Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review Slot Asia

Review Filem: Dreamy Eyes (2019)

Secara jujurnya, saya tidak pernah menonton filem dari Vietnam, dan semasa saya menerima jemputan untuk menonton filem Dreamy Eyes, saya ingatkan ia adalah filem dari negara China. Silap saya kerana tidak melihat betul-betul butiran pada poster dan sinopsis. 

Jika dilihat pada sumber carian Google, Dreamy Eyes atau tajuk Vietnam Mat Biec telahpun ditayangkan pada 2019, dan telah menjadi wakil Vietnam untuk Anugerah Oscar (namun tidak tercalon). Dreamy Eyes merupakan sebuah filem drama romantik mengenai Ha Lan dan Ngan, yang telah berkawan sejak kecil sehinggalah mereka dewasa. Filem ini tidaklah setipikal genre romantik, sebaliknya lebih menjurus kepada perasaan yang terpendam, penolakan dan kesetian sehingga ke penghujung nyawa.

Saya sebenarnya sangat terkejut dengan keindahan filem ini. Jarang sekali saya melihat filem dari Asia Tenggara yang memberikan sinematografi dan permandangan yang cukup cantik dengan latarbelakang yang boleh dikatakan tiada cacat-celanya. Pasukan produksi filem ini sangat teliti dalam memberikan kualiti gambar yang cukup indah, dan jika penceritaanya tertumpu dikawasan bandar, anda boleh merasai suasana 60an-70an tanpa sebarang kesilapan konti. 

Dari aspek teknikal dan gambar sudah cukup membuatkan anda teruja dengan filem ini, apatah lagi penceritaannya. Sesuai dengan tema drama dan romantik, penceritaannya banyak bermain dengan emosi, terutamanya kepada penonton yang masih ‘single’ dan mempunyai ‘crush’. Kenapa saya berkata demikian? kerana filem ini memberi fokus kepada perasaan terpendam Ngan terhadap kekasih hatinya, Ha Lan. 

Kesilapan Ngan yang tidak meluahkan perasaannya yang semasa mereka berada di kampung telah membawa kisah yang cukup sedih diantara mereka berdua. Ngan masih lagi setia walaupun ‘crush’ jatuh hati kepada orang lain, manakala bagi Ha Lan, peristiwa tragik yang dihadapinya telah membuatkan dia rasa bersalah untuk menerima Ngan. 

Konflik masih ada, cuma tidak begitu dramatik, elemen romantiknya pula boleh memanggil semut-semut gula. Sedih? kebanyakkan babak filem ini pasti membuatkan anda sedih. Tema drama romantik digunakan sebaiknya, manakala penceritaan dan dialog yang dituturkan watak boleh dikatakan sangat bagus. Garis masa filem ini sangat panjang, dari mereka kecil sehingga sudah bekerja. Kadang-kala terasa juga ‘draggy’nya. 

Memandangkan filem ini mula menceritakan kisah Ngan dan Ha Lan sejak dari kecil, watak utama telah dimainkan oleh pelakon kanak-kanak dan dewasa. Pelakon dewasa tidak mengecewakan, walaupun lakonan watak Ngan sedikit keras. Tetapi pelakon kanak-kanak sangat mencuri perhatian, sangat menjadi lakonan mereka sehingga kadang-kala membuatkan saya tersenyum. Watak Ha Lan sangat comel terutamanya ketika dia senyum, saya yakin mesti ada penonton jatuh hati dengan pelakon yang memainkan watak Ha Lan ini.

Walaupun terdapat banyak pekara tentang filem ini yang saya suka, ada satu bahagian yang saya benar-benar ‘turn off’. Bagi saya, bahagian itu hampir sahaja merosakkan keseluruhan jalan ceritannya. Mujur ia ditampung balik dengan konklusi yang diluar jangkaan saya, penamat yang berbeza dari tipikal filem romantik dan menyedihkan. 

Secara keseluruhannya, Dreamy Eyes sangat bagus, sangat berkualiti tinggi dan mampu menyentuh hati mereka yang menontonnya. Saya tidak sangka, Vietnam mampu menghasilkan filem yang begitu indah dengan jalan cerita yang cukup baik. Saya tidak mengenali para pelakonnya, tetapi mereka telah membuatkan saya tertarik. Jika anda mahu mencari filem romantik yang mampu membuatkan hati anda tersentuh, saya cadangkan anda tonton Dreamy Eyes. Sangat berbaloi.

Rating Kakimuvee

4/5

Related posts

Temukan Makna Keluarga yang Sejati Dalam Filem “Ali & Ratu Ratu Queens”, Akan Datang Ke Netflix

Kakimuvee

Kim Nam Gil Ditawarkan Watak Utama Dalam Drama Thriller Terbaru “Those Who Read Hearts of Evil”

Zulaikha

Episod Terakhir “Vincenzo” Capai Penilaian Ke-6 Tertinggi Dalam Sejarah tvN

Zulaikha

Dua Drama Terbaru, “Bossam: Steal The Fate” & “Dark Hole” Memulakan Episod Pertama Dengan Langkah Kanan

Zulaikha

Review Drama: Gokushufudo / The Way of the Househusband (2020)

Kakimuvee

9 K-Drama Yang Akan Ditayangkan Mei Ini

Zulaikha