Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Gadis Jolobu The Movie (2022)


AMARAN SPOILER!!!

Agak lama kiranya saya sendiri tidak membuat ulasan filem kerana agak sibuk dengan urusan pembelajaran “postgraduate”. Filem terakhir yang saya ulas pula adalah Mat Kilau yang telah dikeluarkan lebih kurang sebulan yang lalu.

Setelah tsunami yang melanda arena filem tempatan cetusan Syamsul Yusof itu, kini industri filem tempatan dimeriahkan lagi dengan sebuah filem yang bercorakkan drama dan komedi iaitu Gadis Jolobu. Arahan CL Hor dengan skrip oleh Hor dan Bobo Ikmal terbitan bersama Tremendous Entertainment dan Zebra Studio.

Filem Gadis Jolobu pada kali ini menampilkan penyanyi lagenda tanah air iaitu Dato Hattan yang membawa watak bujang terlajak yang bernama Atan serta turut menampilkan pelakon ternama yang lain seperti Joey Daud, Khir Rahman dan Ahirine Ahirudin, filem ini mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 4 Ogos 2022.

Gadis Jolobu mengisahkan tentang satu keadaan dalam masyarakat yang boleh dikatakan sangat biasa untuk dibincang dan “dibawangkan” iaitu isu jodoh. Isu ini dibawa oleh tiga orang pemuda kampung yang bernama Atan, Ajoi, Acong. Mereka bertiga merupakan sahabat sekampung yang rapat sejak kecil lagi. Masing masing mempunyai perangai yang tersendiri dan juga pekerjaan mereka yang tersendiri. Menaruh minat terhadap 3 orang gadis yang juga sekampung dan berhasrat untuk memperisterikan mereka.


Gadis Jolobu merupakan sebuah filem yang menggunakan loghat Negeri Sembilan sebagai medium tarikan orang ramai menonton filem mereka. Suasana kampung dan kemelayuan jelas terpapar melalui visual filem ini dan usaha pihak produksi untuk mempromosikan adat perpatih juga harus dipuji walaupun perkara tersebut hanyalah sekadar hiasan yang nampak tak nampak di dalam filem ini.

Andai disangka panas hingga ke petang, jangan terkejut sekiranya hujan di tengah hari. Filem ini mengambil masa lebih kurang 1 jam 40 minit untuk diselesaikan tayangannya namun apa yang dapat saya katakan semasa menonton filem ini adalah seolah olah terasa seperti lebih lama daripada durasi yang ditetapkan. Mungkin kerana selalu memerhatikan jam di tangan.

Walaupun konsep filem ini mudah sahaja iaitu jodoh, olahan konsep tersebut dirasakan begitu tawar kerana tiada “wow factor” yang boleh dicungkil daripada filem ini sepanjang 100 minit disiarkan di layar gergasi itu. Penggunaan gerak perlahan yang melampau lampau dan dilihat tiada motif juga menimbulkan rasa kurang selesa saya menonton filem ini dan tiada hilai tawa kedengaran dari segenap dewan tayangan.

Mungkin kerana saya seorang sahaja yang menonton filem ini dalam dewan tayangan berkapasiti 110 orang tersebut. Walau bagaimanapun, rasa kurang enak menonton filem ini dapat dilegakan seketika dengan lagu lagu soundtrack yang digunakan dalam filem ini seperti Gadis Jolobu nyanyian Dato Hattan sendiri dan beberapa lagu slo-rock yang lain.

Filem ini juga dilihat agak mematerialisasikan wanita sebagai hiasan kepada visual yang disajikan. Walaupun mungkin tidak begitu keterlaluan dan mencolok mata, ia tetap menjadi sesuatu yang agak merengsakan bagi saya sendiri yang menontonnya.

Secara keseluruhannya, filem ini tiada halatuju yang tetap dalam penceritaannya dan longgar dari segi perkembangan watak dalam filem ini. Kalau dapat saya andaikan filem ini seperti nasi goreng cilipadi. Ia adalah satu hidangan nasi goreng cilipadi yang tiada ayam, tiada bilis, sawinya sikit dan pedasnya tiada.

Rating Kakimuvee

1/5


Related posts

“REVERSI” Dipilih Untuk Pertandingan Rasmi Di Festival Filem Far East Udine Ke-26 Pada Tahun 2024

Kakimuvee

Viu Perkenalkan Drama Adaptasi Novel Popular, Jendela Hati Lakonan MK K-Clique, Anna Jobling dan Hanna Aqeela

Kakimuvee

Siri Popular ‘Kau vs Aku’ kembali untuk Musim ke-2

Kakimuvee

Unifi TV Melancarkan Kandungannya Sendiri

Kakimuvee

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee

Astro raih 16 anugerah di Asian Academy Creative Awards 2023

Kakimuvee