
AMARAN SPOILER!!!
Setiap tahun, Pixar akan mengeluarkan satu animasi yang kreatif, unik dan lain daripada yang lain. Sebagai contoh seperti Inside Out, Ratatouile, Coco dan beberapa filem animasi yang lain, yang mana ia mengetengahkan cerita dalam bentuk gaya yang tidak pernah terfikir dek akal, sehinggakan ada filem yang berjaya meninggalkan kesan memori yang cukup kuat kepada penonton.
Filem terbaru Elemental pada dasarnya adalah sebuah filem drama romantik, yang… jika wataknya adalah manusia, ianya tidak jauh beza dengan tipikal filem-filem romantik yang biasa kita lihat. Tetapi, Pixar mempunyai idea yang kreatif, tidak menggunakan watak-watak manusia, tetapi sebaliknya, watak-watak yang berkait rapat dengan unsur-unsur asas kehidupan iaitu; air, udara, tanah dan api
Unsur-unsur kehidupan ini hidup bermasyarakat dalam satu kotaraya besar yang dipanggil ‘Elemental City’ dan semuanya saling melengkapi dan berinteraksi, kecuali unsur api yang dianggap oleh masyakat setempat sebagai ‘memusnahkan.’
Elemental mengisahkan cinta antara dua darjat diantara Ember, yang merupakan Unsur Api dan Wade dari Unsur Air, dua ‘elemen’ yang tidak mungkin bersatu apatah lagi saling menyayangi antara satu sama lain. Ember berasal dari keluarga pendatang – Bernie dan Cinder, yang berhijrah ke Elemental City untuk memulakan hidup baru – dan bakal memiliki perniagaan keluarga di kawasan kejiranan Unsur Api.
Manakala Wade berasal dari keluarga kaya yang juga merupakan seorang Inspektor Dewan Bandaraya Elemental City. Mereka bertemu dalam keadaan yang tidak dijangka, dimana Wade secara tidak sengaja tersedut masuk ke rumah Ember melalui salah satu paip yang pecah.
Bermula dari pertelingkahan untuk membatalkan saman Dewan Bandaraya, sehinggalah mereka bekerjasama untuk menghalang kebocoran air, Ember dan Wade melayari bahtera percintaan yang tidak mungkin yang akhirnya menyebabkan mereka terpaksa berpisah kerana perbezaan darjat dan… Unsur.
Elemental boleh dianggap simbolik kepada asas kehidupan yang membentuk satu ekosistem yang saling melengkapi antara satu sama lain. Dalam filem ini, kita boleh melihat Unsur-unsur Api hidup dalam keadaan terasing dan jauh dari masyakat. Dikala Unsur-unsur lain boleh hidup bebas dan bergaul antara satu sama lain, Unsur Api dipinggirkan dan dianggap sebagai pemusnah.
Diawal filem, kita dapat melihat doktrin pengasingan antara Unsur-unsur lain dan Api. Meskipun tiada diskrimasi yang jelas dipaparkan dalam filem ini, kita dapat melihat reaksi Unsur-unsur lain apabila Api tidak sengaja mencetuskan kemusnahan disekeliling mereka. Malah bapa Ember, Bernie, sering-kali mengulangi kata-katanya bahawa Api tidak boleh hidup bersama dengan Unsur-unsur lain.
Namun, cinta Ember telah mengubah persepsi yang mengatakan Api adalah pemusnah. Percintaan antara Ember dan Wade menunjukkan bahawa dua Unsur yang berbeza, boleh disatukan tanpa menyebabkan sebarang kemusnahan.
Dan, ia bukan sahaja melibatkan Unsur Air dan Api, tetapi semua Unsur. Semasa babak kredit filem ini, ia memaparkan simbiosis keempat-empat Unsur ini yang melengkapi ekosistem di Elemental City, sekaligus mengisyaratkan bahawa keempat-empat Unsur asas ini adalah sangat penting dalam membentuk satu kehidupan yang sempurna.
Kisah percintaan antara Ember dan Wade juga menggambarkan hubungan diantara dua kehidupan yang berbeza personaliti, tetapi akan melengkapi apabila ia disatukan. Ia ibarat seperti Ying dan Yang, positif dan negatif, berbeza tetapi tertarik antara satu sama lain. Ember adalah Unsur yang sangat pemarah, manakala Wade sangat mudah tersentuh dan penakut dalam membuat keputusan yang penting dalam hidupnya.
Tetapi, Wade boleh meredakan kemarahan Ember, simbolik kepada Unsur air yang meredakan kepanasan, dan Ember menjadi pencetus kepada keberanian Wade, simbolik pada Unsur Api yang boleh menghangatkan air. Sepanjang perjalanan cerita ini, kita boleh melihat bagaimana kedua-dua watak ini berubah apabila masing-masing mula mengenal hati budi, dan kita juga dapat melihat bagaimana Ember yang cekal boleh mengalirkan air mata, dan Wade yang penakut boleh menjadi berani berhadapan dengan bapa Ember.
Walaupun jiwa mudanya memberontak dan ingin mengejar impiannya, Ember masih lagi menghormati keputusan ayahnya untuk mengambil-alih perniagaan. Malah bukan itu sahaja, dia sanggup mengenepikan impian dan cintanya demi seorang ayah, pekara yang sangat menyentuh perasan dan antara titik penting dalam filem Elemental.
Romantik drama dalam filem ini mungkin tipikal, tetapi cara penyampaiannya sangat menarik dan unik, serta boleh dikaitkan dengan kehidupan. Filem ini juga banyak menfokuskan percintaan janggal antara Ember dan Wade dengan watak-watak sampingan yang sangat positif.
Secara keseluruhannya, Elemental sangat berbaloi untuk ditonton, dan bagi penonton dewasa, filem ini tidak hanya menceritakan kisah romantik, tetapi juga mengajak anda untuk berfikir tentang unsur-unsur asas kehidupan.
Note: Sebelum tayangan Elemental, anda akan disajikan dengan filem pendek Up dimana Carl mendapat peluang kedua dalam percintaan. Filem pendek bertajuk Carl’s Date itu menampilkan suara mendiang Ed Asner dalam satu satu peranan terakhirnya.
4/5