Review

Review Filem: Ejen Ali The Movie

Views

AMARAN SPOILER!!!

Tahun ini boleh dikatakan tahun yang gemilang untuk industri filem animasi tempatan. Filem seperti Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal dan Boboiboy The Movie 2 telah berjaya memberi sinar kepada kebolehan anak tempatan dalam menghasilkan filem yang berkualiti. Tambahan pula, kejayaan Keris Siamang Tunggal diperingkat antarabangsa sehingga tersenarai ke pemilihan calon Oscar membuktikan bahawa filem negara kita mampu menyaingi filem-filem dari luar negara.

Kini, selepas peminat menyaksikan dua kejayaan filem animasi dinyatakan diatas, pastinya mata peminat tertumpu kepada satu lagi filem animasi tempatan terbitan WAU Animation iaitu Ejen Ali the Movie. Filem arahan Muhammad Usamah Zaid Yasin itu bakal menjadi menjadi penentu kepada tahun kegemilangan filem animasi tempatan. Ramai peminat pasti tertanya-tanya mampukah Ejen Ali the Movie mengikuti jejak langkah Keris Siamang Tunggal dan Boboiboy Movie 2 dikala tersepit dengan beberapa filem besar seperti Frozen 2, Wira, Knives Out dan Jumanji: The Next Level. 

Sebelum saya memulakan ulasan mengenai filem ini, izinkan saya bercerita secara ringkas mengenai plot filem tanpa memberikan sebarang spoiler besar. Ejen Ali the Movie ini boleh dikatakan ‘tie-in’ dengan siri animasinya, namun ia tidak memberi sebarang kesan yang besar sekiranya anda tidak pernah menyaksikan siri animasi. Ianya berkisarkan tentang Ali, kanak-kanak berusia 12 tahun yang direkrut agensi perisikan Mata untuk menjadi ejen memandangkan dia mampu untuk mengawal IRIS. Bagaimanapun, dia mula mempersoalkan ketuanya selepas tidak dipilih untuk untuk menggunakan IRIS Neo, sebaliknya gajet berteknologi tinggi itu diberikan kepada ejen lain.

BACA:  Review Ant-Man And The Wasp

Suatu hari, ketika memburu ketua sindiket yang dikehendaki oleh MATA, dia telah bertembung dengan sebuah kumpulan yang diketuai oleh seorang wanita misteri. Bermula dari situ, Ali mula mengentahui sejarah silamnya dan demi mencari kebenaran, dia telah melakukan tindakan yang mengugat kesetiaannya kepada MATA.

Ejen Ali the Movie boleh dikatakan sebuah filem animasi yang sesuai untuk semua peringkat umur, baik kanak-kanak dan juga golongan dewasa. Kombinasi karakter utamanya dari kalangan kanak-kanak berserta plot penceritaan yang matang menjadikan filem animasi ini sangat unik. Penceritaannya tidaklah terlampau rumit, sesuai untuk pemahaman kanak-kanak, tetapi beberapa plot twist, penciptaan konflik serta pembinaan cerita yang teratur dan kemas membuatkan penonton dewasa seperti saya merasakan filem ini seolah-olah dibuat untuk golongan dewasa secara rahsia.

Cara filem ini ditamatkan juga nampak lebih matang, klimaksnya juga dibuat dengan penuh beremosi dan keterujaan, pendek kata dari mula penceritaan sehinggalah menginjak ke pertengahan dan menuju ke penghujung, anda akan menghargai idea kreatif pasukan produksi Ejen Ali the Movie. 

Jika anda mengikuti siri animasi Ejen Ali, anda mungkin dapat gambaran mengenai aksi dalam filem ini. Pada saya, adegan-adegan aksinya sangat ‘intense’ dan dalam masa yang sama, ditempatkan pada waktu-waktu yang sesuai agar ia tidak menganggu tempo perjalanan cerita. Pihak produksi sangat bijak dalam menyusun babak-babak aksi. Mereka tidak melempiaskan semua semata-mata mahu memberi kepuasan kepada penonton, sebaliknya disusun secara berperingkat dan disimpan untuk babak akhir agar ia tidak menghilangkan rasa keterujaan penonton ketika menyaksikan pertarungan akhir.

BACA:  Review Bohemian Rhapsody

Selain itu juga, runut bunyi yang rancak banyak membantu dalam meningkatkan adrenalin penonton ketika menyaksikan babak-babak aksi. Yang paling saya gemari adalah semasa adegan kejar mengejar diantara Ali dan wanita misteri, sangat menarik dan mendebarkan. Kemunculan karakter-karakter cameo semasa membantu Ejen Ali di pertarungan akhir turut membuatkan penonton bersorak keterujaan.

Animasinya sangat cantik, kemas dan kelihatan berteknologi tinggi, setaraf dengan kualiti animasi filem-filem dari Hollywood. Kudos kepada pasukan rekabentuk grafik Ejen Ali the Movie. Namun begitu, saya merasakan latarbelakang animasinya sedikit ‘kosong’ terutamanya ketika babak-babak di bandar Cyberaya dan markas MATA. Bagaimanapun, kekurangan dimata saya ini tidak memberi kesan besar pada kualiti animasinya.

Dari segi pembangunan karakter, Ejen Ali menampakkan kematangannya setiap kali dia berhadapan dengan konflik. Perubahan terbesar dalam pembinaan karakter Ejen Ali jelas kelihatan selepas dia mengentahui kebenaran tentang sejarah silamnya dan apabila dia mula menyedari tentang kesilapannya. Cuma sedikit kekecewaan melihat karakter Ejen Bakar dan Ejen Alicia kurang diberi fokus. Karakter wanita misteri iaitu Niki paling mencuri perhatian dan banyak membantu dalam mencipta kejutan pada plot filem.

BACA:  Review Filem Korea: Innocent Witness (2019)

Secara keseluruhannya, Ejen Ali the Movie mmmpu menjadi filem penutup kepada tahun yang gemilang buat animasi tanah air. Filem ini memiliki banyak kualiti dari pelbagai segi, cuma diharapkan ia dapat menyaingi beberapa filem hebat untuk berdiri sama tinggi dengan filem-filem animasi tempatan yang lain. Oh ya! sebelum saya akhiri, ingin saya beritahu bahawa Ejen Ali the Movie memiliki dua babak kredit yang bakal memberi kejutan kepada anda.

RATING KAKIMUVEE: 9/10

Video Review

Tinggalkan Balasan

shares