Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Dune (2021)

Bagaimana jika kita gabungkan konflik politik yang agak kompleks ala Game of Thrones dan peperangan angkasa lepas ala Star Wars? nah, pengarah Denis Villeneuve sudah membikin sebuah filem yang mengabungkan kedua-dua tema diatas iaitu Dune, malah jika dilihat mana yang muncul dulu, sudah tentu Dune adalah yang paling awal, dimana novelnya telah diterbitkan pada tahun 1965. 

Filem epik sains fiksyen terbitan Warner Bros. dan Legendary ini bukanlah pembuatan semula kepada filem asal, yang diterbitkan pada 1984, sebaliknya ia adalah adaptasi yang lebih dekat dengan novel tahun 1965 berjudul sama karya Frank Herbert. Jika anda pernah menonton Dune versi David Lynch dan versi trerbaru ini, anda akan lihat banyak perbezaan dan merasakan versi kali ini begitu menepati ciri-ciri novel. Apapun, ulasan ini bukanlah untuk membandingkan mana yang lebih baik, sekadar membincangkan apa yang menarik dan yang tidak menarik tentang versi terbaru.

Ditetapkan di masa hadapan, Dune mengikuti penggembaraan Paul Atreides di sebuah planet yang kering kontang tetapi sangat kaya dengan ‘rempah’ dan menjadi rebutan kuasa-kuasa besar di galaksi. House Atreides, salah satu golongan bangsawan di galaksi, telah diarahkan oleh Emperor untuk mengambil alih hak kawasan Arrakis, planet padang pasir yang sangat merbahaya. Planet tersebut mempunyai satu-satu sumber yang sangat berharga di alam semesta, iaitu ‘The Spice’, bahan yang mampu meninggikan tahap pemikiran dan menjadikan penggembaraan selaju cahaya lebih praktikal.

Duke Leto Atreides menyedari, kurniaan itu sebenarnya adalah satu perangkap oleh musuhnya, House Harkonnen, tetapi menurut perintah Emperor dengan pergi ke planet tersebut. Dia membawa segalanya ke Planet Arrakis, termasuklah waris terakhirlah, Paul Atreides, isterinya Bene Gesserit dan para penasihat yang dipercayainya. Ketika mengambil alih operasi perlombongan ‘Spice’, Leto bukan sahaja mendapat ancaman dari cacing tanah gergasi yang sangat menakutkan, malah berhadapan dengan pengkhianatan terbesar yang membawa kepada kehancuran House Atreides. 

Sekali pandang, anda akan menyangka Dune meniru bulat-bulat konsep Star Wars dan mungkin, Game of ThronesSeperti yang dikatakan di awal ulasan, Dune sebenarnya yang paling awal, malah George Lucas sendiri pernah berkata bahawa novel Dune menjadi inspirasi kepadanya untuk menghasilkan Star WarsMemandangkan sumber filem ini adalah yang paling awal, dan kenyataan Villeneuve mengenai adaptasi Dune yang lebih menepati ciri-ciri novel, jadi tiada isu tiru-meniru dari filem lain. 

Bagi yang pernah menonton filem-filem Denis Villeneuve, anda mungkin dapat mengagak tempo filem ini. Tidak dinafikan, tempo Dune agak perlahan, namun ia tidak bermakna filem ini sangat membosankan. Setiap bahagian penceritaannya akan membuatkan penonton lebih fokus, dan rasa ingin tahu akan menjadi semakin membuak-buak. Lihat sahaja filem seperti Sicario dan Arrival arahannya, kedua-duanya agak perlahan, tetapi perkembangan jalan cerita telah membuatkan penonton terus duduk dihadapan skrin, ingin tahu apa yang akan berlaku seterusnya.

Dune memfokuskan pada konflik politik antara golongan-golongan bangsawan di serata galaksi. Kemelut politik dalam filem ini tidaklah begitu hebat jika hendak dibandingkan dengan politik negara kita, tetapi ia sekurang-kurangnya berjaya membentuk satu jalan cerita yang akan memberi perasaan ‘geram’ kepada penonton. Kita akan merasa marah dengan pengkhianatan dari orang yang paling di percayai dan merasa simpati kepada mangsa catur politik sehingga kita akan menyokong gerakannya untuk bangkit menentang golongan yang korup dan kejam. 

Namun, filem ini adalah bahagian satu dari dua filem yang dirancang Villeneuve. Sokongan dan keterujaan kita untuk melihat transformasi Paul Atreides menjadi ‘messiah’ kepada bangsa ‘Fremen’ akan terbantut dek kerana penamatnya yang agak tergantung. Secara jujurnya, penamat filem ini benar-benar memberi ‘spoil’ kepada keterujaan penonton. Walaupun Villeneuve memberi jaminan bahawa Dune: Part 2 akan dihasilkan, kita mungkin terpaksa menunggu lama sebelum dapat melihat sambungan filem ini, dan pada masa itu, berkemungkinan besar, keterujaan penonton akan semakin berkurangan. 

