Review

Review Filem: Geran

Views

Hampir menitik air mata ini sebaik sahaja filem Geran hampir menginjak ke babak penghujung, mahu saja menjerit sambil menepuk tangan, tetapi mujur perasaan malu ini masih menebal. Saya kagum dan dalam masa yang sama cukup terharu dengan usaha Areel Abu Bakar serta mereka yang terlibat dalam pembikinan filem Geran kerana berani mengangkat kembali seni mempertahankan diri Silat dalam sebuah filem.

Tajuk Geran mungkin kedengaran sedikit pelik, tetapi sebenarnya ia memberi satu makna yang cukup besar dalam jiwa bangsa terutamanya dalam soal maruah. Bukan mudah untuk mempertahankan maruah, lebih-lebih lagi di zaman yang dikuasai dengan wang ringgit. Itulah yang cuba disampaikan pengarah Areel Abu Bakar dalam filem arahannya ini.

Geran berkisarkan tentang keluarga Pak Nayan (Namron) yang diganggu pengikut-pengikut lintah darat Haji Daud yang mahu merampas tanah pusaka keluarga. Ia gara-gara sikap anak bongsu Pak Nayan iaitu Mat Arip (Fad Anuar) yang mempertaruhkan geran tanah untuk meminjam wang dari Haji Daud demi menuruti hawa nafsunya yang gemar berjudi.

Sementara itu, dua lagi anak Pak Nayan iaitu Ali (Koharullah Majid) dan Fatimah (Feiyna Tajudin) cuba menasihati ayahnya agar dapat memberi pengajaran kepada Mat Arip, tetapi sebagai seorang ayah yang tenang, dia masih memberikan teladan yang baik kepada anak bongsu kesayangannya itu. Suatu hari, mereka sekeluarga menerima dugaan terbesar apabila diserang konco-konco Haji Daud sehingga memaksa Ali untuk bertindak demi mempertahankan maruah keluargannya dari dipijak-pijak.

Jika berkata soal memberi kesedaran, moral dan sebagainya, Geran memberikan segala-galanya. Filem ini bukan sekadar filem aksi yang memaparkan adegan bersilat, bergocoh setiap masa, ia turut menyelitkan dakwah dan perbuatan yang akan menjentik menjentik hati nurani para penonton. Kesabaran, sifat sayang, hubungan kekeluargaan, silaturahim dan santun antara yang menjadi intipati dalam mengangkat nilai-nilai murni yang ada pada filem. Walaupun plot filem lebih mengutamakan watak Mat Arip, ia tidak mengabaikan watak Ali, Fatimah dan Pak Nayan. Babak-babak yang melibatkan Mat Arip dan ahli keluarganya ibaratkan seperti Ying & Yang dimana ia akhirnya akan berhubung dan membentuk satu cerita yang akan memberi makna yang cukup kuat. Babak-babak Mat Arip lebih memaparkan sisi negatif yang menggambarkan realisme masyarakat yang gemar merobek maruah diri demi kesenangan hidup yang tidak pasti. Tetapi apabila tiba babak yang melibatkan Pak Nayan dan dua anaknya yang lain, aura positif terus ditonjolkan – disinilah penonton dapat melihat bagaimana Pak Nayan dan adik beradik yang lain menghadapi konflik keluarga dengan penuh sabar tanpa drama secara berlebih-lebihan.

BACA:  Acts Of Violence Review

Sebagai sebuah filem yang menonjolkan seni silat, sudah pasti babak aksi akan diberi perhatian. Adegan aksi Geran tidaklah setangkas Merantau mahupun Ong-Bak, namun ia masih membuatkan saya merasa kagum dengan cara mereka mempersembahkan seni silat Gayong. Walaupun dari segi teknik penggambaran, aksi lagak ngeri dan rangkaian shot terdapat sedikit kelemahan, ia masih mampu memberikan sebuah aksi persilatan seperti yang kita mahukan – berseni, kemas dan memukau. Selain itu juga, Areel tidak terlampau bercita-cita tinggi dengan menyumbat segala babak aksi. Dia memberikan sedikit bunga-bunga ‘silat’ diawal filem agar dapat memberikan sedikit tumpuan kepada pembinaan plot. Dipertengahan bahagian filem, penonton mula panas dengan paparan aksi persilatan yang cukup mendebarkan, satu persatu ‘sequence’ mula dimasukkan sehinggalah babak finale yang menyaksikan pertarungan akhir diantara wira dan penjahat.

