akhirnya berpeluang menonton pertarungan paling epik tahun ini, dua Titan terhebat dan dianggap pelindung oleh penduduk Bumi, iaitu Godzilla dan Kong. Saya agak teruja dengan entri kali ini kerana ia melibatkan pertarungan antara dua watak protagonis, seperti “Batman vs Superman” dan “Avengers: Civil War”.

AMARAN SPOILER!!

Anda boleh berhenti disini bagi mengelakkan dari membawa ‘spoiler’

“Godzilla vs. Kong ditetapkan selepas peristiwa dimana Bumi diancam King Ghodirah. Sebagai Titan berstatus Alpha, Godzilla melakukan tugasnya sebagai pelindung dengan menewaskan King Ghidorah. Penduduk Bumi menganggap Godzilla sebagai hero, sehinggalah pada satu ketika, Titan itu muncul dari persembunyian dan menyerangkan fasiliti ciptaan manusia.

Serangan Godzilla itu menyebabkan penduduk Bumi tertanya-tanya dan mula rasa terancam. Titan yang sebelum ini dianggap hero, bertukar menjadi menakutkan, tetapi bagi seorang remaja, Madison Russell (Millie Bobby Brown), serangan Godzilla itu mungkin bersebab. 

Fasiliti yang diserang Godzilla itu sebenarnya milik sebuah syarikat bernama Apex yang dipercayai dengan mencipta sesuatu sehingga membuatkan Godzilla rasa terancam. Pemilik Apex, Walter Simmons (Demián Bichir) mempunyai satu tujuan, mengembalikan status ‘alpha’ kepada umat manusia. Bagi mereliasasikan impiannya, dia telah bertemu dengan seorang geologist, Dr. Nathan Lind (Alexander Skarsgård) dan meminta bantuannya untuk mencari sumber tenaga yang mampu menyelamatkan umat manusia. 

Nathan, yang juga pernah bekerja di Monarch, bertemu dengan Dr. Ilene Andrews (Rebecca Hall), seorang saintis yang menjaga dan mengkaji Kong. Menurut Nathan, Kong boleh membantu pasukan ekspedisi Apex dengan membawa mereka ke sumber tenaga yang terletak jauh ke dalam perut Bumi. Memandangkan kawasan yang ingin dituju Nathan itu adalah kampung halaman Kong, Ilene bersetuju menyertai ekpedisi mereka.

Sebagai makhluk yang boleh merasai ancaman, Godzilla mula memburu segala fasiliti yang berkaitan dengan Apex, termasuklah pasukan expedisi Nathan. Ketika mereka berlayar ke satu tempat yang terletak di Artatika, armada tentera laut yang melindungi pasukan expedisi telah diserang Godzilla. Lebih merumitkan, Godzilla merasakan Kong menyebelahi manusia, dan ketika itulah bermulanya perseteruan antara dua protagonis, yang akhirnya akan menentukan nasib umat manusia.

Sudah tentu, ramai penonton akan mengharapkan adegan-adegan aksi, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan dua Titan kegemaran ramai. Bagi saya, adegan aksinya sangat menyeronoknya, ibarat anda menonton ‘mash-up’ “Pacific Rim” dan “Batman vs Superman”. Kemusnahan bandar dan harta benda sudah tentu tidak dapat dielakkan, jumlah kematian mungkin mencecah jutaan orang,  pertarungan yang cukup sengit akan membuatkan anda rasa terpegun, tetapi ada yang paling penting, Kong dan Godzilla ibarat seperti Batman dan Superman, yang akhirnya bergabung menentang Doomsday.  

Walaubagaimanapun, filem ini sangat bosan dari segi jalan cerita dan karakter manusia. Saya merasakan jalan ceritanya lebih kurang sama dengan “Godzilla: King of the Monsters”, yang membezakannya sedikit, terdapat unsur penggembaraan dan plot ala “Journey to the Center of the Earth”. Watak-watak manusia tidak begitu membantu dalam mencipta keseronokan pada jalan ceritanya, ada yang mendatar dan ada juga yang menjengkelkan. Mujur filem ini menyelitkan banyak babak-babak aksi, jika tidak pasti terasa seksa untuk habiskan penceritaannya. 

Secara keseluruhannya, saya masih menikmati segala adegan aksi dalam filem – walaupun pertarungan akhir agak antiklimaks. Cuma untuk mengatakan filem ini bagus, saya rasa tidak, cukup sekadar sederhana. Saya akui, dunia ‘monsterverse’ sukar untuk memberikan jalan cerita yang segar, dan disebabkan itulah saya merasakan plot filem ini tidak jauh beza dengan filem terdahulu. Tambahan pula, watak-watak manusia masih lagi mengecewakan. Apapun, “Godzilla vs. Kong” tetap sebuah filem yang menarik, dan sesuai untuk ditonton oleh penggemar filem aksi.

Rating Kakimuvee

3/5

Related posts

Review Anime: The Way Of The Househusband (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Jangan Sendirian (2021)

Kakimuvee

Review Telefilem: 18 Puasa Di Kampong Pisang

Kakimuvee

Review Filem: Dreamy Eyes (2019)

Kakimuvee

Review Filem: The Promised Neverland (2021)

Hasib Anwar

Review Filem: The Box (2021)

Hasib Anwar