Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Extraction 2 (2023)


AMARAN SPOILER!!!

Diberi peluang untuk hidup buat kali kedua, nampaknya Tyler Rake tidak tenang hidup selepas bersara, menghabiskan masa menonton televisyen bersama seekor anjing dan dua ekor ayam gajah.

Kehadiran Heimdall.. maaf, Alcott, seperti yang tertulis pada kredit, seolah-olah memberi sinar baru kepada Rake, satu cahaya terang mula terpancar ke wajahnya, dikala dia sedang mencari-cari matlamat hidupnya, iaitu sebagai seorang askar upahan yang merindui letusan-letusan bom dan tembakan. 

Misinya sangat mudah, menyusup masuk, membawa membebaskan pakej – iaitu seorang wanita dan dua anaknya – dan membawa mereka keluar dari penjara. Tetapi, Rake, yang mengigil tangan selepas bersara berbulan-bulan, menyertai ‘one-shot’ ‘royal rumble’ di halaman penjara. 

Ibarat Thor yang kembali bernilai dan dapat mengangkat kembali tukulnya, dia bergusti, membelasah semua orang yang berada dihadapannya, kecuali wanita yang cuba diselamatnya. Jika The Rock dan Stone Cold boleh bergasak sehingga ke bilik persalinan, Rake membawa ‘royal rumble’nya sehingga ke hutan, landasan keretapi sehinggalah ke pelabuhan.


Setiap tumbukan, suplex, ‘upcut’ dan tembakan mesingun dan roket RPG, penonton, yakni kita, pasti akan sentiasa mengulang-ulang adegan-adegan aksinya, kerana merasakan tidak begitu puas melihat Rake bergasak dengan lawan-lawannya.

Tiada ‘slo-mo’, tiada ‘fancy reload’, hanya satu rakaman yang mewakili keseluruhan adegan aksi, sudah cukup untuk membuatkan penonton, menekan ‘left click’ tetikus komputer atau ‘button rewind’ alat kawalan jauh untuk melihat kembali adegan-adegan aksinya. 

 

Bukan itu sahaja, ‘royal rumble’ Rake diteruskan lagi pada pusingan kedua, terima kasih kepada Sandro yang merasakan dia juga adalah keluarga ‘Nagazi’.. keluarga.. Extraction 2 adalah filem mesra keluarga bukan? Pusing kedua sama seperti yang pertama, bukan sahaja penonton melekat di sofa atau bantal, tetapi memastikan jari anda sentiasa bersedia menekan butang ‘rewind’.

Biarlah cerita ringkas, yang pasti Chris Hemsworth memberikan aksi-aksi yang tulen dan memukau, dan yang paling penting..realistik kerana hero pun berdarah bukan? Bukan macam Dom Torreto, kereta berguling berkali-kali, jangan katakan kulit, baju singlet dia pun tak koyak. Padahal Captain America, yang ‘super soldier’ tu pun hancur perisai dia. 

Tapi, Extraction 2 tidak begitu padu pada bahagian ketiga. Jika Chef Ramsey melawat restoran seperti dalam siri Kitchen Nightmare, dia akan puji hidangan pembuka dan hidangan utama, tetapi memaki hamun pencuci mulut. Apapun, Heimdall.. maaf lagi sekali, Ascott tidak melupakan Rake, dia tahu apa yang Rake mahukan, dan dia menawarkan satu lagi kerja, apa tugasannya? kita kena tunggu beberapa tahun lagi kerana Chris Hemsworth dan pengarah Sam Hargrave baru sahaja mengumumkan filem ketiga.

Ok ulasan serius! Extraction 2 boleh dikatakan filem aksi tulen yang lain daripada yang lain. Apa yang saya maksudkan adalah, filem ini bukan sahaja memberikan nilai yang tinggi pada hiburan, tetapi juga benar-benar menepati genre aksi ngeri melalui adegan-adegan aksinya. 

Ia boleh dikatakan gabungan Fast & Furious, The Expendables, John Wick dan genre superhero dalam gaya permainan video Call of Duty. Ia merangkumi semua itu, dari bertumbuk, aksi kejar mengejar, tembakan peluru dan bom tanpa henti sertai pertarungan satu lawan satu, sama ada menggunakan senjata atau tangan kosong. 

Apa yang menjadikannya lebih menarik, adalah ‘trademark’ ‘one-shot’ Sam Hargrave, sepertimana yang dia lakukan dalam filem pertama. Pergerakannya kameranya agak smooth, dan gegarannya masih diterima dan kita melihat adegan-adegan aksi dengan begitu jelas. Tidak seperti Mat Kilau, dimana teknik kamera bergegarnya membuatkan kita rasa pening.

Filem sebegini sudah tentunya akan menggorbakan salah satu elemen penting, iaitu penceritaan. Extraction 2, seperti tajuk, hanya jalan cerita yang ringkas. Masuk, selamatkan orang dan keluar, selebihnya adalah aksi. Tiada ‘twist’ dan kurang drama. Kekurangan pada jalan cerita membuatkan filem ini tidak begitu kuat pada bahagian ketiga.

Lihat sahaja bagaimana mudahnya Rake menamatkan cerita ini, dan memandangkan hampir kesemua penjahat telah dihapuskan semasa di bahagian kedua, iaitu babak dia kawasan bangunan tinggi, klimaksnya kurang mendebarkan. 

Kebiasannya, filem yang sekadar menyampaikan jalan cerita yang ringkas, pasti sukar untuk melihat perkembangan watak. Memandangkan kita sudah melihat filem pertama, terutama pada karakter Rake, ansuran kali ini kita menyelami perasaan hatinya. Dia merupakan seorang ayah yang terpalit dengan rasa bersalah kerana tidak berada disisi anaknya yang sedang sakit. 

Nah, perkembangan karakter Rake tidaklah begitu ketara kerana ia adalah sekadar subplot kecik untuk cerita ini. Bagaimana Rake akhirnya dapat melepaskan bebanan dan rasa bersalahnya itu juga dibuat secara tipikal dan tidak begitu ditekankan, kerana fokus utama cerita ini adalah pada kisah Rake sebagai Askar upahan kerana apabila kita sampai ke penghujung, ia mengisyaratkan bahawa Rake bakal mengetuai satu lagi misi. 

Secara keseluruhannya, Extraction 2 memiliki nilai hiburan yang tinggi, dan dalam masa yang sama, tidak membuatkan penonton merasakan seperti ‘hero sangat kebal dan susah untuk berdarah.’ Ia tidak memerlukan banyak penjahat untuk menjayakan hiburan aksinya, sebaliknya ia memberikan penjahat yang sedikit tetapi sukar untuk ditewaskan, dan sudah tentu ia adalah aksi yang dimahukan penonton. 

Percayalah, dengan penekanan genrenya yang jitu dan ‘authentic’, nescaya penonton pasti tidak akan memikirkan jalan cerita filem ini. 

Rating Kakimuvee

4/5


Related posts

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee

Kejayaan Filem Pertama Dorong Netflix Pesan Filem Sekuel Troll

Kakimuvee

[VIDEO] Netflix Sahkan Perancangan One Piece Musim 2

Kakimuvee

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee

Penerbit Sahkan Skrip Musim 2 One Piece Telah Siap

Kakimuvee

Zachary Levi Menggantikan Tempat Mel Gibson Dalam Chicken Run: Dawn of the Nugget, Tonton Trailer Pertama Disini

Kakimuvee