Banyak pekara tentang filem ini yang membuatkan saya ‘tabik hormat’ kepada pengarah dan mereka yang terlibat dengan filem Geran. Dengan sumber yang terhad dan sekadar ‘menggunakan apa yang ada’, ia masih mampu memberikan sebuah karya yang cukup berkualiti. Geran tidak dibintangi pelakon-pelakon popular, hanya Namron dan Aeril Zafrel sahaja yang dikenali peminat-peminat tempatan, manakala nama-nama seperti Fad Anuar, Koharullah Majid (lekiuqohar), Taiyuddin Bakar, Feiyna Tajudin dan Azlan Komeng mungkin begitu asing bagi anda. Namun populariti hanya lakaran diatas kertas, kualiti lakonan sebenarnya yang menjadi ukuran. Kekuatan skrip, penghayatan watak dan keberkesanan pengarahan membuatkan kesemua pelakon utama filem ini dapat memberikan satu bentuk lakonan yang cukup baik sekali. Itu belum diambil kira watak-watak tambahan yang rata-ratanya adalah pemain silat, kesemua hebat meskipun ada yang sedikit kekok dihadapan kamera.

BACA:  REVIEW FILEM : I STILL SEE YOU 2018

Lakonan Koharullah mengingatkan saya zaman-zaman awal Tony Jaa dan Iko Uwais dalam dunia perfileman seni mempertahakan diri. Lakonannya nampak tenang dan bersahaja, tetapi sebagai individu yang mahir dalam seni mempertahankan diri seperti dua nama yang saya sebutkan diatas, dia tidak kekok untuk mempersembahkan adegan-adegan aksi dihadapan kamera. Saya yakin, jika filem ini dapat menembusi pasaran luar, Koharullah mungkin dapat mengikut jejak Tony Jaa dan Iko Uwais, berlakon dalam filem-filem aksi Hollywood. Beberapa pelakon lain juga turut berjaya menambat hati saya. Feiyna Tajudin misalnya, lakonan dan aksinya dia membuatkan saya terkedu sebentar. Lengang-lengok silatnya semasa membelasah watak-watak penjahat, membuatkan dia kelihatan seperti gadis ayu yang sangat ‘badass’, diharapkan wataknya akan dijadikan satu filem ‘spin off’. Bagi yang merindui lakonan Eman Manan, anda kini mungkin dapat melihat bayangan pelakon legenda itu dalam diri Fad Anuar. Watak Mi Piang lakonan Taiyuddin Bakar lebih kepada komik, berperanan sebagai sahabat sehidup semati Mat Arip yang menghiburkan, tetapi kadang kala sangat ‘annoying’. Azlan Komeng sinomin dengan watak jahat, geram dibuat. Cuma Aeril Zafrel hilang entah kemana di penghujung filem.

Selain itu juga, saya suka pendekatan pengarah dalam mewujudkan masyarakat kampung dalam negeri Kedah. Filem ini menggunakan loghat Kedah hampir keseluruhannya. Suasana kampung, latarbelakang gambar, cara pergaulan, gaya hidup semuanya kelihatan realistik, malah kehidupan seharian Pak Nayan yang suka minum kopi sambil menggulung rokok daun juga ditekankan pengarah agar dapat menghidupkan suasana rakyat marhaen dalam filemnya. Cuma yang sedikit mengecewakan cara suntingan filem ini, babak-babak aksi kadang-kala terselit dengan babak-babak dialog, – bagi saya ia sedikit ‘turn off’ kerana mengganggu tumpuan penonton yang sedang menikmati adegan aksi. Mujur ia hanya dipaparkan diawal filem dan ketika babak perlumbaan kereta.

BACA:  The Kid From The Big Apple 2: Before We Forget Review

Kewujudan filem Geran di arena perfileman tanah air sangat bertepatan dikala penonton dahagakan sebuah filem aksi yang tulen, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan seni silat yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu. Pada mata kasar, Geran mungkin nampak ‘murah’, tetapi dalamannya tersimpan satu nilai yang tidak terhingga. Saya percaya ia akan menjadi sebuah filem yang akan diingati sampai bila-bila.

Rating Kakimuvee: 9/10

*Geran akan mula ditayangkan dipawagam tempatan mulai 10 Oktober ini. Jangan pergi kemana-mana sebaik sahaja filem tamat kerana ia akan memaparkan satu babak kredit yang mungkin akan memberi keterujaan besar kepada anda semua. Teruskan sokongan agar filem seperti ini dapat terus dihasilkan dimasa akan datang.*

Tinggalkan Balasan

shares