Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Ghostbusters: Afterlife (2021)

Filem Ghostbusters merupakan antara filem klasik era 80an yang menjadi kegemaran ramai peminat filem, namun ‘reboot’ yang ditayangkan pada 2016 hampir sahaja memusnahkah francais popular itu meskipun ia mendapat pujian dari pengkritik filem. Bagi mendapatkan kembali kepercayaan peminatnya serta memperkenalkan Ghostbusters kepada generasi baru, Sony Pictures tampil dengan filem terbaru yang diterajui anak kepada pengarah filem asal, Jason Reitman.

Tidak seperti filem tahun 2016, Ghostbusters: Afterlife merupakan kesinambungan dari dua filem asal iaitu Ghostbusters (1984) dan Ghostbusters II (1989), yang mana kedua-duanya diarahkan oleh ayah kepada Jason, Ivan Reitman. Ditetapkan 32 tahun selepas peristiwa dari Ghostbusters II, filem ini berpusat pada seorang ibu tunggal dan dua anaknya yang berpindah ke bandar kecil yang terletak di Oklahoma, dimana mereka menemui hubungan mereka dengan Ghostbusters dan warisan rahsia datuk mereka. 

Secara ringkasnya, saya menyukai ‘direct-sequel’ kali ini dimana ia sangat dekat dengan filem asal, begitu juga dengan lakonan aktor remaja Finn Wolfhard dan Mckenna Grace yang sangat dikenali dengan bakat mereka. Walaupun ditetapkan berpuluh tahun kemudian, banyak rujukan filem pertama dan kedua yang dipaparkan dalam filem kali ini, yang sudah tentu mengamit memori peminat ‘kipas-susah-mati’ Ghostbusters.

Ghostbusters: Afterlife bukan sahaja menceritakan bagaimana watak-watak utama memburu hantu dengan menggunakan senjata ‘Proton pack’ semata-mata, ia juga memberi fokus pada hubungan kekeluargaan diantara Callie Spengler dan dua anaknya, Trevor dan Phoebe Spengler, serta hubungan terpisah diantara ayah dan anak perempuannya. Walaupun konflik dan perkembangan cerita diantara Callie dan watak asal yang juga ayahnya, Dr. Egon Spengler tidak begitu kuat, ia tetap memberi kesan emosi kepada penonton. Tambahan pula, babak Callie dan Dr. Egon dipenghujung filem benar-benar hampir mengalirkan air mata penonton memandangkan babak tersebut boleh dikatakan satu babak penghormatan kepada mendiang Harold Ramis, yang merupakan pelakon asal untuk watak Egon Spengler. 

Saya boleh katakan bahawa filem ini adalah ‘feel good movie’, tidak begitu berat tetapi menghiburkan. Dengan watak kanak-kanak menjadi peneraju utama, filem ini ditujukan kepada peminat dewasa dan dalam masa yang sama, turut memperkenalkan Ghosbusters kepada generasi baru, iaitu anak-anak mereka. Bahagian klimaks mungkin agak tergesa-gesa dan ‘cringe’, tetapi ia tidak bermakna tidak bagus. Penonton masih boleh menikmati adegan-adegan mendebarkan diantara Ghosbuters dan penjahat utama Gozer, dan sudah tentu, kehadiran anggota asal Ghostbuster pada waktu itu, hampir sahaja membuatkan peminat bersorak.

Lakonan Mckenna Grace dan Finn Wolfhard dalam filem ini sememangnya hebat, terutamanya Grace, yang mendapat lebih banyak ‘screentime’, tetapi saya tertarik dengan beberapa watak lain seperti Podcast lakonan Logan Kim. Watak Podcast benar-benar mencuri perhatian dengan humornya yang bersahaja. Paul Rudd tidak begitu menonjol dalam filem ini, walaupun dia dipromosikan sebagai watak utama. Namun, waktanya tetap memberi impak kepada perkembangan watak Phoebe lakonan Grace.

Secara keseluruhannya, Ghostbusters: Afterlife adalah ‘revival’ yang sukses selepas kegagalan filem tahun 2016. Walaupun menampilkan watak-watak kanak-kanak, filem ini adalah sekuel yang diharapkan penonton, dan adegan pasca-kredit memberi peluang kepada francais ini untuk terus berkembang. Bagi peminat-peminat, mereka pastinya tidak sabar untuk melihat filem seterusnya, melihat penggembaraan generasi baru Ghostbuster. 

Rating Kakimuvee

4/5

Strim Ghostbusters (1984)

Related posts

Review Filem: Makmum 2 (2021)

Hasib Anwar

Review Filem: Sing 2 (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Siti: Are You Ready? (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Don’t Look Up (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Spider-Man: No Way Home (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Raging Fire (2021)

Ahmad Fariszuan

Leave a Comment