Review

Review Filem: Fantasy Island (2020)

Views

Amaran Spoiler!!!

Setiap orang mempunyai fantasi mereka sendiri, dan ada juga yang berharap fantasi mereka dapat menjadi realiti. Bercakap mengenai fantasi menjadi realiti, Jeff Wadlow (Kick Ass 2, Truth or Dare) menerusi filem Fantasy Island, cuba menunjukkan kepada penonton bahawa tidak semua fantasi itu akan menjadi seperti yang diharapkan.

Diadaptasi dari siri televisyen klasik berjudul sama terbitan ABC, Fantasy Island membawa penonton merungkai sebuah pulau misteri yang mampu menukar fantasi setiap orang menjadi realiti. Kisahnya bermula dengan seorang wanita yang diburu beberapa lelaki misteri ketika dia cuba keluar dari Pulau Fantasi. Prelude yang ringkas mengenai ketakutan yang dihadapi wanita tersebut sudah cukup untuk memberi gambaran kepada penonton tentang apa yang bakal anda lihat sepanjang filem nanti.

Penceritaan sebenar bermula sebaik sahaja sebuah kapal terbang melintasi pulau misteri itu. Sekumpulan individu, atau lebih tepat digelar tetamu telah tiba di pulau tersebut dan disambut mesra oleh pemilik pulau iaitu Mr. Roarke (Michael Peña). Mereka semua adalah pemenang dalam satu peraduan dan berpeluang untuk merealiasasikan fantasi mereka ketika berada di pulau tersebut. Namun, apa yang sebenarnya mereka tidak tahu, pulau tersebut dahagakan korban dan mereka ini bakal menjadi mangsa seterusnya.

Fantasy Island mengabungkan elemen 'supernatural' dan 'thriller' dalam menjadikan ia sebuah filem yang memiliki jalan cerita yang hampir menarik. Lebih separuh perjalanan plotnya berjaya membuatkan penonton tertanya-tanya dan tidak sabar untuk mengentahui apa yang berlaku selepas itu. Walaupun pembahagian 'screentime' karakter tidak seimbang, ia masih mampu memberikan jalan cerita yang menarik.

Bagaimanapun, 'third act' Fantasy Island memberi masalah besar kepada keseluruhan cerita dan sekaligus merosakan keterujaan penonton. Plot twist yang cuba disampaikan Wadlow sangat lemah dan meninggalkan beberapa 'plot hole' yang besar sehinggakan sukar untuk penonton memproses kesimpulan cerita. Agak sayang sebenarnya bila klimaks Fantasy Island yang berjaya membina debaran, telah dirosakkan dengan plot twist yang tidak patut diwujudkan.

Selain itu juga, Wadlow cuba menamatkan filem dengan babak yang beremosi dimana ia bermain dengan konsep pengorbanan dalam menjadikan fantasi menjadi realiti. Kesilapannya disini, dia membiarkan antagonis sebenar menjadi 'hero' sedangkan watak tersebut telah mengambil banyak korban dalam memastikan fantasinya terus hidup dipulau tersebut.

Ketidakseimbangan 'screentime' karakter turut menyumbang kepada kegagalan filem ini. Fantasy Island dibarisi beberapa pelakon hebat seperti Michael Peña, Maggie Q, dan Michael Rooker, tetapi ketiga-tiga pelakon ini kurang memberi impak kepada perjalanan cerita, Maggie Q misalnya berpotensi untuk menerajui cerita Fantasy Island, tetapi banyak tumpuan diberikan kepada kisah Lucy Hale. Manakala Michael Peña langsung tidak menunjukkan sebarang karisma sebagai seorang pemilik pulau yang sangat psiko dan menakutkan. Bagaimanapun, bintang Truth or Dare, Lucy Hale memberikan lakonan yang menyakinkan, begitu juga Austin Stowell sebagai Patrick. Michael Rooker boleh dikatakan sekadar karakter tempelan, dan tidak begitu membantu dalam membina plot yang mendebarkan.

Unsur-unsur seram, ngeri dan drama dalam filem ini boleh dikatakan seimbang walaupun tidak begitu hebat. Penonton masih boleh merasai debaran dalam sesetengah adegan, dan dalam masa yang sama turut terkejut dan merasa takut pada adegan yang melibatkan seram, serta tersentuh hati dengan kisah Maggie Q sebagai Gwen Olsen yang impikan sebuah keluarga bahagia.

Secara keseluruhannya, Fantasy Island sebuah filem yang masih boleh ditonton, tetapi peminat mungkin tidak akan menyaksikan filem ini berulang kali. Konklusi yang lemah menjadi salah satu faktor penonton akan mengelakkan menonton filem ini buat kali kedua. Jika klimaksnya 'straight foward' dan hanya perlu menambah unsur-unsur debaran, pasti Fantasy Island akan menjadi lebih menarik.

RATING KAKIMUVEE: 5.5/10

Review overview

RATING KAKIMUVEE5.5

VERDICT

5.5'Third act' yang menganggu dan ketidakseimbangan karakter antara faktor Fantasy Island gagal memberi kepuasan kepada penonton.

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks