Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Dragon Ball Super: Super Hero (2022)


AMARAN SPOILER!!!

Filem anime yang dinantikan, Dragon Ball Super: Super Hero akhirnya tiba di pawagam Malaysia. Bagi peminat-peminat anime, khususnya Dragon Ball, kehadiran filem ini pastinya dinantikan selepas mereka disajikan dengan filem Dragon Ball Super: Broly yang ditayangkan pada 2018 yang lalu. 

Dragon Ball Super: Super Hero mengikuti kisah dua pahlawan hebat Bumi, Piccolo dan anak muridnya, Gohan, yang perlu menyelamatkan dunia dari ancaman organisasi Tentera Reben Merah yang baharu.

Dengan lambakkan siri dan filem Dragon Ball, peminat yang sudah jarang mengikuti perkembangan anime ini pastinya sukar untuk menentukan garis-masa filem terbaru ini. Untuk info, Dragon Ball Super: Super Hero ditetapkan beberapa tahun selepas peristiwa Broly, dimana penampilan cameo Broly mengisyaratkan kedudukan garis-masa Super-Hero. 

Memandangkan Goku dan Vegeta tiada di Bumi, nasib kini terletak di tangan Piccolo dan Gohan yang perlu menghentikan android terbaru ciptaan Tentera Reben Merah, iaitu Gamma 1 dan 2. Lebih menakutkan Piccolo, adalah kehadiran satu lagi android pernah mereka tewaskan satu ketika dahulu, dan ianya lebih berkuasa dan hebat dari yang sebelumnya. 


Berdasarkan premis, penceritaan filem terbaru ini lebih kepada mengembalikan nostalgia kepada peminat lama Dragon Ball dan memenuhi kehendak peminat. Walaupun begitu, ia tidak mengabaikan jalan ceritanya, yang dibikin secara ringkas tetapi menarik. 

Satu pekara yang menjadikan Super Hero sangat penting dalam canon Dragon Ball adalah transformasi Piccolo. Orange Piccolo telah membuat debut dalam filem ini, sekaligus mengubah pahlawan Namek itu menjadi lebih berkuasa dari kebiasaannya. Peminat sudah lama menantikan bentuk super terbaru Piccolo sejak arc Freeza lagi, dan nampaknya Super Hero memberikan apa yang dimahukan peminat. 

Selain itu, penonton dapat merasai kembali hubungan guru dan anak murid antara Piccolo dan Gohan. Dalam filem kali ini, Gohan, seperti kebiasaanya, lebih mementingkan akademik berbanding menjalani latihan, dan Piccolo meneruskan legasinya sebagai guru kepada anak Gohan, iaitu Pan. Ancaman dari Tentera Reben Merah memberi peluang kepada kedua-dua mereka untuk kembali bekerjasama menghentikan ancaman penjahat. 

Adegan-adegan aksi menjadi acara yang dinanti-nantikan penonton, dan Super Hero nyata tidak mengecewakan dalam memberi adegan aksi yang menarik. Terdapat tiga pertarungan utama yang dapat dilihat, dan salah satunya adalah latihan pertarungan diantara Goku dan Vegeta semasa mereka berada di planet Beerus. 

Pertarungan antara Goku dan Vegeta hanyalah selingan, tetapi pertarungan klimaks diantara hero Bumi dan android Tentera Reben Merah adalah acara yang ditunggu. Penonton bukan sahaja dapat melihat form baru Piccolo ketika mereka menentang lawan mereka, tetapi juga perubahan yang akan berlaku kepada Gohan. 

Mungkin ada yang beranggapan plot Super Hero sekadar mencipta nostalgia dengan mengembalikan Tentera Reben Merah dan android, tetapi dengan peningkatan kuasa yang ada pada android-android baru ini, ia turut menjadi pemangkin kepada transformasi Piccolo dan Gohan. Seperti yang dijanjikan Akira Toriyama, Gohan akan diberikan bentuk yang baru, dan peminat akhirnya dapat melihat kehebatan Gohan yang berubah menjadi ‘Gohan Beast.’

Seperti Piccolo, transformasi Gohan ini adalah evolusi dari ‘Potential Unleashed’, yang memberika kuasa yang sangat hebat dan unik kepada Gohan. Terima kasih kepada Dr. Hedo, yang mencipta Gamma 1 dan 2, serta Cell Max yang sangat berkuasa. 

Disebalik nostalgia, ‘fan service’ dan jalan cerita yang menarik, terdapat pekara yang masih tidak berubah dalam filem terbaru Dragon Ball Super ini, iaitu humor. Tiada masalah jika ada selingan babak-babak atau aksi komik, tetapi jika ia melibatkan adegan penting, seperti ketika Cell Max dibebaskan, ia boleh menyebabkan penonton merasa bosan dengan adegan humor yang tidak kelakar. 

Secara keseluruhannya, Dragon Ball Super: Super Hero adalah filem anime sangat menarik untuk ditonton, khusus kepada peminat Dragon Ball itu sendiri. Filem ini bukan sahaja menepati jangkaan peminat, malah menyajikan nostalgia dengan aksi-aksi yang hebat lagi menarik. 

Rating Kakimuvee

4/5


Related posts

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Equalizer 3 (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Malbatt Misi Bakara (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Concrete Utopia (2023)

Kakimuvee