Salah satu pekara yang harus anda beri perhatian adalah kebijaksanaan Villeneuve dalam menggambarkan dunia Dune, terutamanya Planet Arrakis. Villeneuve tidak hanya fokus pada latarbelakang dan pemandangan di planet Arrakis, malah turut memberi gambaran kepada penonton betapa ekstrimnya planet tersebut. Anda akan melihat bagaimana penduduk di planet tersebut hidup dalam keadaan cuaca yang panas terik dan dalam masa yang sama, berhadapan dengan ancaman cacing tanah gergasi yang sangat menakutkan. 

Bercakap soal latarbelakang Planet Arrakis, Villeneuve sekali lagi mengulangi kehebatannya dalam memberi kesan visual yang hebat dengan rakaman-rakaman yang menarik seperti dalam filem Blade Runner 2049. Setiap rakaman di luar kota perlombongan, penonton akan merasa ‘wow’ – melihat pemandangan gurun yang cukup luas, memukau dan minimalist. Sementara babak-babak di kota, latarbelakang tidak begitu berserabut, sangat ringkas walaupun filem ini sebenarnya filem sains fiksyen. 

Selain memberikan pemandangan dan latarbelakang yang cukup memukau, Villeneuve turut memberikan adegan aksi yang cukup mendebarkan dan puas hati, walaupun durasinya tidak begitu panjang dan tidak begitu banyak sepanjang perjalanan filem ini. Babak ketika House Atreides diserang secara mengejut benar-benar menaikkan adrenalin dan membuatkan penonton merasa geram terhadap penjahat dan pengkhianat.

Serangan bom dari langit sangat mengujakan, cuma pertempuran menggunakan parang antara dua angkatan tentera yang bermusuhan mungkin memberikan sedikit rasa janggal kepada penonton. Secara logik, kenapa mereka bertempur menggunakan parang atau ‘hand-to-hand combat’ sedangkan mereka sangat maju, tetapi jika anda anggap ia sekadar fantasi dan sains fiksyen, mungkin ia akan menggurangkan sedikit perasaan janggal itu. Apapun, kalau mahu merasai pengalaman sinematik yang cukup memuaskan hati, dicadangkan untuk menonton Dune di pawagam IMAX. 

Filem ini dibarisi pelakon-pelakon bintang, dan sudah tentu anda menjangkakan lakonan yang hebat dari mereka, terutamanya Timothée Chalamet yang memainkan watak utama sebagai Paul Atreides. Pelakon bertaraf bintang tidak semestinya mereka akan mendapat ‘screen time’ yang banyak. Watak Paul paling banyak diberi fokus memandangkan dia adalah dianggap messiah oleh penduduk di Planet Arrakis. Lakonan Chalamet sememangnya tidak mengecewakan, dan lakonannya sebagai Paul benar-benar hidup. Begitu juga Rebecca Ferguson, yang membawa watak Bene Gesserit, ibu kepada Paul. Hubungan ibu-anak, dan konflik yang dihadapi mereka banyak menyumbang kepada pergerakkan plot. 

‘Screen time’ Zendaya, Dave Bautista, dan Stellan Skarsgård tidak begitu panjang, tetapi masih menyumbang kepada perjalanan cerita, cuma watak Gurney Halleck lakonan Josh Brolin akan meninggalkan sedikit tanda tanya kepada penonton, terutamanya selepas kejatuhan House Atreides. Bagi yang pernah membaca novel Dune, mereka pasti tahu apa yang terjadi pada Gurney Halleck.

Dari segi aspek teknikal, Dune sememangnya tidak mengecewakan, malah dijamin memberi kepuasan yang tidak terhingga kepada penonton. Penceritaannya, mungkin agak ‘draggy’ bagi penonton yang kurang gemar dengan filem ‘yang banyak cakap’. Tetapi, ia sangat berbaloi, perkembangan jalan cerita, karakter, konflik politik menjadi faktor yang akan membuatkan anda tidak sabar untuk menyaksikan bahagian dua filem ini. Cuma, untuk menyaksikan bahagian dua, kita mungkin tunggu sedikit lama, dan mengharapkan Warner Bros. segera memberi lampu hijau kepada Denis Villeneuve untuk memulakan produksi Dune: Part 2 

Rating Kakimuvee

4/5

Related posts

Review Filem: Doctor (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Dark Spell (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Chinese Doctors (2021)

Ahmad Fariszuan

Review Filem: Frontliner (2021)

Ahmad Fariszuan

Review: Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings (2021)

Kakimuvee

Review Filem: Malignant (2021)

Ahmad Fariszuan

Leave a Comment