
Amaran Spoiler!!!
Siapa sangka, sebuah filem seram yang dibangunkan khusus untuk perkhidmatan streaming berjaya mencipta kejayaan komersial dan berjaya menambat hati peminatnya sebaik sahaja ditayangkan di pawagam.
Evil Dead Rise, ansuran kelima dalam siri filem Evil Dead sepatutnya membuat tayangan perdana di HBO Max, namun selepas melihat reaksi positif penonton sewaktu tayangan ujian, Warner Bros,. penerbit filem ini telah membuat keputusan untuk menayangannya di pawagam. Dan hasilnya, sehinggakini, Evil Dead Rise menjadi filem yang mendapat kutipan yang cukup tinggi dalam francaisnya, dengan modal yang sangat minimal.
Apa yang menariknya juga, filem yang serba serbi ngeri, geli dan sangat kejam ini telah diterima masuk untuk tayangan di Malaysia dengan Lembaga Penapisan Filem buat pertama kalinya, membenarkan tayangan filem ini tanpa sebarangan potongan.
Ya!, penonton yang telah menyaksikan filem ini dapat melihat filem sebenar tanpa sebarang potongan yang besar. Sebenarnya, jika filem ini benar-benar ditapis, hanya beberapa minit sahaja yang tinggal kerana kebanyakkan adegan-adegan dalam Evil Dead Rise, benar-benar mengilukan penonton yang melihatnya.
Plot Evil Dead Rise sangat mudah dan tiada twist yang ketara yang boleh memeningkan kepala penonton. Hanya disebabkan satu buku lama yang tidak diketahui asal-usulnya dengan beberapa keping piring rakaman, sebuah keluarga secara tidak sengaja memanggil syaitan yang dipanggil Deadites, sekaligus merasuki penduduk didalam sebuah apartment, terutamanya 3 beranak yang mana mereka adalah orang pertama yang menjumpai buku terkutuk itu.
Diawal filem sahaja kita sudah dibayangi dengan adegan ngeri apabila seorang wanita yang dirasuk ketika dia bercuti dengan rakan-rakannya disebuah tasik, telah mengoyak kulit kepala rakannya, dan mencampakkan kepala rakan lelaki mereka dari dalam tasik.
Beberapa hari sebelum kejadian dia dirasuk, syaitan tersebut telahpun merasuki sebuah keluarga, dimulai dengan ibunya yang terus menggila selepas dirasuk. Seorang remaja perempuan, yang juga anak kepada ibu yang dirasuk turut menunjukkan ciri syaitan yang merasuki badan manusia, cuba membunuh ahli keluarga didalam rumah tersebut.
Darah, tusukan benda tajam pada badan, antara adegan ngeri yang memualkan. ‘Jumpscare’, pekara tipikal dalam sebuah filem seram, hanyalah salah satu lauk yang dihidangkan menu besar Evil Dead Rise kerana darah dan adegan yang menunjukkan kecederaan ngeri adalah menu utama yang perlu dihadam penonton. Mahu atau tidak, selera ataupun tidak selera, penonton harus menelan juadah itu.
Pasukan yang membangunkan Evil Dead Rise sangat bijak dalam mencipta semula francais yang pernah popular pada era 80-an suatu ketika dahulu.
Dengan menyempitkan lokasi dalam satu rumah dan memberikan adegan ngeri semaksimum mungkin serta jumlah watak yang sikit dan plot yang ringkas menjadikan filem ini benar-benar menyampaikan fokus rasukan dan amukan syaitan, tanpa perlu adegan-adegan ‘exorcisms’ yang hanya merumitkan plot yang memenatkan fikiran yang penonton sedia mual dengan adegan ngeri.
Apa yang pasti, pengarahnya Lee Cronin memiliki pemikiran yang sama dengan Syamsul Yusof ketika beliau menghasilkan Munafik 2, iaitu tidak henti-henti memberikan adegan menakutkan. Cuma yang membezakan mereka, Cronin memberikan dengan ngilu, ngeri dan mual, manakala Syamsul ‘jumpscare’ yang terus menerus sehingga penonton tidak larat lagi hendak terkejut. Oh ya! sekurang-kurangnya Cronin tidak melupakan arus elektrik yang memberi tenaga pada mentol-mentol lampu dalam bangunan apartment itu.
Jadi, kepada mereka yang masih belum menonton Evil Dead Rise, disarankan anda menonton filem itu dipawagam segera, dan kalau boleh pastikan anda peka dengan rating filem itu, iaitu 18 tahun keatas sahaja, jangan pandai-pandai bawa budak kecil.
4/5